Assalamualaikum wm wbt.

Sekadar peringatan bagi mengelakkan kejadian ini dari berulang terutamanya
bagi mereka yang akan pulang untuk bercuti pada musim panas ini.

Semasa di tanah air baru-baru ini, telah mengunjungi gedung beli-belah Alpha
Angle yang terletak di Wangsa Maju. Semasa ingin menaiki tangga bergerak
dari Pasaraya Jusco, Medan Selera dan McDonald di dapat terdapat 4 orang
lelaki dari Malaysia Timur (samada Sabah atau Sarawak) sedang berborak di
tangga naik berkenaan.

Sedang saya dan isteri menghala untuk menaiki tangga berkenaan, 2 dari
mereka meluru ke hadapan saya manakala 2 yang lain mengikut rapat di
belakang saya dan menyebabkan isteri saya terpisah kira-kira 3 ke 4 anak
tangga. Kebetulan hari tersebut hari Sabtu dan sebelah petang, jadi suasana
memang agak sibuk dengan pengunjung.

2 orang di hadapan saya itu terus bercerita dengan rancak dan saling
mengadap antara satu sama lain dan kononnya sama berborak dengan 2 rakan
mereka yang berada di belakang saya. Merasakan diri telah terkepung, saya
mencurigai setiap pergerakan yang mereka lakukan.

Kemudian, salah seorang dari yang berada di hadapan saya telah menjatuhkan
penyarung telefon bimbit beliau dan dengan sengaja tidak
mengendahkannya serta terus berborak di dalam loghat masing-masing manakala
yang seorang lagi memerhatikan setiap gerak geri saya.

Ketika sudah hampir di penghujung tangga bergerak berkenaan (di Kedai Secret
Recipe), suspek yang menjatuhkan penyarung telefon tadi tunduk seolah-olah
ingin mengambil barang berkenaan dan kelihatan seperti terkial-kial walhal
bukannya sukar untuk berbuat berkenaan.

Kejadian menyebabkan berlaku sedikit kesesakan dan asakan dari arah
belakang. Bila ini berlaku, secara spontan saya memegang saku sebelah kanan
dari arah luar sebab dompet dan kunci kereta saya berada di dalamnya. Pada
masa ini, seorang dari anggota kumpulan cuba untuk menyeluk saku saya akan
tetapi tidak berjaya disebabkan saya telah memegang peha saya dengan agak
kuat. Poket sebelah kiri yang ada telefon bimbit pula berada rapat pada
dinding tangga bergerak berkenaan.

Setelah mendapati cubaan mereka ini gagal, anggota kumpulan yang berada di
hadapan yang memerhatikan pergerakan saya secara tiba-tiba melolong dan
membuat bunyi bising. Di dalam kekecohan itu, anggota yang menjatuhkan
barang telah bergerak ke arah kiri, yang membuat bunyi bising ke arah kanan
manakala 2 di belakang saya telah turut berpecah dan bergegas meninggalkan
lokasi.

Saya cuba untuk mengikut anggota yang membuat bunyi bising itu dan didapati
beliau melulu dengan cepat untuk menuruni semula tangga berkenaan yang
terletak di bahagian belakang tangga naik. Saya membatalkan penjejakan oleh
kerana isteri saya masih tertinggal di belakang.

Alhamdulillah, mujur tiada apa-apa yang hilang dan terus saya terangkan
kepada beliau apa yang berlaku. Beliau perasan saya dikepung akan tetapi
tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dan saya menerangkan cubaan komplot
tersebut.

Syukur cubaan tersebut berjaya dipatahkan kerana jikalau tidak, selain wang
ringgit, dokumen-dokumen lain seperti kad pengenalan, lesen-lesen memandu,
kad-kad kredit, kad-kad bank dan sebagainya perlu dibuat aduan dan
pembatalan. Bukan semua nombor-nombor siri yang berkenaan selain nombor kad
pengenalan diingat apatah lagi nombor yang perlu dihubungi untuk pembatalan
sementara.

Semoga kejadian ini tidak berlaku lagi kepada sesiapa dan sila berwaspada
bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini dari berulang.

Wassalam.



Kirim email ke