Roslan SMS Corner
Sejarah Umno yang telah digelapkan
MB Selangor Khir Toyo dalam Utusan Malaysia hari ini menyatakan bahawa Umno
sebenarnya tidak ditubuhkan di Johor sebagaimana yang difahami ramai tetap di
Kelab Sultan Sulaiman, Kg Bharu yang ketika itu berada di bawah Selangor.
Tarikh kongres Melayu itu diadakan adalah dari 1 hingga 4 Mac 1946.
Benar Persatuan Melayu Selangor yang ketika itu dipimpin Yunus Hamidi, bekas
Pengarang akhbar Majlis turut serta dalam kongres yang melahirkan Umno itu.
Tetapi antara 41 buah pertubuhan dan persatuan Melayu yang hadir, yang paling
besar perwakilannya adalah dari satu-saunya parti politik Melayu terawal iaitu
PKMM atau Parti Kebangsaan Melayu Malaya yang pada ketika itu Yang Dipertuanya
adalah Dr Burhanuddin al Helmy yang kemudiannya menyertai PAS dan menjadi Yang
Dipertua Agungnya.
Memang sejarah Umno ini banyak cuba disorok-sorok dari umum kerana sesungguhnya
pembentukannya itu dahulu bukan atas daya usaha seorang dua tetapi seluruh
kekuatan bangsa Melayu seluruh Malaya. Pokok penyatuan sehingga terbentuknya
Umno adalah hasil dari penentangan orang-orang Melayu terhadap gagasan Malayan
Union.
Bermakna Umno adalah sebuah komponan parti-parti dan persatuan Melayu
ditubuhkan oleh orang-orang Melayu dari segenap fahaman dan aliran ketika itu,
termasuklah yang kemudiannya menyokong dan menyertai Parti Kominis Malaya.
(Shamsiah Fakeh di dalam bukunya Memoir Shamsiah Fakeh Dari Awas ke Rejimen
ke 10 mengakui mula bergerak dan mengikuti Umno sebelum menyertai PKMM dan
kemudiannya PKM). Hakikat ini dihapuskan dari kamus sejarah Umno seolah mahu
mengambarkan cuma kelompok tertentu sahaja yang menyumbang ke arah perjuangan
nasionalisma Melayu ketika itu.
Malah kalau kita membaca tulisan Ahmad Boestamam, bendera Umno, yang berasal
dari bendera atau sang saka merah putih itu asalanya merupakan cadangan dari
PKMM dalam sidang pertama Umno setelah ditubuhkan pada Jun 1946 di Dewan
Bandaran Ipoh (sila lihat Memoir Ahmad Boestamam: Merdeka Dengan Darah dalam
API (UKM)). Sang Saka Merah Putih untuk pengetahuan kawan-kawan dalam Umno,
adalah benedera PKMM. Bermakna bendera Umno kini berasal dari cadangan bendera
PKMM (parti Melayu yang Inggeris cop sebagai kiri!) Yang bulatan kuning dan
keris hijau telanjang dimasukkan kemudian.
Umno hari ini menidakkan sumbangan semua yang pernah menyertai komponan Umno
1946 itu. Yang tinggal hanyalah nama Dato Onn yang kebetulan adalah Presidennya
yang pertama. Kiranya Dato Onn tidak memegang jawatan itu barangkali nama
beliau pun dihapuskan kerana beliau kemudiannya menentang Umno melalui IMP dan
Parti Negara.
Kalau benar Khir mahu mengesan dan menjejak sejarah sebenar penubuhan Umno maka
perlulah beliau ikhlas membongkar dan menyelongkar buku-buku tulisan
tokoh-tokoh seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain.
Khir menyebut DYMM Sultan Selangor ketika itu Sultan Hishamuddin Alam Shah
telah menyumbang RM15,000 ketika itu untuk menjayakan kongres penubuhan Umno di
Kg Baru itu. (Kongres tersebut menurut rekod diresmikan oleh Almarhum Tuanku
sendiri) Percayalah Almarhum Tuanku berbuat demikian kerana yakin yang bangsa
Melayu perlu bersatu dan berpadu tenaga. Sebagaimana Khir menyebut yang Baginda
penah bertitah bahawa persatuan itu akan kekal lama jika mengambil kira dua
perkara sebagai asas penyatuan bangsa Melayu iaitu:
PERTAMA:
Perjuangan agama Islam yang akan mengikat hati nurani bangsa
KEDUA:
Berani dan terus membela dan memperjuangkan hak orang Melayu.
Rupanya Umno 1946 itu tidak kekal lama. Beberpa tokoh berpengaruh termasuklah
PKMM kemudiannya bertindak meninggalkan Umno. PKMM ini yang merupakan parti
Melayu pertama yang membawa slogan Merdeka, telah diharamkan British pada tahun
1948 dan kebanyakkan pimpinannya ditangkap dan merengkok dalam penjara. Umno di
bawah Dato Onn kekal dan bebas bergerak.
Begitu juga kemudiannya golongan agama ketika itu bertindak keluar sehingga
lahirnya PAS pada tahun 1951. Harus diingati bahawa antara jawatankuasa
penajanya adalah:
Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan - Pengerusi
Ustaz Haji Ahmad Maliki - Setiausaha
Tuan Haji Ahmad Badawi Abdullah - Anggota (ayahanda PM Dollah Badawi)
Tuan Haji Ahmad Ghazali Abdullah - Anggota
Tuan Haji Ahmad Tuan Hussein - Anggota
Tuan Haji Mansor J.P - Anggota
Dua tiga orang ulama yang menjadi ahli dari Selangor dan Negeri Sembilan.
(Shamsiah Fakeh menulis: Sejarah telah membuktikan bahawa dalam perjuangan
menuntut kemerdekaan tidak ada ahli Umno yang ditangkap atau yang dipenjarakan
oleh kerajaan penjajah British. Apatah lagi tiada seorang pun yang mati ditali
gantung)
Berbalik kepada titah Almarhum Tuanku Sultan Selangor ketika itu, ternyata
kesatuan Umno yang ditubuhkan pada Mac 1946 dengan persepakatan semua golongan
Melayu tidak mampu bertahan. Dan soalannya hari ini adakah Umno masih berpegang
kepada dua perkara yang dititahkan Almarhum itu? (Untuk makluman Almarhum
Tuanku Sultan Hishamuddin ini adalah merupakan antara Sultan Selangor yang
paling warak dan sering membaca khutbah solat Jumaat)
Saya akan cuba membawa beberapa aspek sejarah kemerdekaan negara dan Umno itu
sendiri sebelum 31 Ogos ini insyallah.
---------------------------------
Take the Internet to Go: Yahoo!Go puts the Internet in your pocket: mail, news,
photos & more.
---------------------------------
Luggage? GPS? Comic books?
Check out fitting gifts for grads at Yahoo! Search.