Salam
Saya tidak nampak pun ijtihad Imam Syafie ra ini nya menyusahkan...
Pada saya ianya lebih kepada sikap berhati2, bersih yang terpuji.
Cuma kejahilan Umat Islam kini yang menyusahkan diri mereka sendiri. Suka
taqlid membabi buta, dan taksub yang melampau kepada sesuatu pendapat, tanpa
mengetahui dalil yang digunakan untuk merumuskan sesuatu ijtihad.
Pada saya, ianya cuma ijtihad, seperti mana ijtihad yang lain yang
berlawanan/menyanggah antara satu dengan lain.
Kalau bekas jilatan pun disamak, inikan pula rumah/tempat kediaman/makan.
Bagaimana pula dengan sesetengah negara itu, rakyatnya juga memakan daging
anjing.
http://www.flickr.com/photos/loupiote/sets/1652923
Kalau sesuatu ijtihad itu menyusahkan dan tiada dalil yang khatie, maka
terpulanglah pada si pengamal untuk memilih alternatifnya. Tiada sesiapa yang
mengacukan senjata, memaksa anda untuk mengikutinya.
Hadis Jabir bin Abdullah r.a:
Ketika pembukaan Kota Mekah, beliau mendengar Rasulullah s.a.w yang ketika itu
berada di Mekah bersabda: Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan
penjualan arak, bangkai, babi dan berhala. Kemudian baginda ditanya: Wahai
Rasulullah! Bagaimana dengan lemak bangkai yang digunakan untuk mengecat
perahu, untuk dilumurkan di kulit supaya berminyak dan untuk menyalakan lampu?
Baginda menjawab: Tidak boleh. Ianya tetap haram. Lalu baginda meneruskan
kata-kata: Semoga Allah membinasakan orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah
s.w.t ketika mengharamkan lemak bangkai kepada mereka, mereka beralasan lalu
menjualnya dan memakan hasil penjualan tersebut
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 2960
Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila anjing menjilat air yang berada dalam bekas
salah seorang daripada kamu, hendaklah dituangkan air tersebut, seterusnya
basuhlah iaitu samaklah sebanyak tujuh kali
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 418
Hadis Abi Mas'ud Al-Ansariy r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w melarang (memanfaatkan) hasil penjualan anjing,
hasil pelacuran dan mengupah tukang tilik
Nombor Hadis Dalam Sahih Muslim [Dalam Bahasa Arab sahaja]: 2930
SodaqaRasulullah SAW.
WAllahua3lam
Wassalam
Hizamri
Mohd Azam Arshad <[EMAIL PROTECTED]> wrote:
Salam,
ambil masa sket (panjang la jugak), baca dan fahamkan, satu artikel yang
menarik berdasarkan dalil dan nas serta rujukan dari kitab2 muktabar,
****************************************************************************
Doktrin babi yang menyusahkan umat islam
Maszlee Malik, UIAM.
Umat islam melalui para mujtahidinnya telah berijmak bahawa daging babi
adalah haram untuk dimakan seperti yang telah dikatakan oleh Ibn Mundhir dalam
bukunya "Kitab al-Ijma'" (Lihat : al-Husni, Kifayatul Ahyar, Beirut : Dar
al-Khayr, m.s. 70). Ini berdasarkan firman Allah S.W.T dalam al-Quran, (surah
al-An'am : ayat 145) . Ayat tersebut dengan jelas menunjukkan bahawa daging
babi adalah haram untuk dimakan. Para ulama juga telah bersepakat bahawa
anggota lain dari babi seperti tulang, kulit, lemak dan juga darahnya adalah
haram untuk dimakan. Hanya Ibn Hazm al-Zahiri sahaja yang mngatakan anggota
selain daging babi adalah halal dimakan. Pendapat ini walaubagaimanapun adalah
pendapat yang syadh (ganjil) dan tidak diterima oleh jumhur (majoriti) umat
islam.
Para ulama islam juga bersepakat tentang kenajisan daging babi dan juga
segala yang bersumberkan babi. Walaubagaimanapun mereka berselisih pendapat
dalam tiga perkara, yang pertama dalam kategori najis apakah ia najis
mughallazah ataupun mutawasitah. Yang keduanya, cara bagaimanakah untuk
menyucikannya, dan ini bergantung kepada
kategori manakah ianya dianggap sebagai najis. Yang ketiga , mereka juga
berkhilaf samada kulit babi, rambutnya dan juga tulangnya dan mana mana
bahagiannya adakah boleh digunakan setelah disucikan melalui proses dibagh
(samak dengan air kapur).
Jumhur ulama berpendapat ianya tegolong dalam najis mutawasitah yang hanya
memerlukan basuhan sekali sahaja jika tersentuh dengannya. Ianya sama seperti
kenajisan darah, luka, nanah, tahi dan juga kencing. Bagi Imam al-Syafie pula,
beliau berpendapat bahawa ianya adalah najis mughallazah yang sama sifat
kenajisannya dengan anjing
yang memerlukan tujuh kali basuhan, dan sekali basuhan dengan air tanah
(al-Sya'rani, al-Mizan al-Kubra, Beirut : Dar al-Kutub al-'Ilmiah, Cetakan
Pertama, 1998M, jil. 1, m.s. 138).
Pendapat inilah yang menjadi pegangan majoriti pengikut mazhab Syafie,
kecuali Imam al-Nawawi dan juga yang bersependapat dengan al-Nawawi (al-Nawawi,
al-Majmu', Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 4, m.s. 604).
Mengenai isu pengunaannya pula, jumhur ulama melarang pengunaannya samada
sebagai perhiasan, beg, kasut, pakaian dan sebagainya kerana ianya adalah najis
(walaupun mutawasitah). Bagi sebilangan ulama Malikiyyah, Abu Daud al-Zahiri
dan juga al-Syawkani, mereka melihat tidak ada kesalahannya untuk
menggunakannya jika ianya telah melalui
proses dibagh (ibid).
Yang menjadi pokok perbincangan di sini ialah mengenai kenajisannya dan juga
cara menyucikannya yang menjadi satu bebanan kepada umat islam di Malaysia dan
juga dalam sesetengah keadaan menjadi benteng pemisah selamanya antara kaum di
Malaysia.
Doktrin yang membebankan ini sebenarnya hanyalah ijtihad Imam Syafie yang
mengqiyaskan kenajisan babi dengan kenajisan anjing dengan kaedah "qiyas
awla"nya (al-Syafie, Kitab al-Umm, Beirut : Dar Marifah, 1393H, jil. 1, m.s.
9). Logiknya menurut beliau, jika anjing yang tidak disebut pengharamannya
secara jelas di dalam al-Quran wajib disucikan kenajisannya dengan cara samak
(tujuh kali basuhan
dengan basuhan pertamanya menggunakan tanah berdasarkan hadith riwayat Abu
Hurairah yang direkodkan sahih oleh Muslim di dalam kitabnya al-Jami' al-Sahih
atau sahih Muslim, Beirut : Dar Ihya al-Turath al-Arabi, jil. 1 m.s. 161), maka
babi yang telah diharamkan secara jelas di dalam al-Quran lebih utama untuk
disucikan kenajisannya dengan cara tersebut.
Atas dasar inilah majoriti pengikut mazhab Syafie sehingga ke hari ini
menganggap kenajisan babi adalah sama atau lebih berat dari kenajisan anjing.
Bagi jumhur (majoriti) umat islam pula hadith Abu Hurairah yang berkaitan
dengan cara menyucikan kenajisan anjing jika anjing adalah semata - mata untuk
anjing dan bukan untuk selainnya. Menurut mereka pengharaman daging babi (surah
al-Maidah (5): 5) adalah berkaitan dengan persoalan makan dan tiada kena
mengena dengan cara menyucikannya. Tambahan pula dalam ayat tersebut bukan
hanya daging babi yang diharamkan, bangkai dan juga darah disebutkan bersama
dengannya. Mengapa qiyas yang sama tidak digunakan untuk menggolongkan darah
dan bangkai bersama anjing dan babi sebagai najis
mughallazah ?
Yang lebih menarik lagi Abu Hurairah juga telah meriwayatkan hadith yang
menunjukkan cara menyucikan bijana yang dijilat kucing dengan 3 kali basuhan.
Mengapa tidak kucing pun digolongkan dalam najis mughallazah juga?
Kesimpulannya ijtihad ataupun pendapat Imam Syafie dalam persoalan cara
menyucikan najis babi adalah tidak kuat dan tidak konsisten.
Terdapat juga di kalangan imam mujtahid dalam mazhab Syafie yang menyangkal
pendapat beliau dan bertegas menyatakan bahawa cara penyucian kenajisan babi
adalah cukup sekadar basuhan sahaja sepeti najis - najis mutawasitah yang lain
(kencing, tahi, darah dan bangkai). Antara yang terkenal dengan pendapat
sedemikian ialah Imam al- Nawawi (lihat : al-Nawawi,opcit, jil. 4, m.s. 604 ).
Pendapat beliau ini adalah sama seperti pendapat majoriti umat islam dan amat
bertepatan dengan dalil.
Sayangnya sebilangan besar pengikut mazhab Syafie termasuklah majoriti umat
islam di Malaysia amat berpegang kuat dengan pendapat Imam Syafie yang amat
ganjil ini. Dalam keadaan kehidupan bersama rakyat berbilang bangsa dan juga
dalam keadaan musafir ke negara di mana umat islam adalah minoriti doktrin ini
amat membebankan umat islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa ianya akan
semakin
menjauhkan bukan islam dari islam, malah di kalangan umat islam sendiri pun
akan jauh dari islam kerana doktrin ini.
Sebagai contoh yang amat melucukan ialah bagaimana sebuah restoran milik
bukan islam yang telah dibeli oleh seorang peniaga muslim sekitar tahun 90'an
di Pahang. Majalah al-Islam telah merakamkan bagaimana mereka telah membasuh
seluruh kedai tersebut dengan air tanah.
Bayangkan bagaimana jika seseorang muslim membeli rumah pangsa atau
kondominium dari seorang bukan islam ?,
bagaimanakah dia ingin membasuhnya dengan air tanah , bayangkan lagi jika
rumah tersebut di tingkat 30 ...pastinya pihak pengurusan kondominium tersebut
akan mengamuk dan seluruh kondominium akan banjir!!
Antara yang menjadi bebanan juga ialah keadaan saudara baru yang masih
tinggal dengan keluarganya. Sering kita dengar suara - suara sumbang yang
menyuruh saudara - saudara baru untuk meninggalkan keluarga mereka. Mana
tidaknya, doktrin babi al-Syafie mengatakan mereka tidak boleh makan dirumah
kerana pinggan mangkuknya ada najis dan mesti disamak.
Rumahnya ada kesan babi, maka dia tidak boleh bersolat di dalamnya, emaknya
dan bapanya makan babi, maka dia tidak
boleh bersalaman apatah lagi mencium dan memeluk mereka.
Bekas minum tidak boleh digunakan lagi kerana ada kesan babi, pendekata jika
seseorang itu masuk islam bukan hanya agama dan akidah lamanya sahaja, malah
dia terpaksa atau dipaksa untuk meninggalkan keluarga, rumah, saudara mara dan
jika tidak keterlaluan ibu bapa mereka. Maka terjawablah persoalan mengapa
tidak ramai orang bukan islam ingin
memeluk islam!
Contoh yang lebih teruk lagi jika golongan yang mendokong doktrin babi
al-Syafie ini ke negara majoriti bukan islam yang kuat makan babi seperti
Jepun, Korea, Taiwan, Jerman dan negara - negara seumpamanya. Yang pasti mereka
tidak akan boleh duduk di kantin, mereka tidak boleh makan di kedai - kedai
makan walaupun mereka tidak
memakan babi, mereka tidak boleh tinggal di rumah sewa kecuali selepas
disamak, mereka tidak boleh menziarahi rakan - rakan mereka yang bukan muslim
dan akhirnya mereka hanya akan menjauhkan manusia - manusia lain dari islam itu
sendiri. Relevan lagikah ijtihad al-Syafie yang semata - mata merupakan
pandangan peribadinya sahaja yang
boleh jadi salah ?
Persoalan ini memerlukan jawapan segera terutamanya dari kalangan ustaz -
ustaz generasi baru yang telah terdedah kepada pembelajaran "Fiqh Muqarin" dan
berfikiran terbuka. Penyelesaian segera demi menyelamatkan umat islam di
Malaysia dari terus dibebani dan disusahkan dengan doktrin babi al-Syafie.
---------------------------------
Take the Internet to Go: Yahoo!Go puts the Internet in your pocket: mail, news,
photos & more.