FIQAH DAULAH DALAM PERSPEKTIF AL-QURAN DAN SUNNAH
Oleh Dr Yusuf al-Qardhawy
3. TABIAT DAULAH DALAM ISLAM
Daulah Islam Bukan Daulah Teokrat
Sudah kami paparkan di Bab Karakteristik Daulah Yang dijelaskan Islam, bahawa
daulah Islam adalah daulah madaniyah yang rujukannya Islam, bukan daulah
teokrasi dengan pengertian yang dikenali dunia Barat dalam sejarahnya, yang
terkenal kerana pertentangannya dengan daulah kanisiyah (kekuasaan di tangan
para pemimpin gereja), yang berakhir dengan pecahnya revolusi terhadap dominasi
gereja, yang berseru dengan satu suara yang bulat, "Gantunglah raja yang
terakhir dengan usus pendeta yang terakhir."
Tetapi orang-orang sekular di dunia Arab dan Islam membuat kedustaan terhadap
daulah dalam Islam, bahawa itu adalah daulah teokrasi yang menetapkan hukum
atas nama hak Ilahi.
Dr. Faraj Faudah[1] pernah menulis buku dengan tajuk Qablas-Sukut, yang
menegaskan tentang sekularisme dan sekaligus menyerang dakwah yang hendak
menerapkan syariat Islam. Tulisannya itu sudah cukup dibantah oleh saudara kami
yang sasterawan, Ustaz Abdul Majid Shubh. Namun ada baiknya jika kami kutip
sebahagian dari kenyataan Dr. Faraj Faudah yang menegaskan tentang sekularisme:
"Orang-orang yang menyeru untuk menerapkan syariat Islam secara langsung
tanpa menunda-nundanya, pada saat yang sama dirasuki keraguan kerana adanya
pernyataan yang datang secara terus-menerus, yang pada hakikatnya bersifat
penalaran (berterus terang tanpa sembunyi-sembunyi), yang diajukan oleh setiap
orang yang berbeza pendapat dengan mereka, iaitu pertanyaan yang diajukan dalam
bentuk penalaran, "Apakah yang membuatmu takut menerapkan hukuman? Kerana dalam
pernyataannya, hukuman itu tidak diterapkan kecuali terhadap pencuri, penzina,
peminum khamar, murtad atau orang yang berbuat kerosakan dibumi. Ini sebuah
pertanyaan yang nyatanya tidak mampu dijawab. Tetapi bagaimana pun juga hal ini
menyembunyikan satu hakikat, dan saya berharap kepada Allah agar memberikan
ilham kepadaku, sehingga saya sanggup menjelaskannya. Penerapan syariat Islam
bukanlah masalah parsial yang berkaitan dengan penegakan sebahagian hukuman,
tetapi ianya sekadar satu seruan untuk lari secara total
dari upaya menjelaskan syariat atau lari dari kesalahan dalam menjelaskan
hakikatnya lebih jauh.
Penerapan syariat Islam mesti kembali kepada daulah teokrasi. Sementara itu,
daulah teokrasi mesti kembali kepada hukum berdasarkan hak Ilahi yang sama
sekali tidak dikenali Islam, atau katakanlah hanya dikenali Islam pada zaman
Rasulullah. Hukum berdasarkan hak Ilahi tidak mungkin boleh ditegakkan kecuali
oleh para pemimpin agama, entah dengan gambaran secara langsung atau tidak
langsung.
[ Tuan-tuan jangan salah sangka pula. Perenggan di atas adalah kenyataan dari
tokoh sekularis Mesir Dr Faraj Faudah yang dikutip oleh Dr Yusuf Al-Qardhawy. ]
Dr Wahid Ra`fat (journalis Mesir) juga berkata, "Orang-orang yang menyeru
untuk menerapkan syariat berkeinginan menjadi para pendeta. Kerana hanya
merekalah yang berhak mentafsirkan syariat. Mereka juga ingin mendirikan
teokrasi agama yang hanya dipegang para pemimpin agama dan hukum berdasarkan
hak Ilahi. Mereka menyamakan hal ini dengan gambaran yang terjadi di Iran."[2]
Dr Fu`ad Zakara berulangkali menyebutkan istilah "hukum Ilahy" dalam
tulisannya yang diterbitkan di Al-Ahram, tahun 1985, yang juga dia tulis dalam
bukunya Al-Haqiqah Wal-Wahm, tepatnya dalam Mukadimah dan Penutup. Menurutnya,
istilah itu digunakan oleh orang-orang yang mengajak kepada penerapan syariat
Islam untuk membuat pembacanya kebingungan memahami istilah ini, bahawa mereka
itu sebenarnya mengajak kepada penegakan daulah teokrasi.
Trend yang sama juga sudah dinyatakan sebelum itu dalam tulisan-tulisan Dr
Louis Audh di majalah Al-Mushawwir, berkaitan dengan kisah sekularisme di
Mesir, tepatnya pada tahun 1983. Di dalam tulisannya itu dia menuduh hukum
Islam sebagai agama yang berdiri di atas falsafah humanisme, yang juga pada
intinya tidak mengenali hukum gereja, sekalipun mungkin mengenali peranan
teokratisme dan humanisme. Dalam wawancaranya dengan Al-Mushawwir, dia
menyatakan bahawa peperangan antara demokrasi Mesir merupakan peperangan yang
terus berkelanjutan antara hak yang alami dengan orang-orang yang mengaku
membawa hak Ilahi. Pihak yang kedua ini hendak mencegah rakyat untuk menerapkan
hak yang alami sebagai sumber kekuasaan.
Ustaz Syibly Al-Isamy juga menulis sebuah buku dengan tajuk Al-Ilmaniyah
Wad-Daulatud-Diniyah. Di buku ini dia menyatakan adanya kesamaan antara dua
pengertian, iaitu sekularisme dan daulah teokrasi. Menurutnya, tidak ada
pengertian lain yang ketiga. Daulah teokrasi adalah daulah di tangan para
pemimpin gereja yang menganggap segala perilaku mereka terjaga dari kesalahan
dan suci. Apa yang mereka halalkan dibumi, tentu halal juga di langit. Apa yang
mereka batasi di dunia, tentu dibatasi juga di langit. Tak seorang pun manusia
boleh berkata kepada para pemimpin gereja itu, "Engkau telah berbuat buruk,
engkau telah berbuat salah." Sebab dengan perkataannya itu bererti dia telah
menentang Allah yang telah mewakilkan kepadanya.
[ Bila kita faham tentang teokrasi, maka tahulah kita kenapa Karpal Singh dan
kebanyakan non-Muslim tak mau kepada negara/daulah Islam. Depa bimbang PAS nak
buat Negara Islam ikut acuan teokrasi ni la. Depa takut pakat semua orang jadi
ulama sepertimana kenyataan Dr Chua Sok Lek ketika dia kantoi dengan girlfriend
dia hari tu. Padahal teokrasi bukannya asas kepada daulah Islam. Di sinilah
kita sebagai orang Islam kena bersabar menerangkan kepada non-Muslim supaya
mereka jelas tentang prinsip daulah Islam. ]
Daulah Islam Adalah Daulah (Pemerintahan) Awam
Kami ingin katakan kepada orang-orang yang menuduh para da`i Islam, bahawa
mereka hendak mendirikan daulah teokrasi, "Kalian telah menuduh yang
bukan-bukan terhadap mereka. Kalian mengarang-ngarang perkataan yang tidak
mereka katakan. Mereka sentiasa menyeru kepada penegakan daulah Islam, dan
sekalipun tidak pernah menyeru kepada daulah teokrasi."
Terdapat perbezaan yang ketara antara daulah Islam, atau daulah yang berdiri
di atas asas Islam, dengan daulah teokrasi yang dikenali dunia Barat yang
beragama Nasrani pada abad-abad pertengahan. Satu alasan saja, di sana ada
pencampur-adukkan antara apa yang bersifat Islam itu dengan apa yang bersifat
agama. Ramai orang yang beranggapan bahawa apa yang bersifat Islam juga
merupakan agama. Padahal dalam kenyataannya, Islam jauh lebih selesa dan lebih
besar dari kata agama. Sehingga para ulama usul fiqah dari kalangan Muslimin
menjadikan kata din (agama) itu hanya sebagai salah satu dari lima atau enam
urgensi yang datang untuk menjaga syariat. Enam urgensi itu ialah agama, diri,
akal, keturunan, harta dan sebahagian yang lain menambahkan kehormatan.
Kami berikan contoh yang boleh menambah kejelasan masalah ini. Contohnya kita
menyeru kepada pendidikan Islam yang integral dan lengkap. Pendidikan ini
meliputi pelbagai jenis atau cabang pendidikan, lebih dari sepuluh jenis. Salah
satu diantaranya adalah pendidikan agama, di samping pendidikan intelektual,
fizikal, akhlak, militer, sosial, ekonomi, politik, ilmiah, sastera, kemahiran,
seni, seks dan lain-lainnya. Jadi, pendidikan agama hanyalah merupakan satu
cabang dari pelbagai cabang pendidikan Islam.
Maka salah besarlah jika daulah Islam yang kita serukan ini adalah daulah
teokrasi. Daulah Islam adalah daulah awam yang ditegakkan atas dasar pemilihan,
baiat dan syura. Tanggungjawab pemimpin ada di hadapan umat, dan hak setiap
umat adalah mengingatkan pemimpin ini, menyerunya kepada yang ma`ruf dan
mencegahnya dari yang mungkar. Bahkan Islam menganggap hal ini sebagai wajib
kifayah atas kaum Muslimin dan menjadi wajib ain selagi seseorang mampu
melakukannya, sementara yang lain tidak mampu melakukan atau tidak
mengetahuinya.
Pemimpin dalam Islam serba terikat dan tidak bebas. Di sana ada syariat yang
memberi ketentuan hukum kepadanya, ada nilai-nilai yang mengarahkannya, ada
hukum-hukum yang membatasinya, iaitu hukum-hukum yang tidak boleh dia buat
sendiri atau dibuat parti dan golongannya, tapi dibuat selain dirinya, iaitu
Rabbun-nas, Malikin-nas, ilahin-nas, untuk dirinya dan untuk orang-orang selain
dirinya. Dia dan sesiapa pun selain dirinya tidak boleh mengetepikan
hukum-hukum ini dan membekukannya. Raja, pemimpin negara, parlimen, pemerintah,
majlis revolusi, jawatan kuasa pusat, dewan rakyat, atau kekuatan macam apa
pun yang berkuasa di bumi, tidak boleh merubahkan hukum-hukum Allah yang sudah
pasti, walau sedikitpun.
Termasuk hak setiap orang Muslimin dan Muslimah untuk menolak perintah
pemimpin yang jelas bertentangan dengan syariat Allah. Bahkan bukan sekadar
hak, tetapi wajib menolaknya. Sebab jika hak pemimpin bertentangan dengan hak
Allah, maka hak Allahlah yang mesti diprioritikan. Tidak ada ketaatan terhadap
makhluk dalam kederhakaan terhadap Khaliq. Tatkala menyebutkan baiat para
wanita di hadapan Rasulullah s.a.w, Al-Qur`an membatasinya dengan firman-Nya
(yang bermaksud):
"Dan tidak akan menderhakaimu dalam urusan yang baik." (Al-Mumtahanah: 12)
Beginilah yang berlaku untuk baginda yang maksum dan dikuatkan wahyu. Maka
ketaatan untuk selain baginda jauh lebih terikat. Dalam hadis sahih disebutkan:
"Ketaatan itu hanya dalam hal yang ma`ruf." (Muttafaq Alaihi)
Dalam hadis lain disebutkan:
"Ketaatan itu merupakan hak atas setiap orang Muslim dalam hal-hal yang dia
sukai atau dibenci, selagi dia tidak diperintah kepada kederhakaan. Jika dia
diperintah kepada kederhakaan, maka tidak ada lagi ketaatan." (Muttafaq Alaihi)
Khalifah Islam yang pertama berkata dalam pidatonya yang pertama, "Taatlah
kepadaku selagi aku taat kepada Allah di tengah kalian, dan jika aku
menderhakai-Nya, maka tiada lagi ketaatan atas kalian kepadaku. Jika aku
melakukan kebaikan, maka bantulah aku dan jika aku berbuat buruk, luruskanlah
aku."
Pemimpin atau khalifah dalam Islam bukan wakil Allah, tetapi ia adalah wakil
umat. Umatlah yang berhak memilih, mengawasi, memperhitungkan dan memecatnya
jika memang seharusnya dia dipecat. Umar bin Al-Khattab berkata, "Barangsiapa
di antara kalian melihat penyimpangan pada diriku, hendaklah dia meluruskan
aku."
Salman Al-Farisi tidak mahu tunduk kepada Amirul-Mukminin Umar, sehingga dia
mahu dijelaskan tentang sehelai kain yang ada pada pakaian Umar. Salman
pertikaikan sebab dilihatnya kain tersebut tidak cukup dibuat pakaian untuk
Umar yang berfizikal tinggi. Maka Umar memenuhi tuntutan Salman. Lalu bangkit
Abdullah bin Umar (anak Umar) menjelaskan bahawa kain yang berada di pakaian
bapanya itu diambil dari bahagiannya.
Ada seorang wanita membantah Umar tatkala sedang berpidato. Maka Umar
mengikuti perkataan wanita ini kerana memang dia yang benar, sehingga Umar
mengabaikan pendapatnya sendiri.
Salahuddin Al-Ayyubi berkata. "Aku hanyalah seorang hamba syariat dan
polisnya. Dengan kata lain, tugasku hanyalah menjaga dan melaksanakan."
-----------------------------------------
Nota:
[1] Dr. Faraj Faudah (Faraq Fuda 1945-1993) adalah wakil dari kelompok
sekular bersama Dr Muhammad Khalaf Allah dalam menghadapi wakil kelompok Islam
iaitu Syekh Muhammad Al-Ghazali, Muhammad Al-Mamun Al-Hudaibi, dan Dr Muhammad
Imarah dalam acara debat Islam dan Sekular yang kedua, 1992. Debat pertama
dilaksanakan 1987M/ 1407H, pihak Islam diwakili Syekh Muhammad Al-Ghazali dan
Dr Yusuf Al-Qaradhawi berhadapan dengan pihak sekular yang diwakili Dr Fuad
Zakaria. Kemudian dalam kejadian terbunuhnya Dr Faraj Faudah April 1993, Syekh
Muhammad Al-Ghazali didatangkan di pengadilan sebagai saksi ahli (hukum Islam),
Julai 1993 di Mesir. Kesaksian Syekh Muhammad Al-Ghazali cukup membuat
terkejutnya pihak sekular, kerana menurut Syekh Muhammad Al-Ghozali, sekular
itu hukumnya adalah keluar dari Islam. (Lihat Hartono Ahmad Jaiz, Bila Hak
Muslimin Dirampas, Pustaka Al-Kautsar, Jakarta, 1994M/ 1415H, halaman 89).
[2] Majalah Fikr, edisi ke-8 Disember 1985, m.s. 73-74, dengan tajuk
Nadwatut-tatharruf As-Siyasy Ad-Diny, dengan kutipan secara singkat. Juga
diikutip dari makalah yang ditulis Ustaz Fahmy Huwaidy di Al-Ahram, 14/10/1986,
dengan tajuk Akdzubatul-Hukmil-Ilahy.