Hanya ada satu cara supaya nyawa anggota tentera kita
tidak digadaikan dengan menggunakan helikopter Nuri
yang berusia 38 tahun yang dibeli pada tahun 1969.

Kerajaan hendaklah mewajibkan Perdana Menteri,
Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kabinet dan semua
pembesar negara agar menggunakan helikopter Nuri untuk
menghadiri mana-mana majlis rasmi dalam negara
bukannya menaiki helikopter eksekutif. Barulah mereka
sendiri boleh merasakan bagaimana rasanya menaiki
helikopter yang berusia hampir 40 tahun dalam
menjalani tugasan harian. Kalau kita sanggup
berbelanja BERBILLION RINGGIT untuk membeli jet Sukhoi
dan Kapal Selam Scorpene kenapa tidak sanggup
berbelanja JUTAAN RINGGIT sahaja untuk menggantikan
NURI yang digunakan hampir setiap hari untuk misi
menyelamat, mencari dan sebagainya ?

Al Fatihah kepada semua anggota pasukan keselamatan
kita yang telah gugur mempertahankan agama, bangsa dan
negara.

****************** 
7/13/07
Artikel Menggusarkan Tahap Pertahanan Negara
 
Berikut satu rencana dari Utusan Malaysia yang amat
menggusarkan akan tahap pertahanan negara kita
Malaysia, sempena sambutan ke 50 tahun kemerdekaan,
walaupun berbillion ringgit telah dibelanjakan untuk
membeli jet pejuang, kapal selam, kereta kebal.

*********************************************
Contohi pertahanan Singapura - Oleh Azmi Hassan –
Utusan Malaysia 12 Julai 2007

DALAM hal ehwal pembentukan dasar dan arah tuju
pertahanan di kalangan negara anggota ASEAN, Singapura
dikatakan mempunyai perancangan yang begitu menarik
dan tersusun.

Begitu menarik sekali untuk mengkaji ketertiban pihak
bertanggungjawab Singapura mengatur strategi
pertahanan mereka. Paling menarik ialah mengenai
penubuhan skuadron helikopter penggempur Apache
Longbow (AH-64D) yang mengambil masa hampir satu dekad
lamanya.

Kejayaan Singapura dianggap sebagai satu lakaran dalam
sejarah pertahanan dunia kerana kejayaan mewujudkan
pangkalan di luar Amerika Syarikat, Israel dan negara
anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).

Skuadron 120 Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF)
mengendalikan 20 helikopter penggempur serba canggih
ini dan menjadikan pangkalan udara Sembawang sebagai
pusat operasi mereka.

Memang benar keakraban Singapura dan AS telah
memainkan peranan utama dalam menjayakan realisasi
itu. Tetapi kesungguhan dan ketelitian Singapura,
terutama sekali seperti yang dipamerkan oleh Angkatan
Tentera Singapura (SAF), sebenarnya telah menjamin
cita-cita mereka dapat dicapai.

Satu lagi perkara yang agak menarik mengenai
perancangan strategi SAF ialah bagaimana negara
tersebut telah berjaya menubuhkan Pusat Kawalan Kapal
Terbang Tanpa Pemandu (UAV) baru-baru ini. Pusat
kawalan adalah penting kerana ia dianggap sebagai nadi
sesebuah organisasi tentera kerana kebanyakan
keputusan semasa konflik adalah berpunca dari sini.

Kewujudan pusat kawalan dianggap sebagai lumrah dalam
sistem pertahanan sesebuah negara kerana ia merupakan
satu keperluan asas. Sebab itu penubuhan Pusat Kawalan
Pertahanan dan Operasi Udara (ADOC) RSAF pada Januari
lepas dianggap satu perkara biasa.

Tetapi pengumuman yang dibuat pada bulan Mei lalu
mengenai penubuhan pusat kawalan khas untuk UAV
dianggap sebagai satu perkara yang agak luar biasa
kerana tidak banyak negara yang memiliki kepakaran dan
teknologi UAV.

Lebih menarik lagi ialah pengumuman penubuhan pusat
kawalan UAV Singapura dilakukan dua minggu selepas
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan
Datuk Seri Najib Tun Razak menyaksikan demonstrasi
penerbangan sulung UAV tempatan di Lapangan Terbang
Batu Berendam, Melaka pada 15 Mei 2007.

Jika Malaysia dikatakan baru mula mahu berjinak dengan
pembangunan UAV, Singapura dikatakan telah
melaksanakan strategi pembangunan UAV semenjak tahun
1970-an lagi melalui agensi penyelidikan seperti
Agensi Sains dan Teknologi Pertahanan (DSTA) dan
Organisasi Sains Pertahanan (DSO).

Penyelidikan dan pembangunan UAV Singapura dikatakan
menarik kerana strategi yang diatur begitu tertib
sekali bermula dengan pembangunan kapal terbang
kawalan jauh (RPV) pada awal tahun 1970-an. Pada
pertengahan 1980-an RSAF mula menggunakan UAV jenis
Scout sehinggalah ia digantikan dengan UAV lebih
canggih Searcher pada awal 1990-an. Begitu ke
hadapannya penyelidikan UAV Singapura, diberitakan
Searcher pula akan digantikan dengan UAV yang lebih
canggih Hermes-450.

SAF banyak menggunakan UAV kerana ia merupakan tunjang
utama transformasi 3G (Generasi Ketiga) angkatan
tentera mereka. RSAF 3G umpamanya menekankan keupayaan
pertahanan udara paling canggih dan sudah semestinya
UAV bakal memainkan peranan utama.

Eksesais Wallaby 2006 iaitu latihan ketenteraan SAF
terbesar yang telah diadakan di Shoalwater Bay
Training Area, Australia menyaksikan penggunaan UAV
secara meluas bersama-sama dengan jet pejuang F16 dan
helikopter penggempur Apache. Latihan yang melibatkan
hampir 4,000 anggota tentera SAF antara lain menguji
kemampuan UAV Searcher beroperasi dalam teater
peperangan seperti yang terdapat dalam Eksesais
Wallaby.

Strategi

Sememangnya begitu menarik melihat perjalanan
perkembangan strategi pertahanan SAF kerana banyak
perkara yang boleh dipelajari daripada apa yang telah
diamalkan oleh Singapura, sama ada secara tersurat
atau tersirat.

Kesungguhan yang telah ditunjukkan oleh penggubal
dasar pertahanan Singapura dalam melaksanakan sesuatu
strategi pertahanan sepatutnya menjadi teladan kepada
semua pihak. Peranan dan sumbangan yang telah
dimainkan oleh DSO dan DSTA dalam meningkatkan
penyelidikan sains pertahanan Singapura mempamerkan
satu strategi yang mantap.

Apabila SAF menyatakan hasrat untuk menubuhkan
skuadron helikopter penggempur sedekad yang lepas,
ramai penganalisis mengetepikan hajat tersebut sebagai
impian semata-mata yang tidak mungkin dapat dicapai.
Tetapi hari ini RSAF telah pun mempunyai satu skuadron
helikopter penggempur paling hebat iaitu Apache
Longbow.

Begitu juga apabila SAF mula berjinak-jinak dengan
pembangunan UAV hampir 40 tahun lepas, ramai yang
tidak ambil kisah kerana pada ketika itu peranan UAV
masih samar-samar lagi. Tetapi hari ini mereka
mempunyai UAV Hermes-450 yang sama hebat dengan UAV
kepunyaan AS seperti Predator dan Global Hawk.

Pembangunan pusat kawalan UAV RSAF menjadi lebih
menarik kerana terdapat desas-desus yang menyatakan AS
akan mendirikan sebuah pangkalan UAV di salah sebuah
negara di Asia Tenggara.

Berita terkini mengenai penubuhan pusat kawalan UAV
RSAF nampak gayanya mengesahkan bahawa calon sebenar
pangkalan tersebut bukannya Malaysia atau Indonesia.

* AZMI HASSAN ialah Pengarah Pusat Dasar Teknologi &
Kajian Antara- bangsa (Centepis), Universiti Teknologi
Malaysia, Kuala Lumpur.

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2007&dt=0712&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm

Adakah pertahanan udara negara begitu rapuh ?

Beberapa kemalangan yang menimpa pesawat Tentera Udara
Di Raja Malaysia (TUDM) mutakhir ini menggusarkan
rakyat Malaysia apakah sistem pertahanan negara kita
rapuh serta mempertaruhkan nyawa anggota TUDM
khususnya dan rakyat pada amnya. 

Buat masa ini TUDM mempunyai 14 pesawat pejuang
MiG-29N, 2 pesawat pejuang MiG29NUB, 8 pesawat pejuang
F/A-18D Hornet, 7 pesawat pejuang Aermacchi MB-339A,
16 pesawat pejuang Hawk 208, 6 pesawat pejuang Hawk
108, 2 pesawat pejuang RF-5E Tigereye, 3 pesawat
pejuang F-5F dan 10 pesawat pejuang F5E Tiger II.
TUDM juga mempunyai 17 pesawat pejuang MB-339C yang
dibeli daripada Tentera Udara New Zealand pada tahun
2003 tapi masih tidak lagi beroperasi.  TUDM juga akan
menerima 18 pesawat pejuang Sukhoi SU 30MKM dalam masa
terdekat ini secara berperingkat.

Sementara itu TUDM dalam kategori pesawat pengangkut
pula mempunyai 8 pesawat Hercules C-130-30 , 2 pesawat
Hercules C-130, 4 pesawat pengangkut minyak Hercules
KC-130130H, 8 pesawat komunikasi Cessna 402B, 8
pesawat CN235-220M, 2 pesawat VIP CN235-220M, 1
pesawat VIP Boeing 737-700 BBJ, 1 pesawat VIP
Bombardier Global Express, 1 pesawat VIP Bombardier
CRJ-700 Regional Jet, 1 pesawat VIP Dassault FALCON
900B dan 1 pesawat VIP F28-100. Sementara itu TUDM
telah menempah 4 pesawat pengangkut Airbus Military
A400M.

Dalam bidang maritim pula TUDM memilikki 4 pesawat
Beechcraft Super Kingair B200T MPA dan 2 pesawat
Lockheed Hercules PC-130H.

Untuk kategori helikopter pula TUDM mempunyai 28 buah
helikopter serbaguna Nuri Sikorsky S61A-4, 2 buah
helikopter komunikasi Nuri Sikorsky S61A-4, 2 buah
helikopter VIP Agusta Sikorsky A56-N1, 1 buah
helikopter VIP Agusta A-109C dan 2 buah helikopter VIP
Sikorsky S-70 Black Hawk. TUDM juga akan menerima 10
buah helikopter buatan Rusia Mi-171SH untuk tujuan
mencari dan menyelamat.

Dalam kategori pesawat pelatih pula TUDM mempunyai 36
pesawat Pilatus PC-7, 8 pesawat Pilatus PC-7MkII, 20
pesawat MD3-160 Aerotiga dan 3 pesawat CTRM Eagle ARV.

Pesawat-pesawat TUDM ini ditempatkan di 8 buah
pengkalan udara iaitu di Gong Kedak, Alor Setar,
Butterworth, Kuantan, Subang, Sungai Besi, Kuching dan
Labuan.

Dibandingkan pula dengan keupayaan Tentera Udara
Republic Singapura (RSAF – Republic of Singapore Air
Force) sebuah negara yang kerdil. RSAF mempunyai 26
pesawat pejuang F-16C Falcon,  36 pesawat pejuang
F-16D Falcon, 36 pesawat pejuang F-5S Tiger 2, 9
pesawat pejuang F-5T Tiger 2 dan 8 pesawat pejuang
RF-5S Tiger 2. Sementara itu RSAF menjangkakan akan
menerima sebanyak 12 ke 20 buah pesawat pejuang
tercanggih di dunia iaitu Boeing F-15SG pada tahun
2008 atau 2009.

Dalam kategori helikopter pula RSAF mempunyai 18 buah
helikopter pengangkut berat Chinook CH-47SD, 22 buah
helikopter pengangkut  Super Puma AS 332M, 6 buah
helikopter pengangkut Eurocopter AS 532UL Cougar, 20
helikopter tempur dan anti kereta kebal Apache Longbow
AH-64D dan 6 helikopter anti kapal dan anti kapal
selam Sikorsky ASW S-70B.

RSAF juga mempunyai 6 buah pesawat pengangkut berat
Lockheed C-130H serta 4 buah pesawat VIP F50 UTL.
Disamping itu RSAF memilikki 4 buah pesawat mengisi
minyak di udara dari jenis Boeing KC-135R dan
memilikki 4 buah pesawat mengisi minyak di udara dari
jenis Lockheed KC-130B.

Menariknya RSAF mempunyai pesawat pengawasan amaran
AEWACS (Airborne Early Warning) sebanyak 4 buah dari
jenis Grumman E-2C Hawkeye. Serta 5 buah pesawat
maritim dari jenis Fokker F50 ME2 yang dilengkapi
dengan persenjataan Harpoon.

Dalam kategori pesawat pelatih pula RSAF menggunakan
27 pesawat pejuang Marchetti S.211, 4 pesawat pejuang
Super Skyhawk A-4SU, 4 pesawat pejuang Super Skyhawk
TA-4SU dan sekurang-kurangnya 5 buah helikopter
Eurocopter EC120 dan AS 550U.

RSAF juga mempunyai beberapa pesawat pengintip tanpa
juruterbang iaitu sebanyak 40 buah dari jenis IAI
Searcher Mk2 dan beberapa buah lagi dari jenis IAI
Malat Scout, ST Blue Horizon dan ST Firefly.

Pesawat-pesawat RSAF ini beroperasi di 6 buah
pengkalan udara dalam negara Singapura iaitu di Changi
(Barat), Changi (Timur), Paya Lebar, Sembawang, Tengah
dan Kem Murai.

RSAF turut mempunyai beberapa pengkalan udara di luar
Singapura iaitu Pengkalan Udara Pearce dan Oakey di
Australia, Pengkalan Udara Cazaux di Perancis,
Pengkalan Udara Luke, Cannon, Grand Prairie dan
Silverbell di Amerika Syarikat. Pengkalan udara RSAF
di luar negara ini menempatkan pesawat-pesawat dan
anggota-anggota RSAF bagi tujuan latihan. RSAF juga
telah menghadiahkan beberapa pesawat pejuang F-16
kepada Royal Thai Air Force sebagai pertukaran, RSAF
akan menggunakan Pengakalan Udara Udon Thani di
Thailand selama beberapa hari setiap tahun untuk
tujuan latihan.

Pada tahun 2003 Singapura telah menyertai program
pembangunan pesawat pejuang tercanggih F-35 Joint
Strike Fighter (JSF) yang dijangkakan akan mula
beroperasi pada tahun 2015. Dalam masa akan datang
RSAF dijangkakan akan beroperasi dengan menggunakan
dua jenis pesawat pejuang iaitu F-35 dan F-15.

Di atas kertas keupayaan RSAF jauh ke hadapan jika
dibandingkan dengan TUDM. Walaupun negara Singapura
begitu kerdil tetapi kekuatan tentera udaranya
membanyangkan bahawa negara tersebut adalah gergasi
pertahanan udara di rantau ini.

Statistik di atas menunjukkan bahawa RSAF lebih
tertumpu kepada operasi pesawat dari jenis yang sama
dengan ini akan memudahkan kerja penyenggaraan,
mendapatkan alat ganti serta melatih anggota-anggota
yang mengendali dan menyenggara pesawat tersebut.
Sementara TUDM pula yang mempelbagaikan jenis
pesawatnya dengan Sukhoi dan MIG dari Rusia, Hawk dari
Britain, F-18 dari Amerika Syarikat, MB339 daripada
Itali menyebabkan lebih banyak sumber diperlukan dari
sudut kerja penyenggaraan, mendapatkan alat ganti
serta melatih anggota-anggota yang mengendali dan
menyenggara pesawat.

Apa yang menjadi tanda tanya di sini ialah mengapa
TUDM mempunyai begitu banyak pesawat VIP iaitu 7 kapal
terbang VIP dan 5 helikopter VIP, sedangkan RSAF hanya
menggunakan 4 kapalterbang VIP dari jenis Fokker F50.
Adakah kerana Malaysia mempunyai begitu ramai ahli
politik, ahli parlimen, menteri dan jeneral maka TUDM
perlu menyediakan banyak pesawat VIP ?

Persoalan juga timbul akan nasib 17 buah pesawat
pejuang MB-339C yang dibeli daripada Tentera Udara New
Zealand pada tahun 2003 tapi masih tidak lagi
beroperasi.  

Begitu juga dengan bentuk mukabumi di Malaysia yang
dikelilingi laut yang sudah pastinya memerlukan lebih
banyak pesawat maritim, pesawat AEWACS serta pesawat
tanpa juruterbang serta helikopter, TUDM hanya
mempunyai jumlah pesawat yang kecil untuk tujuan ini
jika dibandingkan dengan RSAF.

Ini baru dari sudut pertahanan udara, belum lagi di
sentuh dari sudut pertahanan darat dan laut. Justeru
itu Kementerian Pertahanan haruslah melaksanakan Dasar
Pertahanan Negara yang dapat meyakinkan rakyat bahawa
negara kita Malaysia mampu mempertahankan diri dari
sebarang ancaman luar. 

SELAMAT MENYAMBUT HARI PAHLAWAN

Marilah kita menghadiahkan Al Fatihah kepada
anggota-anggota keselamatan kita yang telah gugurkan
mempertahankan negara.

Sumber rujukan : Ensaiklopedia Wikipedia
http://en.wikipedia.org/wiki/Royal_Malaysian_Air_Force
http://en.wikipedia.org/wiki/Republic_of_Singapore_Air_Force



       
____________________________________________________________________________________
Pinpoint customers who are looking for what you sell. 
http://searchmarketing.yahoo.com/

Kirim email ke