Pengenalan

Tidak dinafikan dalam mendepani zaman ini, para isteri akan bertemu dengan 
bermacam-macam bentuk halangan. Tambahan pula bagi mereka yang bekerja dan 
mempunyai anak yang banyak. Di mana-mana sahaja akan kita temui keluhan demi 
keluh-an sehingga menjadikan anak-anak dara merasakan bahawa terus menjadi dara 
adalah yang terbaik.

Sekiranya, kita menoleh dan merenung sejarah nenek moyang kita dahulu, 
sepatutnya mereka lebih-lebih lagi mempunyai alasan untuk mengeluh, namun kita 
dapat saksikan orang-orang lama ini akan bertahan lama dengan pasangan 
masing-masing. Mereka tidak mempunyai mesin untuk membasuh pakaian. Mereka 
perlu mencari kayu api untuk memasak. Ah, banyak lagi alasan yang boleh 
digunakan untuk menunjukkan ibu-ibu kita pada zaman dahulu mempunyai sejumlah 
kerja yang berkali ganda untuk dibandingkan dengan tugasan kita ini!

Justeru, apakah formula terbaik yang boleh diguna pakai dalam memastikan hala 
tuju hidup kita di dunia ini berjalan dengan baik dan juga membina kehidupan 
yang selesa di akhirat? Mungkin ada baiknya jika kita menilik semula tabiat 
baik yang telah diamalkan oleh ibu-ibu kita dan diaplikasikan mengikut 
kesesuaian pada masa sekarang. 

Sekiranya, ibu-ibu kita berjaya dalam kepayahan maka kita perlu lebih berjaya 
dengan kemudahan yang kita ada. Buku ini akan menyingkap petua berkesan dan 
sekatan yang perlu dielakkan dalam menjadi 'Isteri High Class'.

Antara tip-tip yang berkesan:

1. Kurangkan leteran

Ya, inilah kegemaran golongan para isteri kini. Dengan tekanan yang sangat 
mendesak di pejabat, ditambah pula keadaan yang sangat mendera di rumah, kita 
telah menggunakan kaedah berleter bagi melepaskan tekanan. Sebenarnya, leteran 
bukanlah menghilangkan tekanan.

Seorang isteri yang berleter sebenarnya sedang memindahkan tekanannya kepada 
seisi keluarga. Sekiranya ini berlaku, hal ini bermakna seisi keluarga sedang 
berada dalam keadaan tertekan. Sekiranya tekanan dipendam, maka ada kemungkinan 
satu hari kita akan terdengar ledakan bomnya. 

Jadi, bukankah baik sekiranya tekanan itu dilepaskan dengan teknik yang lain. 
Apa kata jika anda menggunakan kaedah berlemah lembut, iaitu dengan berlucu, 
namun menyengat sanubari sasaran kita.

Di sini disertakan beberapa contoh situasi agar pada masa hadapan, anda boleh 
berfikir secara kreatif cara menggunakan kata-kata lucu untuk menegur. 

i. Suami meletakkan pakaian dan stokinnya di merata-rata tempat setelah 
menanggalkannya; 
"Apa kata kalau sayang tak nak basuh baju abang kalau abang tak letak baik-baik 
baju abang di tempatnya. Aci tak?"

ii. Hari minggu, suami tidur semula sesudah solat subuh sedang-kan rumah penuh 
dengan aktiviti yang wajib dilakukan; 
"Apa kata kalau abah bangun, mandikan anak dan suapkan anak-anak. Tadi umi dah 
masak. Nanti malam karang, umi mandikan abah selepas umi suap abah. Boleh?"

iii. Suami enggan membersihkan anak yang telah membuang air besar di dalam 
lampin pakai buang. Mungkin dia geli; 
"Takpe kalau papa tak mau basuh tapi cuba papa fikir, kalau mama pergi dulu, 
papa pula sakit. Tak boleh bangun sendiri. Sapa ya yang nak basuhkan berak 
papa?"

iv. Anak anda malas membaca buku tetapi gemar menonton televisyen; 
"Mana ya adik letakkan buku sekolah adik tadi? Cikgu adik pesan suruh mak bagi 
kat televisyen tu suruh dia buat kerja sekolah adik. Satu lagi, adik tak boleh 
keluar rumah petang ni untuk main di padang sebab adik dah langgar larangan mak 
jangan tengok TV selagi kerja sekolah adik tak selesai. 
Maklumlah, TV kan tak pandai buat kerja sekolah!"

Selain teknik di atas, anda juga perlu masa yang sesuai untuk bersendirian 
dengan orang yang anda ingin leteri. Masa ini, berbicaralah dari hati ke hati 
supaya dia memahami perkara yang anda katakan adalah untuk kebaikan dirinya 
juga. Insya-Allah mereka akan faham jika anda menyampaikan rasa hati anda 
dengan tepat.

Sekiranya mereka telah membantu anda, janganlah mengharapkan sesuatu yang 
maksimum daripada mereka. Hal ini juga menyebabkan mereka bosan untuk membantu 
lagi kerana buat salah, tinggalkan pun salah. Jadi, mereka memilih untuk 
meninggalkan sahaja tugasan itu. Bukankah ini lebih merugikan. Sekiranya kerja 
mereka tidak serapi mana sekalipun, ucapkanlah terima kasih dan hal ini akan 
membangkitkan rasa suka mereka untuk membantu anda pada masa lain.

Artikel di atas dipetik daripada Bab 7: Menghadapi Cabaran dalam buku Manual 
Kerja Super Isteri. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati di 
www.books.perintis.com.my.

Kirim email ke