Another Brick In The Wall
 ECM Libra ke BERNAS? (Bhg 1)    Disebalik tuduhan BERNAS mengimpot beras tanpa 
permit.


Disebalik rungutan rakyat mengenai kekurangan bekalan minyak masak dan 
kenaikkan barang-barang asas pada akhir tahun 2007, satu usaha semacam sedang 
dirancang dan diatur untuk membina sebuah empayar korporat secara pintas dan 
ringkas untuk menjadi satu lagi kenderaan tunggangan politik Abdullah Ahmad 
Badawi dan menantunya.

Seperti pelbagai usaha-usaha era pentadbiran Pak Lah yang kononnya untuk tambah 
nilai, ia bukan sahaja tidak membawa pertambahan nilai tetapi lebih lazimnya ia 
membawa penghapusan nilai, lekok pembelajaran (learning curve) dan modal insan 
yang terbina sekelian lama. Bagai ibarat "tikus membaiki labu", Pak Lah 
seringkali merungkai pelbagai usaha-usaha strategik untuk membina struktur, 
keupayaan dan kapasiti ekonomi orang-orang Melayu yang sudah tentu dapat 
menyegerakan proses kesamarataan antara kaum.

Hanya beberapa tahun lepas dikala tahun-tahun awal pemerintahan Pak Lah, satu 
usaha pernah dirancang dan diatur secara diam-diam untuk membina satu empayar 
kewangan dengan secara yang juga pintas dan ringkas untuk menjadi kenderaan 
tunggangan politik. Hari ini diketahui ramai, usaha tersebut adalah pembangunan 
sebuah Bank Pelaburan butik, ECM Libra Avenue dari penggabungan syarikat 
kerajaan - Bumiputera Securities dan Avenue Asset - dengan ECM Libra serta 
kuncu-kuncu dari Singapura.

Usaha tersebut terdedah sebagai satu skandal kewangan yang melibatkan 
pelanggaran undang-undang dan pengenepian peraturan serta penyalahgunaan kuasa 
disetiap lapisan proses, kerajaan dan pihak-pihak berkuasa. Sampai hari ini, 
isu ini masih belum selesai dan saman menyaman dan injunksi mahkamah yang 
berkaitan dengan penggabungan ini masih melalui proses mahkamah.

Kasi Kecoh Dahulu

Huruf Cina untuk kecoh atau kelam kabut (chaos) boleh membawa maksud peluang. 
Maka ditengah-tengah rungutan-rungutan orang ramai terhadap kekurangan bekalan 
dan kenaikkan harga barang-barang asas, satu usaha bagai dirancang dari dalam 
serambi kerajaan sendiri dan melibatkan media massa jaluran utama untuk 
mengkecohkan keadaan agar dapat membuka peluang kepada kekayaan dalam 
perniagaan yang begitu strategik sekali.

Pada Januari 4hb, 2008 baru-baru ini, Berita Harian mendedahkan BERNAS sedang 
disiasat oleh BPR kerana mengimpot beras asing tanpa Permit Impot (AP). BERNAS 
atau Padiberas Nasional Berhad adalah bekas agensi kerajaan, Lembaga Padi 
Negara (LPN) yang telah diswastakan dan diberi konsesi eksklusif untuk 
mengimpot beras.

Beberapa hari kemudian, pelbagai akhbar-akhbar lain ikut sama melaporkan 
perkara ini. Pada Januari 8hb, 2008, Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd. Shukri 
Abdull telah mendedahkan butiran pengimportan beras secara haram itu melibatkan 
sejumlah 25,000 tan beras wangi dari Siam yang bernilai RM60 juta dan kini 
terkandas di pelabuhan-pelabuhan Kelang, Pasir Gudang dan Kota Kinabalu. 
Mengikut beliau, 10 orang kakitangan BERNAS, Kementeriaan Pertanian dan 
Industeri Asas Tani, dan Kastam DiRaja Malaysia telah dipanggil untuk memberi 
keterangan.

Sekali pandang, sudah pasti pembaca yang singkat fikiran akan membuat simpulan 
mudah untuk mengatakan mesti ada berlaku kegiatan rasuah. Mungkin sekali, bekas 
agensi kerajaan yang telah diswastakan ini diibaratkan “pagar makan padi” atau 
“api dalam serkam”.

Pada tahun 2002/3, satu operasi kastam telah dibuat untuk membantu BERNAS 
menangani masaalah penyeludupan beras, terutama di sempadan. BERNAS pernah 
dilaporkan mengalami kerugian terkumpul syarikat sebanyak RM27 juta akibat 
kegiatan ini. Anggaran kerugian bagi negara kerana kegiatan ini adalah sebanyak 
RM240 juta dan pernah mencecah setinggi 400,000 tan setahun.

Adakah, setelah satu kempen dilakukan, BERNAS sanggup “menangguk di air keroh”? 
Bak kata orang putih, “you can’t beat them, you join them”.

Pada hari yang sama Januari 8hb, 2008 itu, Berita Harian melaporkan suara-suara 
dari Pengerusi Pertubohan Peladang (Kedah), Dato Badri Yunos yang menyokong 
cadangan kerajaan untuk merombak BERNAS yang dituduh hanya mementingkan 
keuntungan.

Keesokkan harinya, Januari 9hb, 2008, New Straits Times, akhbar dari kumpulan 
yang sama, dan sebelum itu, mStar melaporkan Pengerusi, Persatuan Pengilang 
Beras Cina-Melayu, Datuk Chew Giok Kun menuntut BERNAS memberhentikan kegiatan 
orang tengah yang mengambil 10 peratus dari keuntungan mereka dan pendapatan 
petani.

Penutup untuk babak kali ini adalah rencana Berita Harian bertarikh Januari 
14hb, 2008 bertajuk "BERNAS mesti jaga kepercayaan" menghidangkan r“nasi 
tambah” yang pedas sekali kritikan melulunya. BERNAS dituduh pernah melakukan 
perkara yang sama pada tahun 2004 dan digambarkan seolah-olah BERNAS tidak 
diurus dengan baik. Menteri Pertanian dan Industeri Asas Tani, Tan Sri 
Mahyuddin Yassin dilaporkan sebagai kecewa dan agak marah nadanya.

Namun, persoalan diakhir rencana sebenarnya membayangkan hasrat tersirat: 
“Apakah sudah tiba masanya, monopoli itu dipecahkan supaya BERNAS ada pesaing?”

Mencurigakan


Dengan asakkan-asakkan bertubi-tubi Berita Harian dan New Straits Times, tidak 
dapat dinafikan bahawa Dato Hishamuddin Aun, Ketua Pengarang Berita Harian, 
sedang membesar-besarkan peristiwa ini. Tidakkah Hishamuddin tidak gerun BERNAS 
menarikbalik iklan-iklannya dari Berita Harian dan NSTP?

Tidak dapat tidak, boleh dibuat kesimpulan mudah bahawa Hishamuddin Aun, yang 
diketahui ramai adalah sebahagian dari jaringan pemutarbelit Kalimullah-Annuar 
Zaini-Wong Chun Wai, sedang diperanankan untuk memutarbelit fakta dan 
memburuk-burukan BERNAS untuk satu "pihak atasan".

Bagi penulis blog ini, dari berita terawal mengenai kes ini, terlalu banyak 
yang mencurigakan dan tidak boleh diberi kepercayaan penuh. Penulis pun secara 
kebetulan pernah menjadi penganalisa saham yang mengikuti rapat perkembangan 
BERNAS dan sekarang mempunyai sedikit pendedahan dalam Industri Pertanian untuk 
tahu sedikit sebanyak hal ehwal dalaman Kementeriaan Pertanian.

Perkara pertama yang menimbulkan kecurigaan penulis adalah anak syarikat media 
kumpulan Media Prima sudah hilang reputasi kewartawanan dan tidak boleh 
dipercaya laporan mereka. Beberapa tahun mutakhir ini, pendedahan atau scoop, 
kata-kata lingo wartawan, mereka adalah kebocoran maklumat yang terancang dan 
selalunya mempunya rancangan yang berniat jahat. Malah, penulis merasakan 
laporan yang terkeluar di KLPos pada Januari 2hb, 2008 mungkin adalah 
pembocoran yang diatur. (Penulis tidak menuduh KLPos bersekongkol tetapi hanya 
merasakan maklumat yang diperolehi adalah kebocoran yang teratur.)

Kedua, amat tidak logik untuk sebuah syarikat awam yang perlu memenuhi kriteria 
ketulusan, pemantauan dan kawalan korporat yang begitu ketat serta mempunyai 
kerjasama rapat dengan kerajaan untuk melakukan kegiatan penyeludupan beras 
secara besar-besaran dan terang-terang? Jika benarlah ada sindiket 
penyeludupan, mengapa perlu melalui proses kastam di pelabuhan? Bukankah rasmi 
penyeludupan dibuat secara sorok-sorok dan curi-curi masuk?

Ketiga, setelah Pak Lah menang pilihanraya 2004, salah satu tindakannya yang 
segera adalah untuk membatalkan projek keretapi berkembar yang telah dibrikan 
kepada syarikat Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary disamping menjadi "tikus 
membaiki labu" untuk merungkai pelbagai usaha-usaha dan inisiatif-inisiatif 
pembangunan Tun Dr Mahathir.

BERNAS adalah satu syarikat yang kegiatan perniagaannnya amat kompleks untuk 
diurus dan memainkan peranan yang amat strategik untuk negara. Semasa dibawah 
kepimpinan pemegang saham utama dahulu, Dato Ibrahim Mohd Noor, BERNAS sudah 
ada rancangan untuk membina Lebuhraya Bekalan Makanan yang begitu strategik 
untuk negara.

Menyedari kekurangan dan kekangan infrastruktur dan sumber bagi BERNAS untuk 
merealisasikan penuh rancangan ini, Dato Ibrahim terpaksa menjual sahamnya di 
dalam BERNAS kepada Tan Sri Mokhtar. Ini dilakukan untuk memberi kuasa 
pengurusan kepada Tan Sri yang mana kumpulan perniagaan Tan Sri mempunyai lebih 
sinergi dan keupayaan untuk merealisasikan rancangan itu.

Keempat dan tidak semestinya terakhir, negara kita mempunyai seorang anak muda 
yang teramat besar cita-cita yang mempunyai penglibatan dalam industri makanan 
halal dan kerap berbincang subjek rantaian nilai (value chain). Isterinya dan 
anak Perdana Menteri, Nori Abdullah pun mempunyai pembabitan dalam industri 
yang sama.

Mungkinkah Pak Lah sedang berusaha untuk memecahkan empayar korporat Tan Sri 
Syed Mokhtar yang sering dijenama ramai sebagai orang korporat Mahathir, 
walaupun persahabatannya yang begitu rapat dan lama dengan Tan Sri Mahyuddin 
dari masa ia memegang jawatan Menteri Besar Johor? Adakah ini memberi implikasi 
politik Tan Sri Mahyuddin sudah boleh di"cucuk hidung" hingga melakukan sesuatu 
terhadap sahabatnya sendiri?

Mungkinkah ini satu lagi usaha senyap-senyap Pak Lah untuk membolehkan menantu 
tersayang merealisasikan rancangan kenderaan korporat dan politiknya? 
Sebagaimana MAS disaingkan dengan tidak adil dengan Air Asia, adakah kita akan 
melihat timbulnya satu "AirAsia" bagi perniagaan padi dan beras? Adakah akan 
berlaku lagi kesilapan lepas untuk meniru buta ide-ide textbook tanpa memahami 
dengan terperinci latarbelakang sesuatu kes? Senarionya berlainan sekali. 

Mengapa AP Tidak Dikeluarkan?

Sebenarnya perkara tambahan AP ini sudah menjadi perkara lazim tahunan yang 
tidak dapat tidak perlu dikeluarkan.

Keperluan beras negara adalah lebih kurang 1.8 juta tan setahun yang mana 
pengeluaran tempatan hanya terupaya mengeluarkan sebanyak 1-1.2 juta setahun. 
Sejak begitu lumrah kita diturunkan dengan bencana banjir di zaman pentadbiran 
Pak Lah, pengeluaran padi dan beras tempatan terjejas dalam 100-200,000 tan 
setahun. Defisit ini perlu dipenuhi melalui impot.

Mengikut maklumat dalaman penulis, BERNAS selalunya membuat anggaran dan 
memohon impot untuk jumlah tahap 700-800,000 tan setahun. Permintaan ini sering 
ditolak oleh Kementeriaan atas alasan peruntukkan ini perlu diturunkan dan 
ditampung oleh pengeluaran tempatan.

Masaalahnya pihak Kementeriaan terlalu lama seronok di lamun mimpi erotika 
bahawa petani-petani kita, dengan sikap yang agak lambat proses perubahan cara 
dan sikap, berupaya mencapai pengeluaran 10 tan per hektar setahun. Walaupun 
BERNAS ada memberi sokongan di sana sini, tanggungjawab untuk membimbing petani 
untuk meningkatkan yield ladang terletak pada Jabatan Pertanian dan realitinya 
ia masih jauh dari pencapaian. 

Dengan demikian sejak tahun 2004, pihak BERNAS perlu memohon pertambahan AP 
pada suku tahunan ketiga yang mana timing masa tidak terlalu cepat dan tidak 
terlalu lambat.

Dari soksek-soksek yang didengar dari Kementeriaan, BERNAS sudah memasukkan 
permohonan untuk menampung defisit beras untuk akhir tahun 2007 seperti jadual 
biasanya. Sepatutnya tiada masaalah langsung tetapi Kementeriaan menghadapi 
masaalah tandatangan untuk meluluskan AP.

Mengikut Akta Kawal Selia, kuasa meluluskan permohonan AP ini terletak di bawah 
kuasa Ketua Pengarah Kawal Selia yang mana penandatangan perlu digazetkan. 
Ketua Pengarah yang lepas, Haji Zaharuddin telah bersara dan tidak lama setelah 
persaraan pada bulan Ogos, telah meninggal dunia.

Jawatan beliau telah digantikan oleh Dato Ibrahim bin Abdullah tetapi anih 
sekali, beliau tidak diwartakan untuk menjadi tandatangan. Permohonan BERNAS 
tidak dapat laksana hinggalah Dato Ibrahim diwartakan. Difahamkan perkara ini 
telah disampaikan kepada pihak pengurusan atasan Kementeriaan dan mungkin 
sekali hingga ke peringkat Menteri. Akhirnya, Dato Ibrahim hanya diwartakan 
pada hari-hari dekat perayaan Krismas baru-baru ini, empat bulan setelah 
mengambilalih tugas.

Ini adalah cerita benar belakang tabir dan bukanlah seperti pelbagai tuduhan 
yang dihalakan terhadap BERNAS. Memang lazim ego orang yang lebih berkuasa, 
walau macam mana salah pun mereka, pihak di bawah dan orang lain juga yang 
dipersalahkan. Namun cara respons dan penggunaan media yang intensif untuk 
memutarbelitkan sehendak-hendaknya tidak boleh hanya dianggap sebagai usaha 
untuk mengalih pandang kesalahan pihak kerajaan.

BERNAS boleh dianggap silap untuk mendahulukan pengimpotan dan mengandaikan AP 
itu pasti diperolehi. Mereka punya punya pelbagai kesilapan. Namun mereka tidak 
boleh dipersalahkan sepenuhnya. Cuba dibayangkan jika mereka tidak bersikap 
proaktif dan mengambil risiko untuk mengimpot terus. Bukankah boleh terputus 
bekalan beras untuk kawasan tertentu, terutama kawasan pendalaman yang jauh 
dari pekan?

Berbanding dengan keputusan bekalan barang-barang asas lain, keputusan bekalan 
beras lebih mencemaskan kerana rakyat kita tidak biasa hidup dengan hanya 
memakan roti/gandum atau jauh sekali ubi kayu. Bukankah lagi kecoh jika berlaku 
masaalah bekalan beras tatkala rakyat bersungut mengenai bekalan minyak masak 
dan kenaikkan harga barangan? Pilihanraya sudah hampir dekat!

Adakah kelewatan pengeluaran AP itu disengajakan untuk menjadikan suasana 
kurangan beras dan memberi justifikasi untuk mencengkam kausa keatas BERNAS? 
Walluhu alam. Namun, ternyata sekali ada “udang disebalik batu” dan ada 
bukti-bukti yang menunjukkan demikian

Kisah ini akan bersambung di Bahagain ke 2 dan seterusnya untuk merungkai satu 
lagi rancangan yang mempunyai niat yang jahat.


HARI SABTU PAKAI KUNING! / WEAR YELLOW ON SATURDAYS!
Lawati laman 10November di http://10nov.himpunan.info/
Lawati laman Bersih di http://bersih.org/
       
---------------------------------
Be a better friend, newshound, and know-it-all with Yahoo! Mobile.  Try it now.

Kirim email ke