Islam kian mekar di Rusia Oleh Olga Madimovna Vasilevskaya
SEbahagian umat Islam Rusia yang mengikuti kelas fardu ain termasuk
al-Quran.
---------------------------------
Kedatangan Presiden Vladimir Putin ke Malaysia pada Ogos 2003 dan
kehadirannya pada persidangan ke-10 Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) membawa
sinar baru kepada hubungan Islam Rusia-Malaysia.Malah, kini disifatkan sebagai
zaman membangun Rusia terhadap agama Islam selepas 'tidur' agak lama di zaman
Kesatuan Soviet.
Wakil Jabatan Dialog dengan Pertubuhan-pertubuhan Tempatan Islam Rusia, Marat
Hazrat berkata, secara perlahan-lahan kini masyarakat mula sedar bahawa mereka
sudah jauh meninggalkan agama.
Katanya, Kerajaan Rusia juga semakin menyokong perkembangan agama di mana jika
dulu, Mufti Besar Sheikh Rawil Gainutdin hanya dipanggil dua kali setahun ke
Kremlin untuk berbincang dengan presiden, kini beliau semakin kerap dipanggil.
"Kerajaan Rusia memberi sokongan kepada perkembangan Islam di sini. Contohnya
masjid yang sedang dalam pembinaan adalah di bawah naungan kerajaan Rusia,"
katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Kata Marat, pengaruh Putin dan minatnya terhadap hal-ehwal agama membantu
merealisasikan pembinaan masjid tersebut.
Selain itu, kawasan masjid akan diperluaskan dan umat Islam mendapat beberapa
bangunan baru. "Antaranya, bangunan Russia Mufties Council. Di kawasan ini,
akan terdapat pejabat wakil-wakil agama dari banyak negara Islam," katanya.
Marat yang juga pensyarah di Universiti Islam Moscow berkata, Rusia kini
semakin mengiktiraf penduduknya yang beragama Islam.
Walaupun jumlah penduduk Islam di Rusia hanya sebahagian kecil daripada
populasi Islam dunia, masyarakatnya kini semakin mendalami ajaran Rasulullah
SAW itu.
Menurutnya, bagi meningkatkan pengetahuan umat Islam di situ, mereka juga
turut mempelajari agama lain seperti Kristian dan Yahudi.
"Sebabnya, kita tidak mahu orang menganuti agama Islam secara membabi buta.
"Kami bangga dengan Muslim di Rusia kerana mereka masuk Islam dengan kesedaran
sepenuhnya sebab mengapa mereka berbuat demikian," jelas beliau.
Hubungan pertama penduduk Rusia dengan dunia Islam bermula dari abad kelapan
dan kesembilan. Hubungan ini bersifat penentangan bersenjata serta terjalin
hubungan perniagaan, budaya, politik dan ekonomi. Bangsa Khazar, selain
menganuti agama Yahudi juga menganuti Islam.
Bangsa Cumans dan bangsa Bulgars menjadi bangsa-bangsa pertama yang
memperkenalkan agama Islam kepada Rusia zaman kuno.
Pada tahun 1256 (setelah 16 tahun penaklukan Rus) Muslim pertama, Khan Berke
menaiki takhta di Golden Horde. Namun, Islam mulai dianuti di dalam Golden
Horde sepenuhnya pada tahun 1312 apabila Khan mengislamkan semua penduduk
kerajaan itu.
Rus merupakan nama panggilan tradisional untuk penduduk dari Eropah Timur.
Mengenai masalah yang dihadapi oleh Muslim di Rusia, Marat berkata, isu paling
utama ialah ketiadaan secara amnya kemudahan Islam iaitu kedai-kedai makanan
halal dan hospital Islam.
Selain itu, orang Islam Rusia sangat kedekut membayar zakat dan kekurangan
sokongan kerajaan.
"Seperti saya katakan, Muslim di Rusia sangat kedekut memberi sebahagian
daripada harta mereka untuk perkembangan agama. Mereka kurang faham bahawa
sebenarnya dengan menunaikan zakat ini mereka akan dapat banyak keberkatan.
"Perintah pengumpulan zakat adalah arahan politik dan bukannya bidang kuasa
kami," katanya.
Bagaimanapun, Rusia mengamalkan kebebasan menganuti mana-mana agama.
Sehinggakan rakyatnya bebas mendaftarkan mana-mana maktab, madrasah, sekolah
Islam dan mendirikan masjid.
"Namun kerana sebab tertentu kita mempunyai masalah mendaftarkan pertubuhan
agama dan ada bermacam-macam halangan untuk mendirikan masjid.
"Akibatnya kita mempunyai masalah mengajar dan menerangkan agama Islam kepada
orang ramai," jelas Marat lagi.
Walaupun demikian, bilangan jemaah haji Rusia semakin bertambah dari semasa ke
semasa.
Kata Marat, tahun ini pihaknya menghantar 26,000 orang menunaikan haji
berbanding tahun sebelumnya hanya 25,000 jemaah.
Beliau yang juga Pesuruhjaya Produk Halal Rusia juga teruja untuk menyertai
tilawah al-Quran peringkat antarabangsa di Malaysia tahun ini.
"Banyak tempat menarik yang saya dengar tentang Malaysia dan kunjungan itu
bakal menjadi kali pertama saya diberi peluang melawat negara yang mempunyai
rakyat pelbagai kaum ini.
"Kita seharusnya berkongsi pengalaman hidup aman-damai dengan agama-agama lain
dan saling menghormati. Saya juga menyokong konsep Islam moden yang
dipraktiskan oleh Malaysia," katanya.
---------------------------------
Yahoo! Toolbar is now powered with Search Assist. Download it now! /a