Punya lah panjang lebar nasihat dan berbelit-belit. Bukan kah lebih
mudah kalau di ringkaskan. Bagi orang awam macam kami yang tidak
berpengetahuan tinggi dalam ugama dan kurang pandai sudah tentu malas
nak membaca nasihat panjang lebar dari seseorang yang bergelar mufti
di dunia ini. Nak buat thesis ke? Bagi nasihat dalam dua tiga ayat pun
  dah lebih dari memadai...namanyapun nasihat. Bukan bebelan.

-alivewire-


--- In [email protected], aznan hamat wrote:
>
> Assalamualaikum, 
> 
>   Tak kira pas, umno dan lain2 mesti dengar nasihat Mufti Perlis
Asri Zainul Abidin ini!!!
> 
> http://drmaza.com/?p=198
> 
>        Pilihanraya: Antara Calon Dan Keperluan Rakyat   Posted on
Feb 17, 2008 under Politik |     
>         Sudah beberapa hari Parlimen kita dibubarkan. Teka-teki
tarikh pilihanraya sudah berhenti. Apa yang sedang panas diperkatakan
adalah teka-teki siapa calon-calon yang bakal ditempatkan oleh
pertubuhan-pertubuhan politik yang akan bertanding.  Ada insan-insan
yang membayangkan mimpi indah dan ada juga yang bimbangkan mimpi
gundah. Saya tidak ingin memperkatakan tentang nasib mereka, tapi
ingin memperkatakan tentang tangan-tangan yang ingin memilih mereka.
Samada tangan itu pemimpin tertinggi pertubuhan-pertubuhan politik,
atau rakyat yang akan mengundi nanti.
>  Saya amat tertarik dengan surat Saidina Abu Bakr al-Siddiq yang
mengandungi wasiat tentang calon pilihannya dalam menggantikan beliau
yang ketika itu begitu teramat uzur. Beliau meminta supaya Saidina
`Uthman menulis untuknya seperti berikut: "Dengan nama Allah yang Maha
Pemurah lagi Maha Penyayang. Inilah apa yang diamanatkan oleh Abu Bakr
bin Abi Quhafah pada waktu terakhir kehidupan di dunia dan sedang
keluar daripadanya, serta permulaan kehidupannya di akhirat dan sedang
masuk ke dalamnya. Di mana ketika seperti ini seorang kafir akan
beriman, seorang yang jahat akan yakin, dan seorang pembohong akan
bercakap benar. Aku melantik untuk kamu semua selepas aku ini `Umar
bin al-Khattab. Dengar dan taatlah kepadanya. Sesungguhnya aku tidak
akan melewatkan sebarangkan kebaikan untuk Allah (keredhaanNya),
RasulNya, agamaNya, diriku dan kamu semua. Sekiranya dia (Umar)
berlaku adil, maka itulah sangkaan dan pengetahuanku mengenainya. Jika
dia mengubahnya (kepada tidak adil),
>  maka setiap orang akan menanggung dosa yang telah dilakukannya. Aku
bertujuan untuk kebaikan dan aku tidak pula mengetahui yang ghaib
(keadaan masa hadapan). Maka nanti mereka yang zalim akan mengetahui
di manakah tempat kesudahan mereka. Wassalam `alaikum warahmatullah".
(Ibn Sa'd, al-Tabaqat al-Kubra, 3/200, Beirut: Dar al-Fikr).
>  Surat ini menggambarkan betapa Saidina Abu Bakr sedarkan dirinya
dan kita semua bahawa soal pemilihan mereka yang akan menguasai urusan
rakyat mempunyai kaitan yang amat besar dengan dosa dan pahala dan
penghakiman Allah terhadap kita pada hari kiamat kelak. Maka mereka
yang hendak dipilih, hendaklah mereka yang kita yakin akan mampu
menegakkan keadilan dan kemaslahatan umat.
>  Jika kita pilih mereka yang berpotensi merosakkan umat, maka itu
adalah dosa yang teramat di sisi Tuhan. Juga, calon-calon yang dipilih
itu hendaklah sedar bahawa neraka adalah kesudahan buat mereka yang
zalim yang gagal menunaikan amanah dan tanggungjawab kepimpinan.
>  Memilih calon atau mengundi walaupun kelihatannya ringkas sahaja
sekadar meletakkan nama atau memangkah pada hari pengundian, tetapi
kesannya amat besar terhadap masa depan sesebuah negara dan umat. Ia
mampu menentukan jatuh bangunnya sesebuah kerajaan, atau keamanan dan
kekacauan sebuah masyarakat.
>  Sebab itu dalam membuat pemilihan calon sama ada kita pemimpin
atasan yang membuat penentuan nama-nama yang bakal bertanding atau
rakyat bawahan yang akan mengundi, maka hadis berikut patut direnungi:
sabda Nabi s.a.w "Adakalanya seseorang kamu berucap dengan sesuatu
kalimat yang diredhai ALLAH, padahal dia tidak menyangka ianya akan
sampai ke tahap sedemikian, lalu dengannya ALLAH mencatatkan keredhaan
untuknya sehingga hari dia bertemu Allah. Adakalanya seseorang kamu
pula berucap dengan sesuatu kalimat yang dimurkai Allah, padahal dia
tidak menyangka ia akan sampai tahap sedemikian, lalu dengannya Allah
mencatatkan kemurkaaan untuknya sehingga hari dia bertemu Allah".
(Riwayat Malik dalam Muwata`). Demikianlah pemilihan dan pengundian,
walaupun bukan ucapan lisan, tetapi ianya ucapan bertulis yang membawa
kesan yang teramat besar.
>  Kita begitu gembira apabila media-media kita melapor hasrat
kepimpinan pertubuhan-pertubuhan politik untuk memastikan agar
calon-calon yang diletakkan berkualiti. Kita harap itu semua menjadi
kenyataan, bukan sekadar slogan. Ya, rakyat juga sudah ramai yang
bijak dan mula tahu menilai. Bukan masa lagi sekadar untuk berbangga
dengan jenama parti, sedangkan wakil atau pemimpin yang dilantik tidak
mempunyai kualiti yang mampu memastikan survival umat.
>  Kualiti sesorang calon bukan sekadar dilihat pada daerah, atau
negeri atau umur atau latar pendidikan semata, `muka lama' atau `muka
baru'. Sebaliknya, seperti yang selalu saya sebutkan hendaklah
berteraskan al-Quwwah dan al-Amanah seperti yang diajar oleh al-Quran.
Al-Quwwah bermaksud kekuatan yang mewakili kemampuan atau kemahiran
atau kecekapan melaksanakan tugas. Sementara al-Amanah adalah nilai
taqwa atau amanah dalam diri yang memastikan dia tidak akan mungkir
terhadap janji dan menyeleweng dari tanggungjawab yang diberikan. Ini
seperti yang Allah firmankan (maksudnya): "Sesungguhnya orang yang
paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah yang kuat lagi amanah"
(Surah al-Qasas: 26).
>  Apabila perwakilan Najran datang bertemu Nabi s.a.w dan meminta
baginda menghantar wakil baginda hanya yang amanah yang dapat
membimbing mereka. Maka Nabi s.a.w bersabda: "Aku akan mengutuskan
bersama kamu seorang lelaki yang amanah, bahkan benar-benar amanah.
Maka para sahabat Nabi s.a.w pun tertunggu-tunggu siapakah yang
dipilih. Lalu baginda bersabda: "Bangunlah! Wahai Abu `Ubaidah bin
al-Jarrah". Lalu Abu `Ubaidah pun bangun dan baginda pun bersabda:
"Inilah orang yang amanah bagi umat ini" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
>  Ya, Abu `Ubaidah ialah seorang yang terkenal dalam rekodnya sebagai
insan muslim mukmin yang bertegas kepada prinsip dan mengenepikan
segala kepentingan diri. Dengan rekod itu, dia dicatat dengan ukiran
kegemilangan ketika dia dilantik menjadi gabenor pada zaman
pemerintahan `Umar bin al-Khattab. Hidup dalam penuh kezuhudan dan
menyebarkan keadilan untuk rakyat.
>  Saya kira, saya boleh mewakili suara rakyat jelata -pada umumnya-
dalam hal ini; bahawa kita meminta kepada kepimpinan politik agar
mengutuskan atau mencalonkan mereka yang bakal memimpin rakyat ini
hanyalah yang amanah. Hanya yang insaf bahawa dia akan dipersoalkan
pada hari kiamat kelak tentang tanggungjawab yang akan diserahkan
kepadanya.
>  Sabda Nabi s.a.w.: "Tidak ada seorang pemimpin yang menguruskan
urusan orang Islam, lalu dia tidak bersungguh-sungguh (menunai amanah)
dan tidak menasihati mereka, maka dia tidak akan masuk syurga bersama
mereka" (Riwayat Muslim).
>  Dalam riwayat yang lain baginda: "Tiada seorang pemimpin pun yang
mengendalikan urusan rakyatnya dari kaum muslimin kemudian dia mati
dalam keadaan dia menipu mereka melainkan Allah haramkan baginya
syurga" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
>  Kita tidak meminta ustaz atau syeikh sebagai calon. Ini kerana
belum tentu gelaran-gelaran itu menjamin mereka mampu menunaikan
amanah. Amanah adalah sikap dan keperibadian yang dapat dilihat dalam
kehidupan insan, bukan pada gelaran dan panggilan. Justeru, permintaan
kita mengatasi nama dan gelaran tetapi ciri dan kewibawaan.
>  Saya tidak mahu mempersoalkan `muka lama' atau `muka baru'.
Kepimpinan bukan macam jamuan makanan yang sekali sekala kita ingin
bertukar selera. Bukan tom yam atau sup atau mee bandung. Kepimpinan
soal keadilan dan kemampuan menunaikan amanah yang diberikan tanpa
penyelewengan.
>  Jika `muka lama' terbukti mampu membela rakyat bawahan, fakir
miskin, menyebarkan kebaikan, menghidupkan suasana yang membawa
keredhaan Allah dan RasulNya, memajukan minda dan harta, menunaikan
tuntutan dunia dan akhirat maka dia layak meneruskannya. Apa ertinya
pula `muka baru' jika dari awal sudah ada potensi negatif.
>  Namun jika `muka lama' terbukti menyeleweng, tidak amanah,
mementingkan diri, melupai tanggungjawab yang diberikan, maka inilah
peluang untuk dibarukan `muka' seperti itu. Firman Allah: (maksudnya)
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak
menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka
hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan
pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa' ayat 58).
>  Sesiapa yang miliki ciri-ciri yang menjadikan dilayak memegang
kuasa, maka diberikan kepadanya tanpa bertanya muka lama atau baru.
Para al-Khulafak al-Rasyidin memerintah sampai ke akhir hayat. Namun
rakyat tetap menangisi hari kematian mereka sebagai tanda khidmat
mereka masih diperlukan. Malangnya di kalangan kita hari ini kadang
kala baru berkhidmat beberapa bulan, rakyat menangis kerana khidmat
mereka mengundang kesusahan.
>  Soal kelayakan, kepakaran dan kecerdikan memang penting bahkan
teramat penting. Namun jika tidak diiringi dengan perasaan gerun
terhadap amanah jawatan yang diserahkan kepadanya, maka berbagai
kerosakan dek kecerdikan boleh berlaku.
>  Kita sudah amat keletihan dengan berita-berita perbicaraan rasuah
dan penyalahangunaan kuasa yang tidak habis-habis dalam media kita.
Umat ini mempunyai tanggungjawab dan kerja yang banyak yang mesti
disiapkan. Kita tidak ada cukup masa untuk melayan dan
bertungkus-lumus dengan laporan-laporan yang seperti itu.
>  Misi-misi penting yang ingin dicapai oleh negara tidak akan
tercapai jika kelancaran perjalanan kita sentiasa diganggu oleh
tangan-tangan yang tidak amanah terhadap peruntukan kuasa yang
diberikan kepadanya. Misi-misi penting dan besar negara yang kita
laung-laung memerlukan tenaga yang berjiwa besar dan amanah.
>  Ramai sahabah Nabi s.a.w. yang handal di medan pertempuran. Namun
baginda tidak membuat pemilihan secara sebarangan bagi misi-misi
penting tertentu. Sebab itu dalam misi Peperangan Khaibar, Nabi s.a.w
menyebut: "Aku akan utuskan seorang lelaki yang dia kasihkan Allah dan
RasulNya, juga Allah dan RasulNya kasihkan dia. Dia bukan seorang yang
akan lari dari medan". Maka orang ramai pun ternanti-nanti, lalu
dilantik  `Ali dan diserahkan bendera kepadanya" (Riwayat Ibn Majah,
sahih).
>  Pemilihan yang tepat dalam memastikan visi dan misi dapat ditunai
adalah penting. Bukan semua yang memakai gelaran yang hebat seperti
Professor atau Dr berkemampuan dalam siasah. Kewibawaan politik
berbezaan antara seorang dengan seorang yang lain. Walaupun soal latar
pendidikan itu penting tapi bukan semua yang berpendidikan tinggi itu
berkemampuan dalam politik.
>  Lebih dukacita lagi jika pemilihan dibuat atas simpati hubungan
keluarga atau persahabatan semata. Bukan lagi ciri kelayakan dan
kewibawaan. Seperti mana yang kita tahu bahawa Nabi s.a.w sayangkan
Abu Zar r.a. seorang sahabat baginda yang begitu soleh. Namun apabila
Abu Zar meminta jawatan, baginda bersabda: "Wahai Abu Zar,
sesungguhnya aku melihat engkau seorang yang lemah, sesungguhnya aku
suka untuk engkau apa aku suka untuk diriku. Maka jangan engkau
menjadi ketua ke atas dua orang dan jangan engkau uruskan harta anak
yatim". (Riwayat Muslim).
>  Lemah Abu Zar bukannya lemah iman, tetapi lemah ciri-ciri
kepimpinan. Kalaulah Nabi s.a.w yang sayangkan Abu Zar tidak
melantiknya kerana ciri-ciri yang tidak dimilikinya, apakah kita akan
melantik sahabat handai dan kaum keluarga kita sekalipun tidak layak?.
Kita mengkhianati amanah.
>  Seperti yang pernah saya sebutkan, kita ketandusan tokoh-tokoh
kepimpinan yang dapat menonjolkan idealisme yang mampu membimbing
rakyat sehingga perasaan rakyat begitu terikat dengan perjuangan
kepimpinan. Setia tanpa mengharapkan habuan, menyokong dan mendokong
cita-cita tanpa mengharapkan ganjaran.
>  Hal ini tidak boleh berlaku melainkan lahirnya tokoh-tokoh
kepimpinan yang dikagumi keperibadiannya dan dirasai keikhlasan. Jelas
pula hala perjuangan dan perlaksanaannya. Wajah kepimpinannya bukan
taburan harta, tetapi kematangan minda yang mampu menjadikan harta
berfungsi dengan saksama dan cemerlang. Slogan-slogan yang dilaungkan
bukan lagi sekadar retorik, sebaliknya penghayatan yang dibuktikan ia
bermula dengan dirinya sendiri. Jika sekadar menjanji, ramai yang
boleh janji berbagai perkara.
>  Saya salah seorang dari rakyat biasa yang bukan ahli politik sedang
melihat berbagai gelagat orang berbagai parti. Ada yang lucu, ada
jelas bohongnya, ada yang hasad, ada lebih lajak dari laju, ada
mempergunakan nama agama, atau bangsa untuk kepentingan kempen dan
berbagai.
>  Dari gaya kempen, dapat dikenali watak calon dan partinya. Namun
yang perlu diingatkan, pilihanraya bukan musim menghalalkan yang haram
sehingga seseorang merasa dia boleh berbohong, atau memaki-hamun,
menjatuhkan maruah, mencerca orang tanpa batasan syarak, atau
menyalahgunakan apa yang dimilikinya dan seumpamanya.
>  Sabda Nabi s.a.w: "Bukan seorang mukmin itu pencerca, atau
pelaknat, orang yang bercakap keji dan kesat" (Riwayat al-Tirmizi,
sahih). Jika itulah gelagat buruk sebelum mendapat jawatan, saya
cadangkan kita jangan beri undi kepada manusia jenis ini. Itu adalah
kedangkalan dan kerendahan budi yang tidak tahu bagaimana mengalurkan
buah fikiran secara matang.
>         
>         Related Posts 
>    Menjernihkan Pencemaran Iklim Politik Negara (Jan 06, 2008)
>    Pemberontakan Kuasa: Antara Emosi Dan Penilaian Seimbang (Dec 16,
2007)
>    Wahai Pemimpin! Kemewahan Dirimu Bukanlah Kehebatanmu (Dec 02, 2007)
>    Apabila Berpolitik Tanpa Berprinsip (Nov 25, 2007)
>    Boleh Berpolitik, Tapi Jangan Gila Politik (Jul 08, 2007)
>    
> 
> 
> 
> 
> 
>        
> ---------------------------------
> Never miss a thing.   Make Yahoo your homepage.
>


Kirim email ke