Mempelajari Prinsip Hidup Tokoh Islam Terkaya Di Malaysia
Posted on Friday, July 13 @ 16:37:58 MYT by greenboc
L/belakang Syed Mokhtar
- Umur - 53 tahun
- Pendidikan - SPM
- Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
- Kekayaan -RM1,425 juta
- Ke 7 terkaya di Malaysia
- Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)
- Antara syarikat miliknya - MMC, Pelabuhan Tg. Pelepas, BERNAS, Gardenia,
DRB-HICOM dan Bank Muammalat
- Kereta - Proton Perdana
- Sumbangan sosial -Yayasan Al-Bukhary, institusi pengajian untuk 3,000
pelajar, Muzium Kesenian Islam, Kompleks Al-Bukhary, menaja kelas tuisyen untuk
pelajar Melayu, pengindahan Masjid Negara, sumbangan RM1 juta untuk Tabung
Tsunami dan menaja setiap tahun penghantaran rakyat Malaysia yang tak mampu
untuk tunaikan haji.
- Bagaimana sumbangan sosialnya bermula
Bilamana ibunya menyuruh memberikan sebahagian elaun ( RM750.00) pertamanya
sebagai pengarah syarikat beras kepada jiran yang susah. Sebahagian lagi
(RM750.00) ibunya simpan. Selain itu, ibunya juga menyuruh beliau menghantar
lampu kerosen ke surau-surau untuk menerangi kegiatan sepanjang malam bulan
Ramadhan. Dari situ bermulalah pembentukan peribadi dan pemikiran Syed Mokhtar
yang kita kenali hari ini.
1. Ada sebab kenapa saya bekerja seperti tiada hari esok. Agenda sosial dan
kerja-kerja kemasyarkatan itulah antara sebabnya. Saya mahu meninggalkan
warisan untuk anak bangsa yang kekal berpanjangan
2. (berkenaan know who) Bangsa lain tak mengapa tapi orang Melayu kena
berdamping dengan orang politik sedikit-sedikit. Tapi masalahnya kita tidak
mahu melalui kesusahan; banyak yang mahu senang dengan mendampingi orang
politik semata-mata.
3. Tiada apa-apa rahsia. Saya ini hamba Allah biasa, budak dangau macam
saudara semua juga. Tuhan jadikan manusia ini sama sahaja. Proses kematangan
saya yang membezakannya. Saya percaya sesiapa pun boleh menjadi apa sahaja
asalkan mereka berusaha dengan tekun. Tetapi tentulah ia memakan masa. Tiada
jalan singkat.
4. Saya mengenali kekuatan dan kelemahan saya. Apa yang tidak mampu buat saya
akan minta orang lain tengok-tengokkan. Saya melalui jalan yang susah tapi
itulah jalan yang kekal.
5. Kita perlu menggunakan kepakaran mereka (bangsa Cina) kerana mereka jauh
lebih maju dan mahir daripada kita. Apa yang kita kurang faham kita berkongsi
dengan tujuan untuk belajar dengan mereka. Apabila sudah faham baru kita boleh
menjaga kepentingan kita.
6. Saya sedih melihat sistem sekolah pondok di Kedah. Saya ada cita-cita mahu
memodenkan sekolah pondok. Kita kena maju.
7. Saya terlibat dalam perniagaan ini kerana saya tiada pilihan lain.
8. Untuk memajukan perniagaan, memang kena banyak sabar dan kuat berusaha.
9. Tidak ada jalan singkat. Saya belajar tentang perniagaan ini sejak kecil
lagi dan saya juga biasa kena tipu.
10. Saya pun suka kemewahan. Saya pun suka tengok dunia, ke Tokyo , New York
dan London . Saya pun suka pakai baju elok. Tapi kita hendak bermewah setakat
mana, hendak pakai baju banyak mana, hendak tidur dalam berapa rumah satu
malam, hendak makan pun sampai larat mana ?
11. Dalam hidup ini kita sebenarnya tidak ada status; ada masa di atas, ada
masa di bawah.
12. Ketika Allah memberikan kemewahan, kita kena turun ke bawah, tengok
mana-mana yang boleh dibantu. Allah beri rezeki melalui kita untuk kita tolong
orang lain. Rezeki itu bila-bila masa dia boleh ambil balik. Jika ada orang
korporat Melayu yang tidak mahu turun ke bawah mungkin kerana bayangan duit itu
lebih kuat daripada yang lain.
13. Korporat Cina turun ke bawah membantu. Orang Cina ada pelbagai persatuan.
Kita tidak ada; kalau ada pun berpecah. Orang Melayu kita tidak mahu
bekerjasama kerana perasaan dengki menguasai diri. Sudahlah tak mahu berusaha,
apabila orang lain berusaha mereka marah
14. Rezeki yang ada itu sebenarnya untuk orang lain. Memang dari segi hukum
pun begitu. Kita kena keluar zakat dan fitrah. Tetapi zakat fitrah banyak mana
sangat. Islam agama yang adil; ia minta sedikit saja. Oleh itu, kalau ada duit
yang lebih ia seharusnya dibelanjakan dengan baik.
15. Saya tak kisah kalau saya tak buat semua ini. Saya boleh tak buat apa-apa
dan balik ke Alor Star. Tetapi saya rasa hidup ini sia-sia. Orang Kedah kata
kalau mati nanti mata tidak tutup rapat kerana tanggungjawab depan mata kita
tidak buat. Orang lain ambil kekayaan kita, ambil hak kita dan pergunakan kita,
kita masih tidak buat apa-apa !
16. Saya ada emotional attachment kepada agama, bangsa dan ummah. Saya bukan
individualistik. Diri saya tidak penting. Pangkat dan gelaran ini kepada saya
tidak mustahak.
17. Saya sedih media tonjolkan saya begini. Saya malu kerana orang Cina kaya
beratus-ratus kali ganda daripada saya. Tapi saya tahu orang Melayu kalau
hendak berjaya kena kerja kuat tidak kira siang malam. Kita ada kekuatan yang
tuhan beri melebihi daripada bangsa lain. Tetapi untuk maju kita perlu berusaha.
18. Saya asal daripada tidak ada apa-apa. Apa yang saya tidak tahu saya
belajar, minta tolong daripada orang. Saya tidak malu. Saya bukannya mencuri.
Saya usaha sendiri. Sikap pemalas dan pemalu ini yang orang Melayu kena atasi.
Kita kena berani kerana benar. Apabila kita dapat keuntungan dan rezeki lebih,
bolehlah kita menolong orang.
19. Kaya itu bukanlah kepada diri sendiri. Kaya itu adalah kepada kumpulan
perniagaan ini, kepada bangsa dan kepada orang ramai. Saya hanya memegangnya
untuk sementara sahaja.
20. Saya tiada keinginan untuk menyimpan kekayaan ini untuk anak dan isteri.
Duit ini tidak akan kekal. Saya percaya hanya perkara yang baik yang kita
lakukakan akan kekal. Bukan duit yang akan melindungi saya nanti tapi apa yang
saya lakukan sekarang.
21. Saya perlu terus mencari peluang dan perniagaan lain supaya kita terus
dapat bantu orang lain mengembangkan diri masing-masing. Saya bukan buat semua
ini untuk diri saya semata-mata.
22. Ada juga yang saya usaha tapi tak dapat dan orang tak tahu. Apa yang saya
dapat itu yang jadi masalah kononnya Syed Mokhtar sapu semua. Bangsa lain
memegang pelbagai kepentingan dalam ekonomi, siapa pun tak kata apa. Ini
masalah orang Melayu. Di kampung orang Melayu berpecah kerana politik, di
bandar berpecah kerana ini (wang).
23. Saya percaya kalau rezeki itu Allah beri kepada saya ia bukan untuk saya
tetapi untuk orang ramai juga. Orang tidak tahu banyak syarikat yang saya ada
ini gagal dan tidak maju kepada saya tetapi orang tidak tahu.
24. Banyak orang percaya bahawa dia mesti ada RM10 juta atau RM20 juta dalam
tangan baru hidup boleh selamat. Ini yang menyebabkan mereka hanyut daripada
menolong orang lain. Mereka lebih takutkan diri sendiri. Mereka lupa bahawa
kekayaan tidak boleh membantu selama-lamanya.
25. Orang kata saya takda duit tapi banyak hutang. Orang berniaga mana yang
tak berhutang. Tapi mesti tahu bagaimana hendak meminjam dan membayarnya
semula. Ada cara boleh kita buat. Tapi sebelum berhutang RM100 juta mesti sudah
fikir bagaimana hendak membayarnya balik. Mesti ada tanggungjawab. Banyak orang
mahu senang tapi tidak ramai yang mahu bertanggungjawab.
26. (perasaan setiap kali mendapat rezeki) . Saya ini kata orang Kedah, lebai
kodok bukan lebai pondok. Tapi saya tahu hal-hal asas. Kalau mahu saya minta
terus dari tuhan. Tuhan beri manusia akal dan fikiran. Kalau hendak pakai baju
dan seluar biarlah padan dengan badan.
27. Kesenangan yang saya perolehi ini datang dengan tanggungjawab (bila
pinjam bayar balik dan buat amal jariah). Kalau hendak dibandingkan dengan
bangsa lain, perniagaan saya ini tidak ada apa. Tetapi walaupun sedikit tetapi
yang sedikit itu ada berkatnya.
28. Saya suka kalau nikmat sedikit yang saya dapat itu orang lain boleh
berkongsi sama.
29. Saya kadang-kadang kecewa dan sedih melihat anak orang alim yang
sesetengahnya lupa diri setelah mendapat kekayaan. Saya pun sama seperti orang
lain suka hendak ke luar negara tetapi kita tidak boleh lupa kubur kita dan
asal usul kita. Di kampung kita mungkin ada jiran-jiran yang perlukan bantuan.
30. ......kalau tidak mungkin saya sudah ke Haatyai dan jadi nakal. Saya
manusia yang banyak buat kesilapan. Tetapi saya insaf, beristighfar dan jalan
lagi. Sejak awal saya ada kesedaran mahu mengekalkan hak kita sebagai orang
Melayu.
31. Saya kata kepada diri sendiri kalau kerana itu saya terpaksa bersusah
sedikit pun tidak mengapa.
32. Kekayaan ini tuhan beri kepada saya untuk saya menolong orang lain pula.
Saya percaya kepada keberkatan rezeki. Hari ini kita tolong orang, esok lusa
orang akan tolong kita pula dengan cara yang lain.
33. Kalaupun tidak sanggup tunggu 34 tahun seperti saya berilah sedikit masa
untuk faham selok belok perniagaan, Insya Allah boleh maju.
34. Kita jangan cepat putus asa. Putus asa boleh tapi kena cepat-cepat
kuatkan semula semangat untuk bangkit balik. Jangan jadikan agama hanya satu
tempat untuk kita bergantung apabila kita susah. Tanggungjawab ibadah adalah
tugas seharian.
35. Lifestyle ? Saya tidak ada lifestyle yang kena masuk kelab sana dan sini.
Tapi tak semestinya saya tidak boleh turun ke kelab. Orang Melayu kalau hendak
ke depan mesti ada cara hidup yang fleksibel, boleh naik dan turun.
36. Lifestyle ini sebenarnya satu penyakit. Saya biasa pakai Mercedes tapi
sekarang saya pakai Proton Perdana untuk sokong kereta nasional. Kereta itu pun
cukup untuk bawa saya ke mana-mana.
37. Tiada sebab kenapa orang Melayu tidak boleh maju. Ini saya berani perang
dengan sesiapa pun. Orang Melayu boleh maju . Kalau saudara jadi wartawan
saudara kena tanam semangat suatu hari nanti mahu ambil alih akhbar ini. Tidak
ada sebab kenapa ia tidak boleh berlaku.
38. Kejayaan dan kelemahan orang Melayu bukan disebabkan oleh bangsa kita dan
agama kita. Ia berkait dengan sikap dan cara kita berfikir. Gigih, tekun dan
tidak mudah putus asa merupakan kunci kejayaan kita. Tapi perkara ini kurang
wujud dalam cara orang Melayu berfikir.
39. Tuhan memberi peluang kepada siapa saja yang bekerja kuat. Apa yang ada
pada saya ini hanya usaha. Kalau anak dangau macam saya boleh, tidak ada sebab
orang lain terutama mereka yang dari pekan tidak boleh.
40. Kita tidak usahlah selalu mengulang-ulang perkara yang boleh memberikan
kesan psikologi negatif kepada orang Melayu (kereta dan rumah besar). Kita kena
kurangkan bercakap tentang kereta besar dan rumah besar . Sesiapa pun mahu
pakai kereta mewah tapi bukan itu matlamatnya.
41. Orang Melayu sebenarnya kena membantu diri sendiri, kena bekerja keras
dan fokus.
42. Sikap merendah diri perlu sentiasa ada dalam diri seseorang walau
setinggi mana pun kejayaan dicapai.
43. Apa yang saya buat ini (kerja-kerja sosial) semuanya bermula daripada
didikan orang tua saya sendiri.
44. Saya sendiri berhutang sambil berniaga dan buat sumbangan amal jariah.
Saya tak mahu tunggu hutang habis baru hendak buat semua ini. Saya takut kalau
hutang habis saya pun mati dan apa pun tak sempat saya buat.
45. Saya biasa saja. Hidup saya tidak berubah, dari dulu beginilah. Saya
terima apa saja nikmat yang diberikan oleh Allah. Tidak ada segelas air, ada
setengah gelas pun saya bersyukur.
46. Kalau kerana sedikit bantuan itu mereka lulus peperiksaan dan hidup
mereka menjadi lebih baik, saya sudah gembira. Saya tidak boleh buat banyak.
Alhamdulillah, lebih baik buat sedikit daripada tidak buat langsung.
47. Saya tiada minat untuk beli kapal layar atau kapal terbang. Saya fikir
kalau saya beli sesuatu biarlah orang ramai boleh pakai. Saya suka kalau saya
beli sesuatu yang mahal, biarlah orang ramai boleh pakai.
48. Saya gembira dapat membantu. Saya mahu orang lain merasai (kesenangan)
apa yang saya pernah rasa. Saya tahu bagaimana perasaanya. Saya kata kepada
diri saya, apa yang saya dapat saya mesti beri orang lain merasainya sama.
Jangan beri kurang, lebih tak mengapa. Itu yang membuat hati saya seronok.
49. Saya rasa saya ingin menyumbang lebih daripada ini. Saya kata kepada
kawan-kawan ini baru warm-up saja; kita belum berjalan lagi.
50. Saya rasa kita terlalu banyak ketinggalan.
Kepada anak-anak ibu;
" Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan di dunia; dan amal-amal
soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala
balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan"
(Surah Al-Kahfi: Ayat 46)
dari ceritaibu.blogspot.com
dengan disusunsemula oleh Greenboc.