Oleh mstar
KOTA BARU: "Saya cakap yang betul." Begitulah tingkah Mursyidul Am PAS Datuk
Nik Aziz Nik Mat apabila ditanya sama ada beliau akan menarik balik panggilan
"Orang Utan" yang dilemparkannya kepada Umno baru-baru ini.
Mengukuhkan pendiriannya itu, Nik Aziz berkata: "Islam itu dari langit untuk
manusia bukan untuk haiwan. Maka orang yang tolak Islam itu serupa dengan
makhluk haiwan."
Menurutnya, sekurang-kurangnya beliau tidak menggunakan perkataan haiwan,
ungkapan yang lebih kesat, terhadap orang Umno, hanya Orang Utan.
"Orang putih guna perkataan 'animal'. saya guna 'Orang Utan' tidak 'animal'.
Saya minta saudara saya dalam Umno fikir. Jangan cepat melenting kerana sekali
sekala kita nasihat, sekali sekala kita rotan," katanya dalam temubual khas di
sini.
Katanya, sama seperti apabila berhadapan dengan anak sendiri yang kadang-kala
di nasihat, dan kadang-kala dirotan pula, begitulah juga PAS apabila berhadapan
dengan parti lawannya.
Apabila dianjurkan bahawa bahasa yang digunakan itu mungkin kasar, lantas
penyandang Menteri Besar Kelantan itu menjawab:
"Tidak bahasa kasar. Sekali sekala kasar perlu digunakan. Allah Taala dalam
Quran sebut, orang tolak Islam macam binatang. Itu Allah Taala guna."
Nik Aziz yang digelar ramai pihak sebagai Tok Guru berkata, beliau tidak
terus melemparkan perkataaan binatang kepada orang Umno, tetapi menggunakan
perkataan yang mengandungi ungkapan 'orang', makanya beliau mengatakan orang
Umno seperti 'Orang Utan'.
Ditanya sama ada beliau akan meminta maaf dan memberi penjelasan terhadap
kenyataan itu seperti yang dituntut banyak pihak beliau berkata tidak ada sebab
beliau perlu berbuat demikian kerana beliau bukannya tersilap.
"Nak minta maaf macam mana kerana sengaja saya kata begitu," ujarnya.
---------------------------------
Looking for last minute shopping deals? Find them fast with Yahoo! Search.