Assalamualaikum warahmatullah… Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat berserta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi ikutan selamanya. Juga buat orang2 yang beramal soleh dan kesekalian dari kita.
Bismillahir Rahmanir Raheem… Semalam saya mengirimkan posting saya yang berjudul 'Manusia Dan Kulit Buku' di grups yang saya sertai. Seperti biasa, saya tidak begitu kisah dengan sambutan orang terhadap penulisan saya. Kerana bagi saya, setiap yang saya tulis adalah nasihat untuk diri saya sendiri. Terpulanglah kepada orang lain untuk mengambil apa yang mereka rasakan baik dan menolak apa yang mereka rasakan buruk. Adalah tidak menjadi kebiasaan saya untuk membalas kritikan yang dilemparkan terhadap saya. Kerana bagi saya, saya perlu bersikap terbuka. Membalas setiap kritikan yang diterima, terutamanya yang negatif, bererti saya menutup ruang untuk memperbaiki diri. Ia juga bakal menyerlahkan betapa tidak rasionalnya saya dalam menghadapi corak permikiran manusia yang sentiasa berbeza-beza. Dan kebetulan, posting saya semalam tidak mendapat apa-apa respon kecuali satu, dari seseorang yang sebelum ini pernah saya ulas penulisannya di dalam grup. Saya tidak menyalahkan dia kerana mengkritik, bahkan tidak juga terasa dengan kritikannya. Namun tujuan saya menulis artikel ini hanya untuk bercerita sedikit apa yang saya rasakan, perasaan yang timbul setelah membaca apa ulasannya, bukan untuk membela diri. Semenjak kecil, sememangnya saya amat menggemari bidang ilmu Sejarah. Malah ketika di sekolah, buku teks matapelajaran Sejarah habis saya baca beberapa kali seperti membaca novel. Namun dalam kesemua yang pernah saya baca (sedikit sahaja jumlahnya sebenarnya), yang paling menarik dan melekat di hati saya adalah sejarah berkenaan Rasulullah saw dan para sohabatnya, sebelum dan selepas Hijrah. Saya tahu, ramai yang sering menyebut kegemilangan Islam di zaman Umar Abdul Aziz, atau zaman Salahuddin al-Ayyubi, atau ketika pemerintahan empayar Uthmaniah (yang dipanggil Ottoman oleh 'orang putih'). Atau setidak-tidaknya, kita cukup berbangga dengan pencapaian yang telah dicapai oleh Ibn Sinna, Ibn Bathutta, al-Khawarizmi dan lain-lain. Dan kita selalu mengulang ayat bahawa merekalah pelopor sains yang sebenarnya. Saya sedikitpun tidak menafikan hakikat itu. Bahkan saya juga amat-amat mengkagumi mereka. Namun jauh di sudut hati saya, saya percaya tidak ada sejarah pun di dalam dunia ini yang mampu menyaingi kehebatan zaman kenabian Muhammad saw. Kisah Baginda saw sedari kecil, sehingga menerima wahyu yang pertama, ketika penghijrahan, pembentukan Piagam Madinah, pembukaan Kota Makkah sehinggalah kewafatan Baginda saw. Diiringi oleh para sohabat yang mulia, yang redha Allah ke atas mereka dan mereka juga meredhai Allah, juga penentangan oleh kaum musyrikin, ahlil kitab serta munafiqin, menjadikan sejarah yang dicorak begitu berharga dan istimewa. Tambah pula, inilah zamannya manusia begitu hampir kepada Penciptanya. Dan inilah juga zamannya manusia dikhabar tentang kedudukan mereka di dalam syurga ketika masih lagi bernyawa. Walaupun hampir keseluruhan sohabat ini orang yang miskin, yang pada mata kita hari ini sebagai 'orang-orang yang gagal dalam hidup', namun terdapat banyak kelebihan pada diri mereka, melebihi kelebihan pelopor-pelopor ilmu sains dan matematik yang disebutkan sebentar tadi. Manakan tidak, sebahagian besar nash yang kita gunapakai hari ini dipetik dari perbualan mereka dengan Nabi saw dan juga perbuatan yang mereka lakukan. Dan di zaman inilah, banyak nushrah (pertolongan) Allah yang turun. Nushrah yang kadangkala kita sukar percaya menggunakan aqal waras kita. Contohnya, mukjizat Nabi saw di mana air telah keluar dari celahan jari Baginda ketika musim kemarau. Dan ketika satu ghizwah di mana mereka menyaksikan bagaimana anggota badan tentera kafirun bercerai dari tubuh sebelum pedang mereka (tentera Islam) dihayunkan. Banyak lagi sebenarnya keistimewaan sohabat Rasulullah saw yang cukup menyayat hati dan perasaan apabila membaca. Dibandingkan dengan perpecahan yang berlaku selepas zaman ini, tuduh menuduh dan kafir mengkafir serta permusuhan antara mazhab (sedangkan pengasas mazhab-mazhab ini tidak bermusuhan antara satu sama lain) menyebabkan saya kurang memberi perhatian terhadap mereka (namun tidak pernah membenci mereka). Saya tidak memerlukan hakikat sains untuk mempercayai kenabian Rasulullah saw dan kekuasaan Allah swt. Kerana bagi saya, apa sahaja yang termaktub di dalam al-Quran dan yang Nabi saw sabdakan adalah benar. Sama ada dipersetujui oleh sains atau tidak, tidak menjadi hal. Bimbang keliru jika Allah memesongkan hati orang yang mengkaji sehingga mendapati ianya bertentangan dengan apa yang dipercayai, mana yang akan saya ikuti. Seperti contohnya mencolek gigi selepas makan. Telah Nabi saw tegaskan bahawa ianya perbuatan yang baik kerana mencegah mulut dari berbau. Tetapi kemudian ada saintis Islam yang mengatakan mencolek atau mencungkil gigi salah dan menyebabkan gigi renggang dan rosak. Sebaiknya digunakan benang. Maka terjadilah peristiwa kita 'mengubah sunnah' sesuka hati dan mendakwa 'zaman Nabi saw mana ada Dental Floss'... Saya tidak pedulikan logik aqal. Jika hendak diturut, apakah yang logik di dalam dunia ini? Apakah yang logiknya di dalam teori persenyawaan sel sperma dan ovum dalam menghasilkan seorang manusia sebesar saya pada hari ini? Sukar untuk mencari kenyataannya. Namun Nabi saw telah menyatakan ianya sebegitu, apakah hanya setelah dibuktikan secara saintifik barulah kita hendak percaya kebenaran sabdaan Baginda saw? Allah mentadbir alam ini dengan berbagai-bagai cara. Allah boleh menjadikan sesuatu itu dengan asbab (bersebab), tanpa asbab atau bertentangan dengan asbab. Allah telah menciptakan kesemua manusia dengan asbab 'penyatuan' ibu dan bapa mereka. Tetapi Allah telah mencipta Isa as tanpa bapa, tanpa asbab yang kita percaya sebagai puncanya. Malah Adam as dicipta tanpa siapa-siapa sebelumnya. Begitu juga duit. Boleh dikatakan kesemua manusia hari ini percaya duit adalah asbab kebahagiaan. Tetapi Allah telah membuktikan, duit telah menjadikan manusia menderita. Duitlah juga menjadi punca ramai orang kaya tidak tidur lena. Ini telah bertentangan dengan apa yang kita percaya. Tetapi Allah Maha Kuasa, makhluk langsung tidak ada kuasa. Jadi untuk apa kita sibuk mempertikaikannya. Namun saya tidak melarang orang yang berminat mahu mengkaji bidang ilmu sains. Saya bukan anti ilmu sains. Bahkan saya sendiri bekas penuntut maktab rendah sains dan melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan. Namun untuk menggunakan sains untuk menjadikan saya beriman kepada Allah adalah perkara yang amat memalukan. Dan, orang yang meminati sains pasti mengetahui, tidak ada yang muktamad dalam bidang ini. Mengapa? Kerana semuanya terjadi atas taqdir Illahi. Allah tidak memerlukan teori yang kita kaji untuk menciptakan satu-satu kejadian. Allah hanya perlu katakan jadi, maka jadilah. Begitulah kuasa Allah. Maka kerana itu saya katakan, hakikat sains tidak akan cukup untuk membuktikan kuasa Allah. Sains memang baik dan berguna untuk kebaikan masyarakat. Tetapi mempercayai kuasa Allah adalah lebih utama dari yang lainnya... Sekian buat kali ini. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik adalah akibat kelalaian saya sendiri. Wabillahitaufiq walhidayah. Wassalamualaikum warahmatullah… -Abu Naqibah- Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED] atau lawati http://abunaqibah.blogspot.com/
