Masyarakat Cina sejahtera di bawah kerajaan PAS
Mazlan Jusoh
Fri | Feb 23, 07 | 04:15:47 AM KOTA BHARU, 23 Feb
(Hrkh) - Masyarakat Cina di negeri ini dapat hidup dengan aman sejahtera di
bawah pemerintahan PAS sejak lebih 16 tahun lalu, kata Menteri Besar, Tuan Guru
Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Beliau berkata, masyarakat terbabit biar pun merupakan golongan minoriti di
negeri ini, namun mereka tetap diberi kebebasan mengamalkan kebudayaan datuk
nenek sejak berzaman.
Dato' Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, Dato' Anuar Tan Abdullah dan Takiyuddin
Hassan hadir pada majlis makan malam penyayang sempena Tahun Baru Cina di Kota
Bharu baru-baru ini.
Budaya dan kesenian masyarakat Cina tetap kekal dan berkembang di negeri ini.
Dasar kerajaan negeri adalah jelas dan tidak menghalang adat tradisi tersebut,
katanya di sini.
Malah menurutnya, kerajaan negeri setiap tahun turut menganjurkan Pesta
Kebudayaan dan Kesenian Cina yang diadakan sejak 1998 dan mendapat sambutan
baik daripada masyarakat Cina.
Sedangkan kata beliau, perkara seumpama itu jarang kelihatan di negeri lain.
Ini menampakkan hak asasi dan kebebasan masyarakat Cina tidak pernah dihalang
dan mereka dapat hidup aman sejahtera di bawah kerajaan PAS, ujarnya.
Keadaan itu kata beliau menggambarkan kemuafakatan masyarakat pelbagai kaum di
Kelantan tetap dipertahankan.
Malah Menteri Besar turut melahirkan rasa kagum terhadap kegigihan masyarakat
terbabit menjaga maruah dan jati diri bangsa mereka terutamanya dalam bidang
perniagaan.
Katanya juga, terdapat beberapa persamaan di antara amalan masyarakat Cina dan
Islam dalam kehidupan seharian antaranya, perayaan kuih bulan oleh masyarakt
Cina sejak zaman Dinasti Ming hingga sekarang.
Objek buatan manusia yang dapat dilihat dari bulan iaitu Tembok Besar China,
orang Cina menyambut Chap Goh Meng pada 15 hari bulan ketika bulan mengambang.
Mengikut catatan sejarah nama negeri Kelantan berasal daripada perkataan Cina
iaitu Kilantan (bererti negeri bercahaya) dan Holantan (kolam tanah). Selain
itu pakaian jubah menjadi tradisi masyarakat Cina."
Pembinaan masjid zaman dahulu di Melaka banyak dipengaruhi seni bina Islam
dari China . Sejarah Cina sejak 5,000 tahun lampau tidak pernah berlaku
peperangan dengan orang Islam, tambahnya.
Oleh itu beliau berharap masyarakat Cina mengkaji mengenai Islam secara serius
dan kemungkinan pada suatu masa nanti orang Cina Muslim layak menjadi pemimpin
kepada masyarakat Melayu.
Menteri Besar turut merakam ucapan Gong Xi Fa Cai kepada masyarakat Cina di
negara ini. Sementara itu, sambutan Tahun Baru Cina di Kelantan tetap meriah
lebih-lebih lagi dengan kepulangan ramai anak perantau sempena cuti perayaan
itu.
Biar pun sebahagian besar kedai perniagaan milik peniaga Cina ditutup pada 18
dan 19 Febuari, namun orang ramai tetap berkunjung ke pusat bandar membeli
belah di Pasar Besar Siti Khatijah, Bazar Buluh Kubu dan Arked MPKB BRI.
Malah bagi meraikan sambutan Tahun Baru, Majlis Tindakan Dun Kota Lama dan PAS
Kawasan Kota Bharu mengadakan majlis makan malam penyayang bertempat di Dewan
Perniagaan dan Perindustrian Cina baru-baru ini.
Turut meraikan masyarakat Cina pada majlis itu, Speaker Dun Kelantan, Dato Wan
Abdul Rahim Wan Abdullah, anggota-anggota Exco, Dato Anuar Tan Abdullah,
Takiyuddin Hassan dan Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.
Warga emas di kalangan masyarakat Cina yang hadir turut diberi ang pau.
Selain itu kerajaan negeri juga menganjurkan pelbagai program bagi merapatkan
hubungan dengan masyarakat Cina yang bermula sejak 14 Febuari lalu diadakan di
Dewan Pasir Parit, Chetok.
Sambutan Tahun Baru juga diadakan di Kampung Sakar, Pasir Mas pada 16 Febuari.
Manakala pada 23 Febuari pula diadakan sambutan Tahun Baru dan dialog bersama
kerajaan negeri di Kampung Tukul, Kadok.
Pada 25 Febuari pula diadakan di Padang Kemahkotaan, Kelaboran Tumpat.
---------------------------------
Inbox full of unwanted email? Get leading protection and 1GB storage with All
New Yahoo! Mail.