SUDAHKAH KITA MENEPATI SYARAT PENGAMALAN HADIS DHA’IF?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus

Dewasa ini kita sering melihat para penulis-penulis
serta penceramah-penceramah agama yang tidak memberi
perhatian yang tinggi terhadap ketulenan dalil-dalil
yang mereka guna pakai ketika menghasilkan bahan
dakwah mereka. Walaupun sesetengah di antara mereka
ini memiliki bergulung-gulung ijazah dari universiti
yang hebat-hebat, meskipun mereka mendakwa memiliki
ijazah yang bersanad sehingga kepada Rasulullah s.a.w.
daripada para Syaikh yang dikatakan memiliki maqam
yang tinggi, namun mereka sering mencemari hasil kerja
mereka dengan hadis-hadis yang sebenarnya tidak
bersumber daripada Rasulullah s.a.w.. Apabila mereka
ini ditegur pasti mereka akan berkata bahawa para
ulamak telah membenarkan penggunaan hadis lemah
(dha’if) walaupun pada hakikatnya adakalanya mereka
tidak sekadar mempergunakan hadis-hadis yang dha’if
sahaja tetapi mereka turut memaparkan hadis-hadis yang
palsu (mawdhu’). Sebenarnya jawapan balas mereka itu
hanyalah untuk mengaburi mata orang awam akan
kejahilan mereka dalam ilmu hadis. Akhirnya orang awam
menelan bulat-bulat kata-kata mereka tersebut
disebabkan status mereka sebagai kelompok yang
dianggap intelektual dalam bidang agama dan hasilnya
sesuatu amal ibadah mahupun kepercayaan yang tidak
bersumber daripada Rasulullah s.a.w. telah dianggap
sebagai amalan yang sunnah oleh orang ramai.

Sebelum kita meneruskan perbahasan tentang hukum
menggunakan hadis yang statusnya dha’if, sewajarnya
kita melihat jalan yang ditempuhi oleh Imam al-Syafi`i
r.h dalam menerima atau menolak sesebuah hadis
Rasulullah s.a.w.. Semoga dengan pemahaman yang benar
dalam syarat-syarat sah dan diterimanya hadis menurut
Imam al-Syafi`i ini, ianya akan dapat kita jadikan
pedoman dalam berinteraksi dengan sunnah-sunnah
Rasulullah s.a.w..

Imam al-Syafi`i r.h. bercerita:

Ada seorang berkata: “Sebutkan kepadaku batas minimum
syarat untuk diterima hujjah terhadap ahli ilmu
sehingga berita atau riwayat orang khusus diterima dan
dianggap (benar) bagi mereka."

Aku (Imam al-Syafi`i r.h menjawab : "Riwayat satu
orang dari satu orang, hingga sampai kepada Nabi atau
hingga kebawah (peringkat terakhir / paling bawah).
Hujjah dan perbahasan dengan riwayat satu orang tidak
dapat diterima kecuali jika memenuhi sejumlah
kriteria.

Di antara kriteria itu adalah yang meriwayatkan adalah
seorang tsiqah (terpercaya) dalam agama, dikenal jujur
dalam berbicara, faham dengan apa yang
diriwayatkannya, mengetahui maksud lafaz, dan ketika
menyampaikan hadis dia menyampaikan sesuai dengan apa
yang didengar tepat dengan huruf-hurufnya dan tidak
menyampaikannya dengan makna (dengan lafaz dari dia
sendiri). Kerana bila dia meriwayatkannya dengan makna
(dengan pemahaman dia sendiri), padahal dia tidak
mengetahui maksud lafaz, maka mungkin terjadi dia
salah memahami sehingga seharusnya haram, malah dia
katakan halal. Dan apabila dia menyampaikannya
(meriwayatkannya) dengan huruf-hurufnya, maka
kesalahfahaman tersebut tidak akan terjadi. Dia harus
meriwayatkannya seperti itu baik dengan cara dihafal
atau ditulis.

Bila ada ahli penghafal hadis yang lain meriwayatkan
hadisnya, maka riwayatnya harus sama dengan riwayatnya
itu. Juga dia tidak tergolong seorang yang mudallis
(menipu) dengan meriwayatkan dari seorang yang
dijumpainya pada satu riwayat yang tidak didengar
olehnya, dia harus meriwayatkan dari Nabi s.a.w.
riwayat yang tidak berbeza dengan apa yang
diriwayatkan oleh orang-orang tsiqah daripada Nabi
s.a.w.. Begitulah kriteria yang harus dimiliki mulai
perawi terendah (paling bawah) hingga paling atas yang
sampai kepada Nabi s.a.w.. Kerana masing-masing dari
mereka diakui oleh orang yang mengambil riwayatnya dan
oleh orang yang mengambil riwayat darinya, sehingga
masing-masing dari mereka harus memenuhi kriteria
ini." – rujuk Dr Muhammad A.W. al-‘Aqil, Manhaj
al-Imam asy-Syafi’i Rahimahullah Ta’ala fi Itsbat
al-Aqidah (edisi terjemahan dengantajuk Manhaj Aqidah
Imam al-Syafi’i rahimahullah Ta’ala) ms. 89

Sekian kata-kata Imam al-Syafi`i rahimahullah yang
darinya boleh kita membuat satu kesimpulan bahawa
beliau menerima hadis dan mengikutinya dengan syarat
hadis itu sah daripada Rasulullah s.a.w.. Kriteria
yang telah ditetapkan oleh Imam al-Syafi`i r.h ini
adalah sama dengan kaedah yang telah dibuat oleh para
ulamak hadis dalam bidang musthalah iaitu: 

1.      Sanadnya tersambung (tidak putus / muttashil)

2.      Para Perawinya adil

3.      Perawinya dhabit (tepat dan sempurna hafalannya)

4.      Selamat dari syadz. Yang dimaksudkan syadz adalah
riwayatnya tidak bertentangan dengan riwayat orang
lain yang lebih tsiqah darinya.

5.      Selamat dari 'illat atau cacat yang membuatnya
cela.

Syaikh Ahmad Muhammad Syakir r.h mengomentari ucapan
Imam al-Syafi`i r.h di atas sebagai berikut:

"Siapa sahaja yang memahami ucapan Imam al-Syafi`i r.h
pada bab ini, pasti dia akan mendapati, bahwa Imam
al-Syafi`i r.h telah merangkum kaedah-kaedah yang
sahih tentang ilmu al-hadis (al-Musthalah), dan bahawa
dialah yang pertama kali menjelaskan secara jelas
tentangnya, dia juga sebagai pembela hadis serta orang
yang berhujah tentang wajibnya mengamalkan sunnah.
Imam al-Syafi`i r.h juga memberi bantahan terhadap
orang-orang yang menentang dan menolak hadis. Benarlah
penduduk Makkah yang menggelari Imam al-Syafi`i r.h
dengan gelar Nashir al-Sunnah (pembela sunnah), semoga
Allah S.W.T. meredhainya." – rujuk Dr Muhammad AW
al-‘Aqil, Manhaj Aqidah Imam al-Syafi’i, ms. 89

Demikian serba ringkas tentang mazhab Imam al-Syafi`i
r.h dalam mengesahkan dan menerima sesebuah hadis yang
boleh kita semua jadikan sebagai pedoman dan inilah
manhaj Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah yang sebenar.
Ternyata ianya berbeza dengan sikap sesetengah ilmuwan
Islam tempatan yang mengaku kuat berpegang kepada
mazhab Syafi’i, tetapi mengambil sikap acuh tak acuh
dalam meriwayatkan  sesuatu hadis.

Apakah itu hadis Dha’if? Hadis lemah atau dha’if
adalah hadis yang tidak menepati persyaratan hadis
sahih atau hasan. Kelemahan hadis tersebut boleh
disebabkan oleh dua perkara yakni:

a)      Terputus atau gugurnya sanad (mata rantai perawi
hadis)

b)      Disebabkan perawi (mereka yang mengkhabarkan hadis
tersebut) dalam sanad hadis itu terdapat celaan
terhadapnya mahupun kelemahan peribadi.

Tanggapan bahawa dibenarkan penggunaan hadis-hadis
dha’if muncul dari pendapat sesetengah para ulamak
yang membenarkan penggunaannya dalam bab fadhaail
al-amal (keutamaan melakukan sesuatu amal) atau
targhib (anjuran untuk melakukan sesuatu amalan) dan
tarhib (amaran terhadap sesuatu amalan). Mereka sering
berhujah dengan kata-kata Imam Ahmad r.h seperti
berikut:
Apabila kami meriwayatkan daripada Rasulullah s.a.w.
tentang halal dan haram dan sunnah-sunnah hukum-hukum,
nescaya kami keraskan yakni kami periksa dengan ketat
sanad-sanadnya. Dan apabila kami meriwayatkan daripada
Nabi s.a.w. tentang fadhaail al-amal yang tidak
menyangkut masalah hukum dan tidak disandarkan kepada
baginda s.a.w., nescaya kami permudahkan (pemeriksaan)
sanad-sanadnya. – Diriwayatkan oleh Imam al-Khatib
al-Baghdadi di dalam Kifaayah fi Ilmir Riwayah, ms.
134.

Sebenarnya maksud Imam Ahmad di atas tidak menyokong
hujah mereka. Pada zaman beliau pembahagian hadis
hanyalah menjadi dua iaitu sahih dan dha’if. Hadis
dh’aif pula terpecah kepada dua kategori iaitu:

a)      Hadis dha’if yang tertolak dan tidak dipakai
sebagai hujah.

b)      Hadis dhai’if yang boleh dijadikan hujah.

Hadis dha’if jenis kedua ini kemudiannya pada zaman
Imam al-Tirmidzi r.h diistilahkan sebagai hadis Hasan
yang temasuk dalam kategori hadis yang sabit
(thabithah). Hadis Hasan ialah hadis yang sanadnya
bersambung dari permulaan sampai akhir, diceritakan
oleh orang-orang yang adil, kurang dhabit, serta tidak
ada syadz dan ‘illat yang berat di dalamnya. Ini
bermakna semenjak zaman Imam al-Tirmidzi hadis
dibahagikan menjadi tiga jenis iaitu sahih, hasan dan
dha’if. Oleh itu maksud sebenar Imam Ahmad r.h dengan
permudahkan pemeriksaan sanad (tasaahul) dalam perkara
berkaitan fadhaail al-amal adalah beramal dengan hadis
yang berstatus Hasan. Syaikh Ahmad Muhammad Syakir
r.h. ketika mensyarah buku al-Ba’iistul-Hasist Syarah
Ikhtisar Ulumil-Hadith karya Ibnu Kathir r.h (jilid 1,
ms. 279) berkata:

        Sesungguhnya maksud ucapan mereka (termasuk Imam
Ahmad, ‘Abdul Rahman bin Mahdi dan ‘Abdullah bin
Mubarak) yang lebih tepat –wallahu a’lam- bahawa
mempermudahkan maknanya pengambilan hadis hasan yang
tidak sampai kedudukan kepada hadis sahih.

Bagi mereka yang suka menyebarkan hadis dha’if, mereka
beranggapan telah terjadi ijmak (persepakatan) di
kalangan para ulamak tentang sahnya penggunaan hadis
dha’if dalam perkara fadhaail al-amal atau targhib dan
tarhib sedangkan realitinya telah terjadi khilaf
(perbezaan pendapat) di antara para ulamak sebagaimana
diterangkan secara meluas di dalam kitab-kitab
mushthalah. Menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin
al-Albani r.h:

Nukilan ini (terjadinya ijmak tentang dibenarkan
penggunaan hadis dha’if dalam bab fadhaail al-amal
atau targhib dan tarhib) perlu dipersoalkan kerana
perbezaan pendapat dalam masalah ini tetap ada di mana
sebahagian para peneliti hadis berpihak kepada
pendapat tidak dibolehkan menggunakan hadis dha’if
secara mutlak dalam masalah hukum atau fadhaail.
Syaikh Jamaluddin al-Qosimi r.h dalam Qowa’id
at-Tahdits (m.s. 94) berkata:

Dikisahkan oleh Ibnu Sayyid al-Nas dalam Uyun al-Atsar
daripada Yahya bin Ma’in dan dinisbatkan kepada Abu
Bakar bin al-‘Arabi dalam Fath al-Mughits, sebenarnya
ini juga pendapat Bukhari dan Muslim… juga pendapat
Ibnu Hazm. - Tamamul Minnah fit-Ta’liq ‘Ala Fiqhus
Sunnah, (edisi terjemahan dengan tajuk Terjemah
Tamamul Minnah Koreksi dan Komentar Ilmiah Terhadap
Kitab Fiqhus Sunnah Karya Syaikh Sayyid Sabiq) ms. 27

Inilah juga pegangan Imam al-Syafi’i r.h yang tekenal
dengan kata-katanya seperti di bawah:

"Apabila hadis itu sahih, maka ia adalah madzhabku." –
rujuk Muhammad Nashiruddin al-Albani, Shifatu Shalaati
an-Nabiyyi Shallallahu 'alaihi wasallam min
at-Takbiiri at-Tasliimi Ka-annaka Taraaha, (edisi
terjemahan dengan tajuk Sifat Shalat Nabi shallallahu
'alaihi wasallam) ms. 58

“Setiap apa yang aku katakan, sedangkan dari Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam terdapat hadis sahih yang
bertentangan dengan perkataanku, maka hadis nabi
adalah lebih utama. Oleh itu, janganlah kamu
mengikutiku (bertaklid padaku)." – rujuk Muhammad
Nashiruddin al-Albani, Sifat Shalat Nabi, ms. 59

“Setiap perkara yang aku telah perkatakannya, sedang
ada riwayat yang sahih di sisi ulama hadis daripada
Nabi shallallahu 'alaihi wasallam yang menyanggahi apa
yang aku ucapkan, maka aku menarik balik ucapanku
semasa hidupku dan selepas mati”. – rujuk Ibn Qayyim
al-Jauziyyah, 'Ilam al-Muwaqqi'iin, jilid 2 ms. 263

Selanjutnya apa yang sebenarnya dimaksud oleh
sebahagian para ulamak bahwa boleh beramal dengan
hadis-hadis dha’if untuk fadhaail al-amal atau tarhib
dan targhib ialah apabila telah wujudnya dalil yang
sahih secara tafshil (terperinci) yang menetapkan
tentang sesuatu amal, baik wajib, sunat, haram atau
makruh, kemudian datang hadis-hadis dha'if  yang
menerangkan tentang keutamaannya (fadhaail al-amal)
atau tarhib dan targhibnya dengan syarat hadis-hadis
tersebut tidak terlalu dha'if atau maudhu' (palsu)
maka inilah yang dimaksud oleh sebahagian ulamak:
boleh beramal dengan hadis-hadis dha'if untuk fadhaail
al-amal atau targhib dan tarhib. Sebagai contohnya
amalan berpuasa sunat pada hari Isnin dan Khamis atau
pada bulan-bulan haram telah ditetapkan menerusi dalil
yang sah dari hadis-hadis Nabi s.a.w.. Setelah itu
terdapat hadis-hadis dha’if yang ringan berbentuk
fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib yang tidak
berlebihan, maka sesetengah ulamak menbenarkan beramal
dengan hadis tersebut. Berbeza pula sekiranya
melakukan ibadah tertentu pada malam Nisfu Sya’ban
yang tidak memiliki sebarang sandaran dari al-Qur’an
mahupun al-Sunnah, maka dalam situasi sebegini hadis
yang ringan kedha’ifannya pada dasarnya tidak memiliki
sebarang nilai. Apa pun jua bagi para ulamak yang
membolehkan pengamalan hadis dha’if yang ringan dalam
bab fadhaail al-amal atau tarhib dan targhib telah
menetapkan beberapa persyaratan yang sangat berat dan
ketat. 

Syarat pertama: Penggunaan hadis tersebut khusus untuk
perkara berkaitan  fadhaail al-amal atau targhib dan
tarhib. Penggunaan hadis dha’if dalam hal-hal
berkaitan akidah dan penetapan hukum-hakam (seperti
mewajibkan mahupun menetapkan hukum sunat terhadap
sesuatu amal) adalah sama sekali tidak dibenarkan.
Menetapkan hukum ke atas sesuatu amalan mestilah
berlandaskan nas yang sabit. Sekiranya tidak seseorang
itu berkemungkinan tinggi akan terjebak ke dalam
perbuatan mencipta syari’at yang baru. Imam al-Syafi’i
r.h telah mengingatkan kita dengan kata-katanya yang
masyhur: 

“Sesiapa yang menganggap baik (apa yang diciptakan
dalam agama tanpa nas dari al-Qur’an dan al-Sunnah),
dia telah mencipta syarak, sesiapa yang mencipta
syarak, maka dia telah kafir.” - Imam Muhammad bin
Idris al-Syafi’i, al-Risalah, ms. 507

Syarat kedua: Hadis yang dipergunakan tersebut tidak
terlalu dha'if . Hadis-hadis maudhu' (palsu), munkar
(hadis yg diriwayatkan perawi yang dha’if bertentangan
dengan riwayat dari perawi yang thiqah) dan
hadis-hadis La ashla lahu (yang tidak diketahui
asal-usulnya) sama sekali tidak dibenarkan
penggunaannya. 

Syarat ketiga: Hadis tersebut tidak boleh diyakini
sebagai sabda Nabi s.a.w.. Justeru itu ketika
mempergunakan hadis tersebut tidak boleh menggunakan
lafaz-lafaz yang menetapkan secara pasti (jazm) bahawa
hadis tersebut berasal daripada Rasulullah s.a.w.
seperti: 'Nabi s.a.w. telah bersabda' atau 'Baginda
s.a.w. telah mengerjakan sesuatu' atau 'Rasulullah
s.a.w. telah memerintahkan dan melarang' dan lain-lain
yang menunjukkan seolah-olah baginda s.a.w.
benar-benar bersabda demikian. Tetapi wajib
menggunakan lafadz tamridh (yaitu lafaz yang tidak
menunjukkan sebagai suatu ketetapan). Seperti: 'Telah
diriwayatkan dari Nabi s.a.w.’ dan yang serupa
dengannya.

Syarat keempat: Hadis tersebut harus mempunyai dasar
yang umum dari hadis yang sabit. Ini bermakna bahawa
hadis dha’if yang dipergunakan tersebut tidak
membentuk satu amalan yang baru yang dikategorikan
sebagai bidaah.

Syarat kelima: Hadis tersebut tidak boleh disebarkan
kepada orang ramai ataupun mengajak orang ramai untuk
beramal dengan hadis tersebut. Al-Hafidz Imam Ibnu
Hajar r.h dalam Tabyin al-Ajab (ms. 3) telah berkata: 

“Bahawa para ahli ilmu telah mempermudah-mudahkan
dalam membawakan hadis-hadis tentang fadhaail al-amal.
Sepatutnya perkara itu diberikan syarat iaitu orang
yang beramal dengannya, meyakini bahawa hadis itu
lemah dan tidak memasyhurkannya agar tidak ada orang
yang melaksanakan hadis dha’if kemudian
mengsyariatkannya atau diduga oleh sebahagian
orang-orang yang bodoh bahawa itu merupakan sunnah
yang benar.”

Syarat keenam: Wajib menperjelaskan status hadis
tersebut sebagai dha'if ketika menukilnya dalam
penulisan mahupun menyampaikan secara lisan.

Namun begitu sekiranya kita meneliti syarat-syarat di
atas, sewajarnya kita bertanya kepada golongan yang
gemar untuk menyebarkan hadis-hadis dha’if
bersandarkan dakwaan bahawa ianya dibenarkan oleh
ulamak-ulamak seperti al-Hafidz Ibnu Hajar, Imam
al-Nawawi dan al-Hafidz al-Sakhawi; adakah kamu telah
memperhatikan serta mempergunakan syarat-syarat
tersebut dengan penuh keikhlasan ketika meriwayatkan
hadis-hadis tersebut? Penulis yakin ramai di antara
mereka yang telah membelakangi syarat-syarat tersebut
apatah lagi proses untuk membezakan hadis yang
darjatnya sahih, hasan, dha’if yang ringan, dha’if
jiddan (sangat lemah), mawdhu’, munkar dan sebagainya
seperti yang terdapat dalam ilmu hadis (al-Musthalah)
hanya mampu dilakukan oleh mereka yang benar-benar
pakar dalam bidang hadis. Menyedari hakikat ini adalah
lebih baik bagi masyarakat Islam di Malaysia untuk
memberikan keutamaan yang tinggi hanya untuk beramal
dengan hadis-hadis yang sabit (iaitu sahih dan hasan)
daripada baginda s.a.w.. 

Tindakan menyebar hadis-hadis Rasulullah s.a.w. tanpa
terlebih dahulu meneliti kesahihannya merupakan satu
jenayah ilmiah dan merupakan perbuatan yang tercela.
Sabda Rasulullah s.a.w.:

Cukuplah seseorang itu dianggap berdusta apabila dia
menceritakan segala sesuatu yang dia dengar. – Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Shahihnya, no: 5

Celaan tersebut adalah disebabkan setiap perkhabaran
yang sampai kepada seseorang maka terdapat kemungkinan
ianya perkara yang benar ataupun dusta. Oleh itu
sekiranya seseorang itu menyebarkan apa jua perkara
yang diterimanya tanpa terlebih dahulu meneliti
kesahihannya, maka ini boleh mengakibatkan dirinya
terjebak menjadi penyebar perkara yang dusta. Lantaran
itu Rasulullah s.a.w. telah mencela perbuatan
tersebut. Seharusnya kita sedari bahawa para sahabat
r.a amat berhati-hati ketika menyampaikan hadis-hadis
Rasulullah s.a.w.. Hal ini adalah sepertimana
diriwayatkan di bawah:

Berkata Abdurrahman bin Abi Laila: Kami Pernah berkata
kepada Zaid bin Arqam: Ceritakanlah kepada kami
(hadis-hadis) daripada Rasulullah s.a.w.

Beliau menjawab: Kami telah tua dan lupa, sedangkan
menceritakan hadis dariupada Rasulullah sangat berat.
– Hadis riwayat Imam Ibnu Majah di dalam Sunannya, no:
25

Jelas bagi kita bahawa periwayatan hadis-hadis
Rasulullah bukanlah satu perkara yang boleh di ambil
mudah. Kita seharusnya berusaha untuk meneliti
statusnya terlebih dahulu. Sekiranya tidak mampu untuk
berbuat demikian maka hendaklah kita merujuk kepada
mereka yang ahli dalam bidang hadis. Sewajarnya kita
tidak menyebarkan sesuatu hadis hanya bersandarkan
persangkaan di dalam diri masing-masing bahawa ianya
hadis yang sabit. Sesungguhnya sikap hanya bergantung
kepada persangkaan telah dicela oleh Allah S.W.T.
melalui firman-Nya:

 Dan kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan
sesuatu sangkaan sahaja, (padahal) sesungguhnya
sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan
sesuatu dari kebenaran (iktiqad). Sesungguhnya Allah
Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan. – Yunus
(10) : 36

Justeru itu satu tindakan yang bersepadu oleh ilmuwan
Islam di Malaysia perlu di ambil demi untuk
membersihkan hadis-hadis dha’if dan mawdhu’ yang telah
disebarkan di tengah-tengah masyarakat oleh mereka
yang tidak bertanggungjawab. Ini merupakan salah satu
agenda utama gerakan Tajdid di Malaysia dan ianya
adalah satu usaha yang murni kerana terdapat ancaman
yang keras daripada Rasulullah s.a.w bagi mereka yang
berdusta di atas nama baginda. Menurut Imam al-Thahawi
r.h di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid 1, ms.
176):

Barangsiapa yang menceritakan (hadis) dari Rasulullah
s.a.w. atas dasar zhan / persangkaan, bererti dia
telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan
tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang
menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan tanpa
haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) dari
baginda s.a.w. dengan cara yang batil. Dan orang yang
telah menceritakan (hadis) dari baginda s.a.w. dengan
cara yang batil, nescaya dia menjadi salah seorang
pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi s.a.w.:

Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka
hendaklah dia mengambil tempat tinggalnya di neraka. -
Hadis riwayat Imam al-Bukhari di dalam Shahihnya no:
107



      
____________________________________________________________________________________
Park yourself in front of a world of choices in alternative vehicles. Visit the 
Yahoo! Auto Green Center.
http://autos.yahoo.com/green_center/ 

Kirim email ke