aHmadHazieq <[EMAIL PROTECTED]> wrote: IMMARAHKAN MASJID BAGI MEMBENDUNG JENAYAH
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) tertarik dengan berita yang
dilaporkan oleh Utusan Malaysia pada 3 April 2007 yang Lalu. Berita bertajuk
Masjid diceroboh, al-Quran dibakar dilaporkan berlaku di Masjid Jamek
Al-Insaniah Simpang Ampat, Pulau Pinang.
DPPWP mengutuk tindakan tidak bertamadun mereka-mereka yang melakukan perkara
ini. Seperti yang dilaporkan, dalam kejadian itu tabung-tabung Masjid didapati
bersepah, cermin pintu Masjid pecah dibaling batu, 7 helai ayat surah
Al-Baqarah juga telah dibakar dan Masjid ini juga hampir-hampir terbakar kerana
didapati beberapa bahagian bidai tingkap, permaidani sertai wayar elektrik
didapati musnah kerana perbuatan khianat.
DPPWP melihat bahawa tindakan ini adalah satu jenayah yang harus disiasat
oleh pihak Polis dengan segera bagi mengelakan salah faham atau tuduh menuduh
kerana ianya melibatkan pembakaran al-Quran. Ada yang mengatakan bahawa itu
adalah tindakan pencuri yang marah kerana mendapati tabung-tabung Masjid telah
dikosongkan lebih awal bagi mengelakkan dicuri sekali lagi.
Ada juga pihak beranggapan bahawa tindakan ini adalah satu provokasi dari
pihak-pihak yang bencikan Islam kerana kejadian membakar al-Quran dilihat
begitu serius seperti satu amaran kepada umat Islam. Kumpulan Black Metal juga
turut dituduh kerana didapati kumpulan ini didapati masih beroperasi di sekitar
negeri Pulau Pinang dan Kedah.
Apa jua andaiannya yang dibuat hanya Allah yang tahu dan DPPWP mengesa agar
pihak Polis mengambil serius dalam menyiasat perkara ini agar ianya tidak
berulang, bukan sahaja di Pulau Pinang tetapi diseluruh negara.
DPPWP juga menasihatkan agar Jawatankuasa Masjid-masjid diseluruh negara
mengambil pengajaran disebalik kejadian ini. Masjid-masjid dan surau-surau
perlulah diimmarahkan secara lebih aktif lagi. Kita sedia maklum bahawa Masjid
adalah Rumah Allah dan kita harus menjaganya secara bersama.
Tindakan mengunci pintu Masjid dan Surau selepas Solat Isyak tidak menjamin
keselamatan premis ini sepenuhnya. Pihak Jawatankuasa perlu kreatif untuk
memastikan Masjid dan Surau mereka ini dapat melakukan program-program lain
selain dari bersolat sahaja.
Di zaman Rasulullah, Masjid dijadikan tempat sahabat-sahabat berkumpul,
melakukan interaksi, beribadat, menimba ilmu, bermesyuarat dan merancang urusan
negara.
Oleh itu, DPPWP melihat bahawa fungsi Masjid pada hari ini telah lari dari
amalan kebiasaan Rasulullah. Kita lebih suka menjadikan Masjid sebagai tempat
untuk bersolat 5 waktu sahaja dan lebih malang lagi, ada kalangan umat Islam
yang tidak bertanggungjawab menjadikan Masjid sebagai tempat singgahan bagi
membuang hajat kerana tidak dikenakan sebarang bayaran.
DPPWP mengesa agar fungsi Masjid ini diperkemaskan dengan menjadikannya pusat
pendidikan masyarakat melalui kuliah dan pengajian al-quran yang boleh dibuat
selepas waktu Isyak. Tuisyen-tuisyen juga boleh dibuat di Masjid bagi anak-anak
kariah. Selain itu, program Qiamullail boleh dilakukan secara kerap bagi
memastikan Masjid dapat dihidupkan pada waktu Malam.
Program-program tradisi seperti bacaan surah Yaasin pada malam Jumaat baik
diteruskan dan pada malam-malam lain kariah juga boleh mengadakan kuliah
maghrib atau program bacaan surah-surah al-Quran yang lain. Program tadarus dan
kelas al-Quran juga wajar diadakan setiap hari bagi menghidupkan Masjid yang
ada.
Semoga umat Islam hari sedar betapa besar peranan yang perlu kita main bagi
menjaga agama dan amanah yang diberi. Masjid yang besar dan gah tidak akan
diberkati oleh Allah kiranya kita tidak menghidupkannya dengan amalan-amalan
yang banyak dan bermanfaat. Dan satu pembaziran jika Masjid-masjid yang ada
tidak digunakan sepenuhnya.
Kamaruzzaman Mohamad
Ketua
Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan
---------------------------------
To help you stay safe and secure online, we've developed the all new Yahoo!
Security Centre.