Solat penawar Siti Aisyah Oleh ZUARIDA MOHYIN
DIMARAH, dipulau dan disisih ibu bapa, adik-beradik, anak-anak serta saudara
mara adalah antara sebahagian cabaran yang dihadapi Siti Aisyah Abdullah, 48,
sejurus rahsia pengislaman beliau terbongkar kira-kira lima tahun lalu. Menurut
ibu tunggal dan guru di Tadika Twinkle Play House, Taman Sri Muda, Shah Alam
ini, beliau berjaya merahsiakan pengislaman diri hanya selama dua tahun selepas
memeluk Islam pada 2001 di Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Shah Alam,
Selangor.
"Semuanya terbongkar apabila salah seorang adik saya menyiasat kecurigaan
mereka yang mendapati saya kerap ke Klang. Rupa-rupanya pemergian saya ke
Masjid India, Klang untuk belajar agama Islam diketahui mereka akhirnya,"
katanya.
Walaupun sedih dan kecewa, Siti Aisyah tidak menyalahkan mereka kerana mereka
tidak memahami agama Islam dalam erti kata yang sebenar.
Sebabnya, pemahaman mereka banyak dipengaruhi oleh persepsi media Barat yang
sentiasa memaparkan keburukan Islam. Ditambah pula, ada segelintir umat Islam
itu sendiri yang memberi contoh yang tidak betul.
"Akibatnya agama Islam itu dilabel dengan pelbagai persepsi yang negatif.
Sebenarnya, Islam itu adalah agama yang terbaik dan menepati fitrah hidup
manusia," ujarnya seraya memohon maaf jika apa yang disebutkan itu menyinggung
individu atau kumpulan tertentu.
Bagaimanapun, Siti Aisyah bersyukur kerana ahli keluarga, terutamanya ibu
sudah menerima pengislaman beliau. Itupun selepas diterangkan akan kebenaran
Islam serta menunjukkan akhlak Muslim sebenar.
Menyedari kepentingan pemantapan ilmu agama, menyebabkan ibu kepada dua anak
lelaki yang berusia 17 dan 22 tahun, tidak pernah melepaskan peluang mengikuti
pelbagai kursus pemantapan akidah dan seminar bagi bergelar pendakwah atau daie
anjuran mana-mana pejabat agama Islam dan persatuan bukan kerajaan (NGO) Islam.
Berkongsi kisah penghijrahan akidahnya, cerita Siti Aisyah, perkenalan dengan
teman-teman yang beragama Islam di kilang tempatnya bekerja merupakan langkah
awal mengenali agama Islam.
"Ia berlaku lebih 10 tahun. Masa itu saya sudah bercerai dan bekerja demi
menampung perbelanjaan ibu dan anak-anak. Sepanjang lima tahun bekerja di sana,
banyak yang saya ketahui tentang Islam seperti solat, puasa dan akhlak seorang
Muslim.
"Selepas saya berkenalan dengan seorang lelaki dan kemudian diperkenalkan
dengan sebuah keluarga angkat, ia menambahkan lagi kefahaman dan keyakinan saya
kepada Islam. Pada masa itu, keluarga masih tidak mengetahui minat baru saya
itu.
"Yang menambahkan keyakinan dan keimanan saya kepada Allah Yang Esa ialah
apabila melihat aspek solat orang Islam. Umat Islam hanya menyembah pada Allah
SWT," akui Siti Aisyah yang memiliki 10 tahun pengalaman sebagai guru tadika
serta mengendalikan kelas tuisyen.
Ditanya apakah yang mencetuskan minat beliau dalam kerja-kerja pendakwahan,
jelas Siti Aisyah, apabila mendapati banyak persoalan yang dikemukakan oleh
ahli keluarga terdekat serta teman-teman berkaitan Islam contohnya pemakaian
tudung, bermain nombor ekor dan banyak lagi, secara tidak langsung beliau
terpanggil untuk menjelaskan kepada mereka secara berhikmah.
"Saya pernah ditanya oleh ibu kenapa perlu memakai tudung dan menutup aurat,
sedangkan katanya ada juga wanita Islam tidak melaksanakannya. Mudah sahaja
saya memahamkan ibu, apa yang saya lakukan ini adalah kehendak Allah dan
mengikut landasan Islam yang sebenar," jelasnya.
Begitu juga dengan pelbagai perkara yang dilakukan umat Islam yang tidak
mencerminkan akhlak dan kehidupan Muslim.
"Saya terangkan kepada mereka, perumpamaan paling mudah ialah lampu isyarat di
jalan raya, ada yang patuh dan ada yang melanggarnya. Begitu jugalah dalam
kehidupan manusia itu.
"Alhamdulillah, dari semasa ke semasa sungguhpun mereka belum memperoleh
hidayah tetapi pemahaman daripada mereka sudah cukup memadai.
"Kini, acap kali tiba musim perayaan, ibu mahu persiapan juadah dilakukan oleh
saya kerana tidak timbul lagi soal halal atau haram," kata Siti Aisyah.
Pengislamannya diketahui saudara mara lain apabila ayah meninggal dunia pada
tahun 2003. Pada saat itu, beliau tidak melakukan ritual penganut Hindu apabila
berlaku kematian.
Tambah Siti Aisyah, minatnya berdakwah timbul dengan harapan lebih ramai
masyarakat yang mendapat ganjaran syurga sebagaimana dijanjikan Islam menerusi
al-Quran dan hadis. Apatah lagi, menyedari kita sebagai khalifah Allah di atas
muka bumi ini.
Lantaran itu, anak kedua daripada enam adik-beradik ini tidak pernah
ketinggalan mengikuti program ceramah sama ada di televisyen, radio mahupun
laman web terpilih.
Selain itu, penyertaan beliau dalam aktiviti berpersatuan juga tidak
dilepaskan seperti Al-Hunafa, Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma) dan
Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).
Tegasnya, pencarian ilmu itu adalah kunci kepada setiap persoalan tidak kira
dia itu seorang mualaf ataupun dilahirkan sebagai Muslim.
Prinsip Siti Aisyah setiap kali berhadapan dengan pelbagai rintangan ialah
perlu banyak bersabar serta tidak meninggalkan solat.
Ini kerana takut Siti Aisyah hanya kepada Allah dan sejurus bergelar Muslim,
beliau bertekad menerima segala cabaran yang mendatang.
Baginya kehidupan mualaf itu tidak boleh lari daripada menghadapi tentangan
dan rintangan. Dua perkara ini bagai isi dengan kuku, hanya dengan pemahaman
jelas tentang Islam mampu menjadi penawar.
Kata beliau, aspek ketenangan yang diperoleh menerusi solat, zikir dan membaca
al-Quran itu adalah nikmat yang tiada tolok bandingannya.
"Kalau sebelum Islam, kehidupan kita tidak berhala tuju tetapi apabila Islam
menjadi pegangan hidup, matlamat kehidupan itu kelihatan lebih jelas.
"Yang cantiknya, ia bukan sahaja bermatlamat di dunia tetapi akhirat itulah
yang kekal selamanya.
"Sebab itulah, saya sentiasa berdoa agar mereka yang rapat dengan saya,
khasnya diberikan hidayah Allah," katanya mengakhiri perbualan tengah hari itu.
---------------------------------
Yahoo! Toolbar is now powered with Search Assist. Download it now! /a