Bila wakil rakyat mati baru ada pembangunan?
Nyza Ayob
Mon | Apr 16, 07 | 06:18:39 PM KUALA LUMPUR,
16 April (Hrkh)- "Apabila ada orang mati baru ada pembaharuan. apa namanya
demokrasi apabila ada wakil rakyat meninggal barulah dijanjikan untuk
mempertingkatkan 'public service' . Perbelanjaan yang digunakan juga melebihi
dari sepatutnya. Saya mahu laporan terperinci kenapa kawasan pembangkang di
diskriminasi""
Perasaan tidak puas hati itu diluahkan Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang di
Dewan Rakyat hari ini sewaktu membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan
Tambahan 2007 peringkat Kementerian Kewangan,
Selain tidak puas hati dengan Barisan Nasional sepanjang proses kempen di
Machap, Kit Siang turut menyentuh tentang perletakan jawatan Timbalan Ketua
Menteri Sabah, Tan Sri Chong Kah Kiat yang didakwa disebabkan berlakunya krisis
antara Ketua Menteri Sabah.
Kenyataannya itu bagaimanapun disanggah Dato' Ronald Kiandee(BN-Beluran).
"Yang berhormat tadi main isu Machap, sekarang main pemikiran orang Sabah.
Kenapa isu orang berhenti jadi isu pada pembangkang. Dia yang hendak berhenti
secara sukarela. Itu hak seseorang, kenapa Yang berhormat mahu pertikai,"
katanya yang turut disokong rakannya, Bung Mokhtar Radin(BN-Kinabatangan)
Dalam ucapannya Kit Siang juga membangkitkan isu slogan Sabah Baru yang
dicanangkan BN suatu ketika dahulu, tetapi tidak mendatangkan sebarang
perubahan kepada pembangunan Sabah.
"Betapa kosong Umno dengan slogan Sabah baru. Apa yang Umno telah sebut apabila
pertama kali 'memasuki' Sabah? Umno kata akan mengurangkan kemiskinan di Sabah.
Apakah benar kemiskinan berjaya di kurangkan di Sabah? " soalnya.
Kenyataannya itu sekali lagi di sangkal oleh Bung Mokhtar yang masih tidak
berpuas hati dengan kenyataan Kit Siang yang menyatakan berlakunya krisis yang
menyebabkan perletakan jawatan Timbalan Ketua Menteri Sabah.
"Umno lari dari kenyataan dan suara kebenaran. Jika berani, tolong jawab sama
ada betul atau tidak berjaya mengurangkan tahap kemiskinan," tegasnya.
Bung Mokhtar yang kelihatan berang, mempersoalkan kenyataan Kit Siang dengan
mengatakan, "Beranilah ni, kita belum takut pada pembangkang. Di Sabah bukan
tidak ada pembangunan. Ada pembangunan di tempat saya."
Tanpa mempedulikan sanggahan wakil BN, Kit Siang terus mendakwa, selain
kemunduran di Sabah, puak Kadazan Dusun juga disifatkannya sebagai 'new under
class'.
Beliau turut memberi contoh terdapat kes di mana seorang kanak-kanak di Sabah
membunuh diri akibat kemiskinan yang menghimpit keluarganya.
Kenyataannya itu sekali lagi menimbulkan ketegangan di kalangan Ahli Parlimen
BN dari Sabah.
Suasana menjadi semakin tegang apabila wakil Kinabatangan, Beluran, dan
Putatan bangkit bagi menyangkal kenyataan Kit Siang.
"Bagi saya laluan untuk menjelaskan pasal Tony. Saya boleh jelaskan pasal Tony
kerana saya kenal keluarga Tony," Dato' Dr Makin @ Marcus Mojigoh (BN- Putatan)
yang bangkit untuk menjelaskan isu bunuh diri kanak-kanak bernama Tony itu
langsung tidak diendahkan dan tidak diberi laluan oleh Kit Siang.
Sementara itu Kinabatangan dan Beluran tetap tidak berpuas hati dan menyatakan
kenyataan Kit Siang bahawa puak Kadazan dan Dusun tertindas sebagai menghasut.
Suasana bertikam lidah menyebabkan dewan menjadi gamat dan Timbalan Yang
DiPertua Dewan Rakyat, Dato' Lim Si Cheng terpaksa mententeramkan keadaan.
"Yang Berhormat semua duduk. Janganlah bising!. Tidak akan habis dengan cara
ini," katanya.
Perbahasan Kit Siang juga semakin membangkitkan kemarahan Ahli Parlimen BN
apabila beliau membangkitkan isu laporan polis terhadap 25 pertuduhan rasuah
yang melibatkan Ketua Menteri Sabah, Dato' Musa Aman.
Isu ini pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kubang Kerian dalam perbahasan
menjunjung kasih ucapan DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agung,
baru-baru ini.
Dalam ucapannya Kit Siang dengan tegas menyatakan BN terlibat dalam pemalsuan
kad pengenalan di Sabah.
Bagaimanapun kenyataannya itu disanggah Dato' Seri Md Salleh Tun Said
Keruak(BN- Kota Belud) yang menyatakan tidak patut menuduh BN terlibat dalam
isu pemalsuan kad pengenalan itu. - mr
---------------------------------
Yahoo! Mail is the world's favourite email. Don't settle for less, sign up for
your freeaccount today.