Mendidik Anak Remaja   
    

  Mendidik Anak Remaja
Sumber: www.yadim.com.my


MEMANG tidak mudah mendidik anak supaya menjadi seorang anak yang hebat. 
Bagaikan sudah menjadi hakikat ‘sunahtullah’ bahawa terdapat perbezaan antara 
mendidik anak lelaki dengan perempuan. Dalam pelbagai aspek seperti memberi 
nasihat, mendidik, menegur ajar, menyuruh dan sebagainya, terdapat cara yang 
berbeza terhadap jenis jantina anak. Hakikat inilah yang tidak diketahui oleh 
kebanyakan ibu bapa, menyebabkan mereka melakukan kesilapan dalam mendidik anak 
seperti anak lelaki dididik secara anak perempuan dan begitu juga sebaliknya. 
Akibatnya, keberkesanannya tidak tercapai.

Menjadi seorang ibu atau bapa adalah satu cabaran hidup (dan ganjaran) yang 
terbesar. Bagaimanapun, ibu bapa kepada remaja belasan tahun mungkin mempunyai 
tugas yang paling sukar di antara ibu bapa lain. Zaman remaja adalah satu 
perjalanan daripada zaman kanak-kanak menuju dewasa, daripada bergantung hampir 
sepenuhnya pada pandangan orang lain kepada bagaimana membuat keputusan yang 
bertanggungjawab secara berdikari. Ia boleh jadi satu peralihan yang sukar bagi 
remaja itu sendiri dan juga ibu bapa mereka, terutamanya dalam masyarakat di 
mana orang muda setiap hari berhadapan dengan risiko serius yang berkaitan 
dengan seks, keganasan, penyalahgunaan dadah, alkohol, merokok, dan gagal dalam 
pelajaran – risiko-risiko yang biasanya adalah berkaitan antara satu sama lain. 
Oleh kerana pelbagai risiko yang dihadapi oleh remaja berkait rapat antara satu 
sama lain, begitu jugalah dengan jalan penyelesaiannya.

Adalah mudah bagi ibu bapa untuk percaya bahawa pengaruh mereka terhadap 
anak-anak remaja mereka telah lupus sebaik sahaja anak mereka mencecah zaman 
remaja. Rakan-rakan dan media nampaknya lebih berkuasa. Tetapi kajian dan 
pengalaman menunjukkan dengan jelas: ibu bapa adalah penting dalam kehidupan 
remaja. Remaja belasan tahun memerlukan sokongan, panduan, dan perhatian 
daripada ibu bapa mereka sepertimana kanak-kanak juga. Dan remaja sendiri 
mengatakan bahawa mereka mahu mendengar apakah cabaran yang dihadapi oleh orang 
dewasa, walaupun mereka tidak selalunya berlagak seperti demikian.

Ibu bapa juga boleh membentuk komuniti di mana anak-anak mereka membesar. Sama 
ada anda bimbang mengenai tabiat minum arak, penyalahgunaan dadah, keganasan, 
masalah di sekolah, merokok, atau seks (atau kesemuanya sekali), nasihat 
terbaik bagi ibu bapa adalah sama: teruslah mempunyai hubungan yang rapat 
dengan anak-anak remaja anda. Idea-idea di bawah boleh membantu ibu bapa 
membuat perubahan dalam kehidupan anak-anak remaja mereka.

LUANGKAN MASA

Luangkanlah masa dengan anak-anak anda secara melibatkan diri dalam 
aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan umur dan minat mereka. Kongsilah 
pengalaman dalam membina satu perhubungan yang mesra yang berasaskan kasih 
sayang dan kepercayaan yang merupakan asas bagi komunikasi pada masa hadapan. 
Makan bersama sekerap mungkin. Waktu makan adalah peluang terbaik untuk 
berbual-bual tentang perkara-perkara yang berlaku dalam kehidupan seharian 
mereka dan untuk merapatkan diri dengan anak-anak anda. Gunakanlah masa yang 
ada untuk berbual, bukannya berbalah. Membaca, menonton televisyen atau wayang, 
dan layarilah internet bersama-sama. Bersenam atau bersukan sebagai sebuah 
keluarga. Libatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan bersama-sama 
anak-anak anda.

BANTU REMAJA MENDAPATKAN KEYAKINAN DIRI

Keyakinan diri adalah sesuatu yang diperolehi, bukannya diberi. Berikan 
anak-anak anda peluang untuk belajar kemahiran-kemahiran tertentu dan 
mendapatkan keyakinan diri. Pujilah mereka atas tugas-tugas yang mereka telah 
selesaikan dengan baik, galakkan perkara-perkara positif dan tekankan 
perkara-perkara yang dilakukan dengan baik oleh anak-anak anda. Jika mereka 
ketinggalan atau cuai, cadangkan cara-cara untuk memperbaiki diri; jangan 
mengkritik. Kasih sayang dan rasa hormat akan menggalakkan mereka berkelakuan 
baik, bukannya ketakutan atau keaiban.

GALAKKAN REMAJA MELIBATKAN DIRI DALAM AKTIVITI POSITIF

Bantulah anak-anak anda mengenal pasti kelebihan, bakat dan minat mereka dan 
untuk mencari peluang di mana perkara-perkara ini boleh dikembangkan. Galakkan 
mereka melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela dalam komuniti anda, menjadi 
ahli kumpulan belia, atau turut serta dalam aktiviti kesenian atau sukan. Ini 
akan membuatkan mereka merasa ‘berguna’ di dalam masyarakat, menghubungkan 
mereka dengan kawan-kawan yang positif dan pemimpin-pemimpin di kalangan orang 
dewasa, dan juga memenuhkan jadual harian mereka.

BANTU REMAJA MENETAPKAN MATLAMAT

Bantu anak-anak memahami bagaimana pilihan yang mereka buat sekarang boleh 
mempengaruhi keseluruhan kehidupan mereka. Perkenalkan mereka dengan mereka 
yang berjaya di komuniti anda yang boleh menerangkan apa yang perlu dilakukan 
untuk berjaya. Remaja yang mempunyai matlamat jangka panjang dalam pelajaran 
atau pekerjaan kurang berkemungkinan untuk merosakkan masa hadapan mereka 
dengan melibatkan diri dalam perkara-perkara yang tidak sihat.

MENGHARGAI PENDIDIKAN

Libatkanlah diri dalam pendidikan anak-anak anda dan biarkan mereka tahu bahawa 
ia sangat penting bagi anda. Terangkan kepada mereka bagaimana pelajaran akan 
membantu mereka pada masa hadapan dan mengapa penting bagi mereka untuk 
mengambil perhatian serius perkara ini dari sekarang. Kegagalan dalam pelajaran 
biasanya adalah tanda-tanda untuk muncul masalah lain. Jika anda mendapati 
pelajarannya merosot, berbincanglah dengan mereka dan dengan guru-gurunya 
dengan segera.

LIBATKAN DIRI DENGAN SEKOLAH

Ibu bapa sering berhubungan dengan sekolah anak-anak semasa mereka di sekolah 
rendah, tetapi mula menjauh apabila mereka semakin membesar. Cubalah terus 
libatkan diri sehingga sekolah menengah. Beri perhatian kepada kelas-kelas yang 
diambil oleh anak-anak anda dan kerja rumah yang mereka bawa balik. Jadi ahli 
Persatuan Ibu Bapa atau organisasi lain yang ada kena mengena dengan sekolah.

Tawarkan diri untuk menjadi tutor, mentor atau penceramah jemputan. Berjumpa 
dengan pengetua, guru-guru, kaunselor dan jurulatih mereka. Hadirilah 
majlis-majlis, pameran, drama, pancaragam, nyanyian dan sukan yang dikendalikan 
oleh pihak sekolah. Jika anda tidak menghadirinya, anak-anak anda adalah orang 
yang pertama menyedarinya.

AMBIL TAHU

Buat peraturan yang jelas bagi anak-anak anda mengenai apa yang boleh mereka 
lakukan dan dengan siapa mereka boleh meluangkan masa, dan terangkanlah kepada 
mereka mengapa peraturan-peraturan ini penting. Tetapkan masa di mana mereka 
mesti balik dan jangan benarkan mereka menghadiri sebarang majlis tanpa 
ditemani orang dewasa.

Berusahalah lebih sedikit untuk mengetahui di mana anak-anak anda berada pada 
hari minggu dan selepas waktu sekolah, memandangkan waktu-waktu tersebut adalah 
‘zon bahaya’, di mana anak-anak muda yang tidak dikawal mungkin berpeluang 
untuk menyalahgunakan dadah, melakukan jenayah dan terlibat dalam 
perbuatan-perbuatan berisiko yang lain. Matlamatnya adalah untuk menjadi 
seorang ibu bapa yang berwaspada tanpa terlalu memaksa. Ingat, dengan 
mengetahui di mana anak-anak anda berada dan apa yang mereka lakukan tidak 
bermakna anda suka membebel; ini bermakna anda seorang ibu atau bapa yang 
prihatin.

KENALI SIAPA KAWAN-KAWAN ANAK ANDA

Rakan-rakan mempunyai pengaruh yang kuat terhadap satu sama lain, oleh itu 
adalah penting bagi anda untuk mengenali siapa kawan-kawan anak-anak anda dan 
ibu bapa mereka. Kebanyakan tekanan rakan sebaya adalah positif. Galakkan 
anak-anak remaja anda untuk meluangkan masa dengan kawan-kawan yang positif dan 
sihat. Jemput mereka datang ke rumah dan berbual-buallah dengan mereka secara 
terbuka.

SELALU BERBINCANG

Walaupun ia agak sukar untuk memulakan perbualan mengenai perkara ini, 
mulakannya apabila anak-anak anda ingin tahu dan mula mencerluskan soalan. 
Jelaskan kepada mereka bahawa setiap orang berasa terluka, takut, marah dan 
ragu-ragu, dan berbincang dengan mereka mengenai cara-cara yang betul untuk 
menangani emosi seperti ini. Pastikan bahawa anak-anak anda tahu bahaya rokok, 
dadah, alkohol, dan seks. Komunikasi yang kerap mengenai isu-isu seperti ini 
patut bermula sejak mereka kecil lagi dan berterusan hingga mereka remaja 
kerana soalan-soalan dan situasi terus berubah mengikut masa.

Tentulah, dengan remaja belasan tahun terutamanya, anda mungkin harus mengambil 
inisiatif untuk terus berkomunikasi. Binalah satu dialog dua hala dengan 
menjawab secara hormat setiap soalan atau topik dengan teliti. Bercakap dengan 
mereka, bukannya kepada mereka.

TERANGKAN NILAI-NILAI MURNI

Berkomunikasi dengan anak-anak mengenai isu-isu yang sukar adalah lebih berjaya 
apabila anda, sebagai seorang ibu atau bapa, jelas mengenai perasaan anda 
sendiri. Dengan bersikap terbuka dan jujur, anda boleh meluahkan nilai-nilai 
yang anda harapkan dengan cara yang menunjukkan keprihatinan. Kebanyakan ibu 
bapa bimbang dilihat sebagai seorang yang hipokrit, terutamanya jika mereka 
sendiri terlibat dalam perkara-perkara kurang sihat semasa mereka remaja, 
tetapi sekarang mereka mendesak anak-anak mereka untuk mengambil jalan lain. 
Kebanyakan remaja mempunyai ‘radar hipokrit’ yang baik.

Mereka biasanya cukup sofistikated untuk menyedari bahawa dalam dunia moden 
yang penuh dengan bahaya seperti AIDS, senjata automatik dan bahaya-bahaya 
lain, standard yang baru adalah perlu.

JADILAH MODEL YANG BAIK

Jadilah model atau contoh harian yang terbaik berkaitan dengan nilai-nilai dan 
standard yang anda harapkan. Tunjukkan kasih sayang, kejujuran, disiplin dan 
keterbukaan yang anda harapkan daripada anak-anak anda. Jika anda 
menyalahgunakan dadah atau minuman keras, sedarlah bahawa anak-anak anda sedang 
memerhatikan dan apa yang mereka lihat mungkin akan merosakkan niat baik anda 
untuk menghalang mereka dari menyalahgunakan bahan-bahan ini. Jangan merokok 
atau membenarkan sesiapa merokok di dalam rumah.

Tunjukkan contoh seseorang yang tidak menggunakan keganasan. Jika anda mahu 
anak-anak muda menolak keganasan, anda perlulah menunjukkan cara-caranya. Ibu 
atau bapa yang mempunyai teman lelaki atau wanita harus tahu bahawa anak-anak 
mereka melihat apa yang mereka lakukan, bukan setakat mendengar apa yang mereka 
perkatakan.

BERI PERHATIAN

Program-program sokongan bagi remaja yang bermasalah adalah baik, tetapi semua 
kanak-kanak dan remaja mampu memperolehi kebaikan daripada galakan, perhatian 
dan sokongan. Jangan memfokuskan perhatian kepada mereka hanya apabila ada 
masalah. Biarkan anak-anak anda tahu bahawa anda berbangga dengan mereka, 
walaupun kadangkala ia kelihatan seperti bukannya satu perkara yang besar.

HULURKAN BANTUAN

Perhatikan tanda-tanda penyalahgunaan dadah dan alkohol, kegagalan dalam 
pelajaran, kemurungan dan keganasan. Berikut adalah beberapa panduan yang boleh 
anda perhatikan:
1. banyak masa diluangkan bersendirian dan mengasingkan diri dari keluarga dan 
rakan-rakan,
2. perubahan yang mendadak dalam prestasi di sekolah,
3. perubahan kelakuan dan pertukaran emosi yang drastik,
4. tidak berminat mempunyai hobi atau beraktiviti sosial atau rekreasi,
5. dan perubahan pilihan rakan-rakan atau mengasingkan diri daripada 
kawan-kawan lama.

Jangan takut untuk masuk campur dan mendapatkan bantuan dari luar. Kebanyakan 
komuniti mempunyai sumber-sumber bagi membantu ibu bapa membantu anak-anak 
mereka.

WUJUDKAN RUMAH SELAMAT

Jika anda mempunyai senjata api, pastikan ia sentiasa dikunci. Jangan bawa 
masuk dadah ke dalam rumah, dan sentiasa kuncikan kabinet barangan yang boleh 
membahayakan. Jangan merokok berdekatan anak-anak anda atau membenarkan orang 
lain berbuat demikian. Pastikan anak-anak remaja anda memakai tali pinggang 
keledar, belajar memandu dari sekolah memandu yang baik, dan tahu mengenai 
bahaya memandu secara laju.

TAHU APA YANG DITONTON, DIBACA, DAN DIDENGAR

Adalah tanggungjawab anda sebagai ibu bapa untuk menapis bahan-bahan yang 
sampai kepada anak-anak anda. Remaja pun memerlukan panduan untuk menjadi 
seorang pengguna media yang berpengetahuan. Tontonlah televisyen atau dengar 
muzik bersama anak-anak anda dan bantu mereka memahami perbezaan antara 
kehidupan sebenar dan apa yang digambarkan dalam media. Carilah masa yang 
sesuai untuk mengajar; karakter dan cerita yang digambarkan dalam media sering 
memberikan peluang untuk berbual mengenai isu-isu yang melibatkan anda dan 
anak-anak anda.

LIBATKAN DIRI DALAM MASYARAKAT

Ibu bapa boleh membuat perubahan dalam kehidupan anak-anak mereka, tetapi ibu 
bapa tidak boleh menyelesaikan kesemua masalah yang dihadapi oleh anak-anak 
mereka. Ibu bapa hendaklah melibatkan diri dalam mengubah persekitaran di mana 
anak-anak mereka menghadapi cabaran dan pilihan-pilihan yang sukar. Lebih 
banyak sokongan yang diberikan oleh masyarakat terhadap perkembangan positif 
remaja, lebih mudah bagi anda menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ibu 
atau bapa. Galakkan pihak sekolah dan organisasi-organisasi lain untuk 
mengendalikan dan menjalankan aktiviti yang bebas rokok dan bebas dadah. 
Sokonglah penubuhan tempat-tempat rekreasi yang mesra remaja dan selamat 
daripada dadah, alkohol, dan rokok.

Ambil bahagian dalam organisasi-organisasi komuniti yang mempromosikan pihak 
polis untuk membantu kanak-kanak dan remaja, seperti menghalang penjualan rokok 
kepada kanak-kanak atau mengurangkan keganasan dalam masyarakat. Pergilah ke 
kedai-kedai yang mempromosikan pilihan-pilihan yang sihat bagi remaja. Bantulah 
remaja lain dalam masyarakat anda dengan menjadi mentor mereka atau mengambil 
remaja bekerja di tempat kerja anda. Libatkan diri dengan kumpulan belia di 
tempat anda atau di pusat komuniti setempat.

Dalam dunia serba moden sekarang ini, tanggungjawab sebagai ibu bapa semakin 
besar dan berat dalam mendidik anak bagi melahirkan generasi cemerlang pada 
masa akan datang. Justeru, ibu bapa juga seharusnya menambah ilmu dari semasa 
ke semasa bagi menangani karenah anak-anak remaja yang sduah semakin 
terkehadapan sekarang ini. 
  

    Posted by usrah_keluarga 



       
---------------------------------
 Copy addresses and emails from any email account to Yahoo! Mail - quick, easy 
and free. Do it now...

Kirim email ke