Pengampu
Dan Penasihat Yang Membawa Reba Dan
Rebahhttp://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0323&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Saya pernah menyebut dalam satu tulisan yang lepas tentang nasihat
Syaibanal-Ra‘i kepada Harun al-Rasyid: “Wahai Amir al-Mukminin, andainya engkau
bersahabat dengan orang yang menjadikan engkau rasa takut sehingga engkau
merasa aman lebih baik dari engkau bersahabat dengan orang yang menjadi engkau
rasa aman sehingga menyebabkan engkau mendapat ketakutan”. Tanya
Harunal-Rasyid: “Jelaskan maksudnya untukku”.
Jawab Syaiban: “Sesiapa yang berkata kepada
engkau: “engkau bertanggungjawab terhadap rakyatmu, takutlah Allah” lebih baik
dari orang yang berkata “Kamu daripada kaum keluarga Nabi diampunkan dosa kamu,
kamulah kerabat Nabi!”. Maka menangislah Harun al-Rasyid sehingga merekayang
berada di sekelilingnya bersimpati kepadanya.
Kata Syaiban lagi: “Wahai Amirul Mukminin, apabila saya bercakap, saya
bimbangkan tindakan kamu terhadap saya. Jika saya diam, saya bimbangkan bahaya
menimpa kamu. Maka saya utamakan kebimbangan bahaya menimba kamu lebih daripada
kebimbangan tindakan kamu ke atas saya”. (Ibn Muflih, Al-Adabal-Syar‘iyyah,
1/198, Beirut :Muassasah al-Risalah).
Para penasihat yang jujur yang memberitahu hakikat
yang sebenar, -sekalipun boleh menimbulkan keresahan- adalah lebih baik untuk
seseorang pemimpin daripada pengampu yang membohonginya sehingga dia buta
dengan keadaan negara dan rakyatnya. Penasihat yang jujur akan memberitahu
hakikat yang sebenar tentang suasana negara, rakyat dan tanggungjawab itu semua
di hadapan Allah sekalipun mungkin akan menimbulkan ketakutan kepada seorang
pemimpin.
Dengan ketakutan itu, pemimpin membaiki diri dan keadaan, maka ketakutan
akan bertukar menjadi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Adapun pengampu, demi
kepentingan diri, kedudukan dan harta yang diharapkan dari pemimpin, maka
mereka akan mendendang lagu-lagu asyik agar pemimpin nyenyak tidur dibuai mimpi
indah sehingga akhirnya ketakutan pun menjelang tiba. Hanya cerita-cerita indah
sahaja yang sampaikan ke telinga pemimpin, lalu pemimpin pun gembira dan buta
hakikat sebenar rakyatnya.
Saya teringatkan kisah dongeng raja telanjang yang menjadi bahan bacaan
kanak-kanak. Kononnya, ada seorang raja yang gilakan pakaian yang
cantik-cantik. Lalu muncul beberapa orang penipu yang kononnya boleh
menghasilkan pakaian yang paling cantik untuknya. Raja pun bersetuju. Mereka
meminta beberapa hari untuk menenunnya di sebuah bilik di istana. Saban malam
raja tersebut melawat hasil kerja yang sedang ditenun mereka.
Namun, beliau tidak melihat sebarang benang atau kain yang terhasil,sebaliknya
hanya tenunan kosong semata. Apabila raja bertanya, mereka menjawap:“jika
tuanku tidak nampak, menunjukkan tuanku mempunyai penyakit yang
merbahaya dan boleh membawa maut”. Dalam ketakutan raja menjawap: “Ya,
saya nampak, alangkah cantiknya”.
Demikianlah juga menteri-menteri dan para pengiring raja juga mengaku
perkara yang sama, kerana ingin mengampu raja. Sehingga pada hari yang
dijanjikan, raja pun memakai pakaian yang tidak wujud itu dan disarungkan
secara tipu oleh penenun-penenun karut tersebut. Semua pengampu raja memuji
keindahan pakaian yang tidak wujud itu, padahal raja sedang bertelanjang.
Apabila raja keluar menemui rakyat, maka semua mata terbeliak dan
mulutternganga. Raja menyangka mereka kagum dengan pakaiannya yang indah.
Tiba-tibabeberapa budak kecil menjerit: “Hei! Lihat! Raja kita sedang
bertelanjang”.
Maka semua rakyat ketawa. Barulah raja tahu bahawa dia telah ditipu
oleh‘taukeh-taukeh’ tenun dan para pengampu yang berada di kelilingnya. Namun
masatelah terlambat, dia telah dimalukan di hadapan rakyat.
Walaupun cerita ini dongeng, namun janganlah ia menjadi realiti dalam dunia
politik kita hari ini. Seorang pemimpin amatlah malang
jika dia ditipu oleh para pengampu sehingga akhirnya dia ditertawakan oleh
rakyatnya dek kesilapan yang dilakukannya. Atau dia dibenci oleh rakyatnya,
kerana dia ditipu oleh para pengampu konon rakyat sentiasa puas hati dan
sukakannya.
Sebab itulah, dosa para pengampu amatlah besar. Dengan nasihat yang
buruk,jatuhnya kerajaan-kerajaan lampau dan akan datang. Tuan penasihat ‘dua
puluh lima
persen’ seperti dalam filem “Tiga Abdul” boleh menyebabkan orangyang dinasihati
itu dijual secara lelong. Wahai pemimpin! Berhati-hati denganpara penasihat
kalian!”.
Saya tertarik dengan perkataan Hajjaj bin Yusuf al-Thaqafi apabila
Khalifah‘Abd al-Malik bin Marwan meminta dia mensifatkan fitnah. Perkataan
‘fitnah’
seperti yang telah saya sebutkan bermaksud ketidak tenteraram, kekacauanatau
hilang keamanan dan kedamaian. Kata al-Hajjaj: “Fitnah itu merebah
dengan bisikan, ianya lahir dari aduan” (Ibn Muflih, Al-Adabal-Syar‘iyyah,
1/201).
Maka bisikan dan aduan rakyat bawahan janganlah dipandang ringan. Jangan
pemimpin hanya akan mendengar aduan golongan koperat dan berpangkat semata.
Tangisan rakyat dan tidak puas hati mereka selalu tidak sampai ke telinga
seorang pemimpin jika dia hanya dikelilingi oleh manusia-manusia pengampu dan
mencari kemewahan semata.
Jika seseorang ingin menjadikan jawatan kepimpinan sebagai tempat ‘makan
angin’ dan santai maka dia seorang yang sangat fasik dan jahat. Pemecahamanah
lagi khianat. Sabda Nabi s.a.w: “Tiada seorang pemimpin yang
memimpin sepuluh orang (dan ke atas) melainkan dibawa datang pada hari kiamat
dalam keadaan diikat. Tidak akan melepaskannya melainkan keadilan, atau dia
akan dibinasakan oleh kezaliman” (Riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan
al-Baihaqi,dinilai sahih oleh al-Albani).
Kepimpinan adalah tanggungjawab dan khidmat. Kecuaian menunaikannya adalah
kezaliman. Aduan rakyat dan bisikan mereka jika tidak ditangani boleh menjadi
api membakar perasaan kebencian yang meluap-luap. Jika itu diterjemahkan dalam
tindakan, maka kestabilan negara akan merasai padahnya.
Media juga janganlah memperbodohkan rakyat dan menipu para pemimpin. Jangan
hanya disiarkan berita mengampu semata, sebaliknya siarkan kisah duka dan
derita rakyat. Kerana, jika tiada saluran untuk mereka meluahkan rasa, maka
ianya akan menjelma dalam bisikan senyap dan aduan pada bukan tempatnya. Maka
api fitnah akan merebah, lalu membakar keamanan masyarakat dan negara.
Jika sesuatu isu tidak adil untuk rakyat, janganlah media membuat
pembohongan dengan menyiarkan temubual insan-insan yang terpinggir dari realiti
sebenar. Lalu pemimpin atasan tertipu, rakyat rasa diperbodohkan. Lantas mereka
menyimpan perasaan dendam. Lalu hilang kasih-sayang antara rakyat dan pemimpin
akibat perbuatan para pengampu.
Wahai pemimpin, bukalah ruang seluas-luasnya untuk setiap orang
mendapatkanhaknya. Mudahkanlah jalan untuk sampai kepada kebenaran tanpa
gangguan dantekanan. Jangan pula hanya yang berharta boleh menuntut hak mereka,
sementarayang miskin dan susah terpaksa merintih untuk mendapatkannya. Kata
Khalifah‘Ali bin Abi Talib r.a.: “Sesungguhnya binasanya manusia terdahulu
kerana
mereka menghalang kebenaran sehingga ianya dibeli. Mereka membentangkan
kezaliman sehingga ianya ditebus”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah,1/201)
Pemerintahan yang adil adalah pemerintahan yang kerahmatannya dirasai
olehsetiap lapisan rakyat. Seperti kata Muhammad bin Ka’ab al-Qurtubi
apabiladiminta menyifatkan keadilan pemerintah, katanya: “Jadilah engkau bapa
kepada yang muda, anak kepada yang tua, saudara kepada yang sebaya. Hukumlah
manusia dengan kadar kesalahan dan kemampuan mereka. Jangan engkau pukul
disebabkan kemarahanmu walaupun satu pukulan, nanti engkau termasuk dalam
golongan yang melampau”. (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah, 1/202).
Jangan pula pemimpin hanya jadi godfather kepada taukeh-taukeh besar yang
menjadi pengampu dan tidak mengambil pusing tangisan insan-insan bawahan.
Apabila anda memimpin sebuah negara, maka seluruh rakyatnya adalah di bawah
tanggung jawab anda. Jika tidak jangan mengidam jawatan kepimpinan. Wujudkan
saluran yang ikhlas agar suara orang bawahan sampai ke pendengaran anda.
Hapuskan
para pembodek yang membohongi anda sehingga garam dikatakan gula, pasir
dikatakan beras, tangisan rakyat diberitakan sebagai senyuman.
Saya sentuh tajuk ini kerana saya melihat yang cuba
mencari sebab kenapa rakyat menolak mereka. Sesungguhnya sebab itu tidak dapat
diperolehi, jika pemberi maklumat atau penganalis itu masih lagi membodek dan
pengampu. Carilah insan-insan jujur yang takutkan Allah dan selalu bercakap
benar. Di situ akan terubatlah banyak luka dan cedera yang dialami.
Pemimpin apabila membiarkan rakyat yang baik dalam kesusahan,
sementaragolongan yang tamak lagi mengampu ‘penuh kantong’ dan kekenyangan
lagimewah, maka negara akan rosak. Penentangan terhadap pemimpin akan berlaku
darirakyat bawahan yang tertindas dan golongan tamak yang mula ‘besar kepala’.
Dengarlah apa nasihat Khalifah Mu’awiyah r.a. kepada ‘Amr bin al-As yangsedang
berangkat menuju ke Mesir untuk menjadi pemimpin di sana .Kata Mu’awiyah:
“Lihatlah kepada keperluan rakyat dan berusahalah untuk
menunaikannya. Lihatlah kepada kemelampauan puak yang hina dan berusahalah
menghapuskannya. Takutlah kepada orang baik yang lapar dan orang jahat yang
kenyang. Sesungguh yang akan memberontak ialah orang baik apabila dia lapar dan
orang jahat apabila dia kenyang” (Ibn Muflih, Al-Adab al-Syar‘iyyah,1/202).
Lebih buruk lagi para pengampu ini apabila melihat seseorang pemimpin akan
jatuh atau rebah, mereka akan lari mencari dahan baru untuk berpaut. Maka,
pemimpin yang diampu akan menjadi raja telanjang berseorangan, sementara yang
mengampu akan menyembunyikan diri di belakang atau melarikan diri dan meletak
jawatan.
Maka berhati-hati wahai pemimpin dengan para pengampu anda. Seakan
perangaisyaitan seperti yang disebut dalam al-Quran: (maksudnya) (Sikap kaum
munafik) itu samalah seperti syaitan ketika dia berkata kepada manusia:
“kufurlah kamu!” setelah orang itu kufur, berkatalah syaitan kepadanya:
“Sesungguhnya aku berlepas diri daripadamu, kerana sebenarnya aku takut kepada
Allah, Tuhan Yang Menguasai seluruh alam!“(Surah al-Hasyr: 16).
Dalam ayat lain Allah berfirman: (maksudnya) Dan (ingatlah) ketika
syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk
dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: “Pada
hari ini tidak ada sesiapa pun dari umat manusia Yang dapat mengalahkan kamu,
dan sesungguhnya aku adalah pelindung kamu”. Maka apabila kedua-dua puak
(angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan
(berhadapan), syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: “Aku berlepas
diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya;
sesungguhnya aku takut kepada Allah, dan Allah sangat berat azab
seksaNya”(Surah al-Anfal: 48).
Ya Allah! Daku telah menyampaikan!!.
____________________________________________________________________________________
Never miss a thing. Make Yahoo your home page.
http://www.yahoo.com/r/hs