Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu 
diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang 
merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca 
orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan 
seumpamanya.


Hang rasa betul ke mufti perlis ni??? agak2 jujur ke dgn ape yg die cakap??
bagi aku tak lebih 'melobi' UMNO.... kot2 lpas ni jadi calon tak tau...
yelah, stiap miggu mesti ada je 'ayat' yg mburukan PAS...
wallahualam....



----- Original Message ----
From: "[EMAIL PROTECTED]" <[EMAIL PROTECTED]>
To: Ikhwanul Muslimun <[email protected]>
Sent: Sunday, 17 February, 2008 11:49:26 PM
Subject: Help Palestine [hidayahnet] Pilihanraya: Antara Calon Dan Keperluan 
Rakyat

Assalamualaikum,

  Tak kira pas, umno dan lain2 mesti dengar nasihat Mufti Perlis Asri Zainul 
Abidin ini!!!

http://drmaza. com/?p=198


Pilihanraya: Antara Calon Dan Keperluan Rakyat
Posted on Feb 17, 2008 under Politik |
Sudah beberapa hari Parlimen kita dibubarkan. Teka-teki tarikh pilihanraya 
sudah berhenti. Apa yang sedang panas diperkatakan adalah teka-teki siapa 
calon-calon yang bakal ditempatkan oleh pertubuhan-pertubuh an politik yang 
akan bertanding.
Ada insan-insan yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan 
mimpi gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tapi ingin 
memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka. Samada tangan 
itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuh an politik, atau rakyat yang akan 
mengundi nanti.
Saya amat tertarik dengan surat Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang mengandungi 
wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau yang ketika itu 
begitu teramat uzur. Beliau meminta supaya Saidina ‘Uthman menulis untuknya 
seperti berikut: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. 
Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr bin Abi Quhafah pada waktu terakhir 
kehidupan di dunia dan sedang keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya 
di akhirat dan sedang masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang 
kafir akan beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan 
bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini ‘Umar bin 
al-Khattab. Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak akan 
melewatkan sebarangkan kebaikan untuk Allah (keredhaanNya) , RasulNya, 
agamaNya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar) berlaku adil, maka itulah 
sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika dia
 mengubahnya (kepada tidak adil), maka setiap orang akan menanggung dosa yang 
telah dilakukannya. Aku bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui 
yang ghaib (keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui 
di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam ‘alaikum warahmatullah” . (Ibn 
Sa’d, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr).
Surat ini menggambarkan betapa Saidina Abu Bakr sedarkan dirinya dan kita semua 
bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan rakyat mempunyai kaitan 
yang amat besar dengan dosa dan pahala dan penghakiman Allah terhadap kita pada 
hari kiamat kelak. Maka mereka yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita 
yakin akan mampu menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.
Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu adalah dosa 
yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih itu hendaklah sedar 
bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang zalim yang gagal menunaikan 
amanah dan tanggungjawab kepimpinan.
Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sahaja sekadar 
meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi kesannya amat besar 
terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia mampu menentukan jatuh 
bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan kekacauan sebuah masyarakat.
Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin atasan yang 
membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau rakyat bawahan yang akan 
mengundi, maka hadis berikut patut direnungi: sabda Nabi s.a.w “Adakalanya 
seseorang kamu berucap dengan sesuatu kalimat yang diredhai ALLAH, padahal dia 
tidak menyangka ianya akan sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya ALLAH 
mencatatkan keredhaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya 
seseorang kamu pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal 
dia tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah 
mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah”. (Riwayat 
Malik dalam Muwata`). Demikianlah pemilihan dan pengundian, walaupun bukan 
ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa kesan yang teramat 
besar.
Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat kepimpinan 
pertubuhan-pertubuh an politik untuk memastikan agar calon-calon yang 
diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi kenyataan, bukan sekadar 
slogan. Ya, rakyat juga sudah ramai yang bijak dan mula tahu menilai. Bukan 
masa lagi sekadar untuk berbangga dengan jenama parti, sedangkan wakil atau 
pemimpin yang dilantik tidak mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival 
umat.
Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau negeri atau umur 
atau latar pendidikan semata, ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Sebaliknya, seperti 
yang selalu saya sebutkan hendaklah berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti 
yang diajar oleh al-Quran. Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan 
atau kemahiran atau kecekapan melaksanakan tugas. Sementara al-Amanah adalah 
nilai taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir 
terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini seperti 
yang Allah firmankan (maksudnya): “Sesungguhnya orang yang paling baik yang 
kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah” (Surah al-Qasas: 26).
Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w dan meminta baginda 
menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat membimbing mereka. Maka 
Nabi s.a.w bersabda: “Aku akan mengutuskan bersama kamu seorang lelaki yang 
amanah, bahkan benar-benar amanah. Maka para sahabat Nabi s.a.w pun 
tertunggu-tunggu siapakah yang dipilih. Lalu baginda bersabda: “Bangunlah! 
Wahai Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah”. Lalu Abu ‘Ubaidah pun bangun dan baginda pun 
bersabda: “Inilah orang yang amanah bagi umat ini” (Riwayat al-Bukhari dan 
Muslim).
Ya, Abu ‘Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai insan 
muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan segala kepentingan 
diri. Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran kegemilangan ketika dia 
dilantik menjadi gabenor pada zaman pemerintahan ‘Umar bin al-Khattab. Hidup 
dalam penuh kezuhudan dan menyebarkan keadilan untuk rakyat.
Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata -pada umumnya- dalam hal 
ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar mengutuskan atau 
mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini hanyalah yang amanah. Hanya 
yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan pada hari kiamat kelak tentang 
tanggungjawab yang akan diserahkan kepadanya.
Sabda Nabi s.a.w.: “Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan urusan orang 
Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah) dan tidak menasihati 
mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama mereka” (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat yang lain baginda: “Tiada seorang pemimpin pun yang mengendalikan 
urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati dalam keadaan dia menipu 
mereka melainkan Allah haramkan baginya syurga” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana belum tentu 
gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan amanah. Amanah adalah 
sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam kehidupan insan, bukan pada 
gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan kita mengatasi nama dan gelaran 
tetapi ciri dan kewibawaan.
Saya tidak mahu mempersoalkan ‘muka lama’ atau ‘muka baru’. Kepimpinan bukan 
macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin bertukar selera. Bukan tom 
yam atau sup atau mee bandung. Kepimpinan soal keadilan dan kemampuan 
menunaikan amanah yang diberikan tanpa penyelewengan.
Jika ‘muka lama’ terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir miskin, 
menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa keredhaan Allah dan 
RasulNya, memajukan minda dan harta, menunaikan tuntutan dunia dan akhirat maka 
dia layak meneruskannya. Apa ertinya pula ‘muka baru’ jika dari awal sudah ada 
potensi negatif.
Namun jika ‘muka lama’ terbukti menyeleweng, tidak amanah, mementingkan diri, 
melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah peluang untuk dibarukan 
‘muka’ seperti itu. Firman Allah: (maksudnya) “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu 
memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di 
kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah 
memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).
Sesiapa yang miliki ciri-ciri yang menjadikan dilayak memegang kuasa, maka 
diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru. Para al-Khulafak 
al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun rakyat tetap menangisi hari 
kematian mereka sebagai tanda khidmat mereka masih diperlukan. Malangnya di 
kalangan kita hari ini kadang kala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat 
menangis kerana khidmat mereka mengundang kesusahan.
Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan teramat penting. 
Namun jika tidak diiringi dengan perasaan gerun terhadap amanah jawatan yang 
diserahkan kepadanya, maka berbagai kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku.
Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah dan 
penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita. Umat ini 
mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti disiapkan. Kita tidak 
ada cukup masa untuk melayan dan bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang 
seperti itu.
Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan tercapai jika 
kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh tangan-tangan yang tidak 
amanah terhadap peruntukan kuasa yang diberikan kepadanya. Misi-misi penting 
dan besar negara yang kita laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan 
amanah.
Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun baginda tidak 
membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi penting tertentu. Sebab itu 
dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w menyebut: “Aku akan utuskan seorang 
lelaki yang dia kasihkan Allah dan RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan 
dia. Dia bukan seorang yang akan lari dari medan”. Maka orang ramai pun 
ternanti-nanti, lalu dilantik ‘Ali dan diserahkan bendera kepadanya” (Riwayat 
Ibn Majah, sahih).
Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai adalah 
penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti Professor atau Dr 
berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik berbezaan antara seorang dengan 
seorang yang lain. Walaupun soal latar pendidikan itu penting tapi bukan semua 
yang berpendidikan tinggi itu berkemampuan dalam politik.
Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan keluarga atau 
persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan kewibawaan. Seperti mana 
yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda 
yang begitu soleh. Namun apabila Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: 
“Wahai Abu Zar, sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, 
sesungguhnya aku suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan 
engkau menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak 
yatim”. (Riwayat Muslim).
Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri kepimpinan. Kalaulah 
Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak 
dimilikinya, apakah kita akan melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita 
sekalipun tidak layak?. Kita mengkhianati amanah.
Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh kepimpinan yang 
dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing rakyat sehingga perasaan 
rakyat begitu terikat dengan perjuangan kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan 
habuan, menyokong dan mendokong cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.
Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh kepimpinan yang 
dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas pula hala perjuangan dan 
perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan taburan harta, tetapi kematangan 
minda yang mampu menjadikan harta berfungsi dengan saksama dan cemerlang. 
Slogan-slogan yang dilaungkan bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya 
penghayatan yang dibuktikan ia bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar 
menjanji, ramai yang boleh janji berbagai perkara.
Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang melihat 
berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada jelas bohongnya, ada 
yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada mempergunakan nama agama, atau 
bangsa untuk kepentingan kempen dan berbagai.
Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun yang perlu 
diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram sehingga seseorang 
merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun, menjatuhkan maruah, mencerca 
orang tanpa batasan syarak, atau menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan 
seumpamanya.
Sabda Nabi s.a.w: “Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau pelaknat, orang yang 
bercakap keji dan kesat” (Riwayat al-Tirmizi, sahih). Jika itulah gelagat buruk 
sebelum mendapat jawatan, saya cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia 
jenis ini. Itu adalah kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana 
mengalurkan buah fikiran secara matang.
Related Posts
Menjernihkan Pencemaran Iklim Politik Negara (Jan 06, 2008)
Pemberontakan Kuasa: Antara Emosi Dan Penilaian Seimbang (Dec 16, 2007)
Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu (Dec 02, 2007)
Apabila Berpolitik Tanpa Berprinsip (Nov 25, 2007)
Boleh Berpolitik, Tapi Jangan Gila Politik (Jul 08, 2007)







Never miss a thing. Make Yahoo your homepage.



      ___________________________________________________________
Yahoo! Answers - Got a question? Someone out there knows the answer. Try it
now.
http://uk.answers.yahoo.com/ 

Kirim email ke