Assalamualaikum warahmatullah…


Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam. Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan yang disembah selain Allah yang Esa, tiada sekutu bagiNya dan aku
bersaksi bahawa Nabi Muhammmad saw itu hamba dan pesuruhNya. Selawat
berserta salam buat Baginda saw yang memiliki akhlaq terpuji dan menjadi
ikutan selamanya berserta ahli keluarga Baginda. Juga sejahtera buat
kita semua dan orang-orang yang beramal soleh.



Bismillahir Rahmanir Raheem…



Secara tiba-tiba, isu `anak derhaka' menjadi topik utama di
Dewan Rakyat. Ini sebenarnya raksi ahli-ahli parlimen lanjutan daripada
pendedahan yang dibuat oleh akhbar Harian Metro pada 7 April lalu
mengenai Pakcik Bakhtiar Ramli dan pasangannya yang dikatakan melarikan
diri dan mendapatkan perlindungan di Pusat Jagaan Warga Emas akibat
menerima layanan buruk oleh 7 (TUJUH) orang anak mereka.



Sesungguhnya berita mengenai warga emas yang dipersiakan oleh anak-anak
mereka memang menyayat hati. Dan ini bukanlah kisah yang petama kali
terjadi. Tetapi apa yang lebih menarik perhatian saya sebenarnya adalah
reaksi orang kenamaan kita berkenaan kejadian ini. Mungkin sengaja
ataupun secara kebetulan, Dewan Rakyat juga sedang membincangkan Rang
Undang-Undang Pusat Jagaan (Pindaan) 2006.



Saya tidak pasti apa yang dibincangkan tetapi, yang menarik pada
pandangan saya adalah beberapa pandangan yang dikeluarkan ahli-ahli
parlimen. Paling menarik adalah pandangan dari ahli parlimen Setiu, Mohd
Yusof Majid. (Ini berdasarkan pembacaan saya di Harian Metro. Jika
sekiranya memang ada pandangan dari pihak pembangkang yang lebih menarik
tetapi tidak disiarkan, maaf, saya tidak tahu).



Menurut Mohd Yusof, anak-anak berkemampuan yang menghantar ibu bapa
mereka ke pusat jagaan agar dikenakan potongan gaji ke atas mereka
manakala anak-anak yang menjaga ibu bapa mereka diberikan insentif
seperti potongan cukai dan sebagainya. Tidak dapat tidak, saya amat
bersetuju dengan pendapat itu. Terutama bahagian potongan gaji. Hanya,
pemberian insentif perlu dinilai dengan lebih mendalam.



Sebenarnya, ketika pertama kali mendengar perkara ini dibahaskan di
Dewan Rakyat dalam Buletin Utama siaran TV3 pada Rabu, 11 April
tempohari sudah cukup mengundangkan perbahasan di kalangan ahli keluarga
saya sendiri. Tambah lagi, dalam siaran tersebut, TV3 menjalankan
bancian SMS membincangkan wajarkah anak yang menghantar ibu bapa mereka
ke pusat jagaan dikenakan tindakan.



Sebagai warga emas, ibu saya dengan segera mengatakan persetujuannya.
Tetapi tidak, bagi saya. Kerana, sekiranya mereka ini dihukum, maka akan
terjadi peristiwa ibu bapa terbiar sehingga akhirnya `mati
beragan', sebagaimana gambar yang pernah tersebar di dalam internet
tidak berapa lama dahulu. Jika tidak dihukum, sekurang-kurangnya,
anak-anak mereka berani menghantar mereka ke pusat jagaan dan warga emas
itu nanti tidaklah tersia.



Kemudian abang sulung saya pula bersuara. "Sepatutnya, anak yang
hantar ibu bapanya ke pusat, kemudian tidak datang menziarah dan tidak
menghantar belanja (sedangkan mereka mampu) yang perlu dihukum"
katanya. Samalah seperti pendapat Ahli Parlimen Setiu itu tadi.
Adakalanya, menghantar warga emas ini ke pusat jagaan lebih baik.
Sekurang-kurangnya mereka boleh berkawan sesama mereka dan penjagaan
juga akan lebih rapi.



Bukan apa, kerana saya pernah melihat di hadapan mata saya sendiri
bagaimana seorang warga emas yang diherdik oleh cucunya. Manakala
menantunya pula sering merungut itu dan ini. "Orang tua ni ada
`bela'. Malam-malam memekak je terjerit-jerit. Bila nak mampus
entah!" gerutu cucunya. "Orang tua, biasalah. Kita tua nanti tak
tau lagi macam mana" jawab saya cuba mengingatkannya. "Tak.
Orang tua ni lain. Dia ada belaan!"



Tetapi rungutan sebegini tidak kedengaran ketika ayahnya (anak kepada
warga emas itu) ada di rumah. Malah ketika itu si warga emas dijaga
dengan baik. Kalaulah dia cuba mengadu kepada anaknya, maka akan segera
disangkal oleh menantu dan cucunya dengan mengatakan dia sudah nyanyuk.
Keadaan ini benar-benar berlaku di hadapan mata saya. Setuju atau tidak,
warga emas tadi lebih wajar tinggal di pusat jagaan dari rumah anaknya?



Maka kerana itu saya tidak dapat bersetuju dengan pendapat ahli parlimen
Jerai, Datuk Badruddin Amiruldin yang mencadangkan Pusat Jagaan Warga
Emas ini ditutup sahaja. "Biar anak-anak lebih bertanggung
jawab", katanya. Benar, kita boleh paksa anak-anak untuk menjaga
orang tua mereka tetapi, dapatkah sesuatu kerja yang dilakukan dalam
keterpaksaan diselesaikan dengan baik? Saya rasa anda tahu jawapannya.



Maka di sini, perkara yang menjadi pokoknya adalah pendidikan agama.
Manusia yang berdiri atas pegangan aqidah yang sempurna akan menjadi
manusia yang cukup berguna. Sama ada kepada orang tuanya, mahupun kepada
negara. Dan manusia begini tidak mungkin akan mensia-siakan orang tua
mereka. Jadi, mungkin sudah tiba masanya kerajaan merobah dasar
pendidikan agar lebih menerapkan pendidikan Islam yang tulen, bukan
Hadhari.



Dan bercakap tentang insentif, sebenarnya, sebagai seorang yang menjaga
kedua ibu bapanya, perkara ini sepatutnya mendatangkan kegembiraan buat
saya. Malah, suatu ketika dulu saya berasa sepatutnya di dalam Borang BE
cukai pendapatan, ada rebet untuk orang yang menjaga ibu bapanya seperti
mana rebet untuk orang yang menjaga anak mereka. Malah ayah saya juga
bertanya mengapa kerajaan tidak mengadakan perkara seperti itu.



Memanglah nampaknya seperti elok. Tetapi saya rasa akan ada pihak yang
cuba mengambil kesempatan nanti. Kerana inginkan rebet tersebut, maka si
anak akan bawa ibu bapa mereka tinggal bersama. Tetapi kemudian,
dihambakan seperti seorang pembantu rumah bahkan lebih teruk lagi kerana
tidak dibayar gaji. Jadi si anak dua kali untung. Pertama dikenakan
rebet, dan yang keduanya, tidak perlu mengupah pembantu rumah.



Adakalanya juga, ada orang tua yang lebih menyayangi seorang anak
berbanding anak yang lain. Kadangkalanya, anak yang paling disayang yang
enggan menjaga mereka hinggakan mereka terpaksa tinggal dengan anak yang
dibenci. Tetapi `anak derhaka' itu tetap menjadi anak kesayangan
mereka. Ini juga biasa terjadi. Bimbang nanti, di hadapan penguasa,
mereka mendakwa anak kesayangan mereka yang menjaga mereka. Maka yang
mendapat potongan dalam cukai adalah si anak kesayangan walaupun ia
mengabaikan mereka.



Soal menjaga ibu dan bapa ini adalah soal iman dan aqidah. Menghukum,
mengutuk atau memberi malu kepada mereka yang mengabaikan orang tua
mereka tidak akan membawa apa. Nabi Muhammad saw malah Allah swt sendiri
mengutuk, menghina bahkan menjanjikan azab yang pedih untuk anak derhaka
tetapi manusia tidak sedikitpun takut. Inikan pula hukuman dunia yang
boleh dielak dengan `lidah yang lembut'?



Tingkatkan didikan agama di sekolah-sekolah kerajaan. InsyaAllah, bukan
setakat masalah penjagaan warga emas, bahkan kebanyakan kebejatan sosial
yang melanda negara kita ini juga akan dapat diselesaikan. Asalkan
kerajaan sedia untuk tidak lagi mempolitikkan isu pendidikan agama
seperti mengatakan sekolah agama tempat merikrut pengganas atau tempat
penyebaran ideologi  pembangkang.ma kita sebenarnya mampu membentuk
masyarakat yang lebih cemerlang jika kembali kepada Islam yang lebih
tulen…



Sekian buat kali. Segala yang baik datang dari Allah dan yang tidak baik
adalah akibat kejahilan saya sendiri.



Wabillahitaufiq walhidayah.



Wassalamualaikum warahmatullah…



-Abu Naqibah-



Komen dan kritikan membina dialu2kan. Email saya di [EMAIL PROTECTED]
<mailto:[EMAIL PROTECTED]>  atau lawati
http://abunaqibah.blogspot.com/

Kirim email ke