Eusoff Chin minta Mahadev Shankar tarik diri 12/02/2008 1:52pm KUALA LUMPUR 12 Feb. – Bekas Ketua Hakim Negara yang merupakan saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja, Tun Mohd. Eusoff Chin mahu Datuk Mahadev Shankar menarik diri daripada menganggotai suruhanjaya yang menyiasat kesahihan kandungan dan imej peguam Datuk V.K. Lingam dalam klip video mengatur pelantikan hakim-hakim.
Permohonan Eusoff dikemukakan melalui peguamnya, Datuk Hazman Ahmad pada permulaan prosiding hari ke-15 di sini pagi ini. Bagaimanapun, Shankar meminta Hazman memfailkan permohonan itu secara bertulis dengan menyertakan dokumen sokongan termasuk alasan dan kenyataan oleh Eusoff sendiri. Shankar juga sempat mengucapkan terima kasih kepada Hazman atas pendiriannya supaya beliau (Shankar) menarik diri daripada Suruhanjaya Siasatan Diraja tersebut. Hazman menyatakan beliau tidak membuat permohonan itu atas dasar peribadi sebaliknya kerana diarahkan oleh anak guamnya. Pada 14 Januari lalu, Pengerusi Suruhanjaya Tan Sri haidar Mohamed Noor dan anggota suruhanjaya, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong diminta berundur daripada suruhanjaya oleh peguam M. Puravelan tetapi permohonan tersebut ditolak. Pada 5 Februari lalu, Haidar sekali lagi diminta menarik diri oleh peguam Karpal Singh yang mewakili M. Manoharan atas alasan beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan bekas Ketua Hakim Negara ke-10, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim.
