Salam muhibah buat semua rakyat Malaysia yang seringkali menjadi mangsa keadaan dalam menongkah arus membelah badai kehuruharaan ekonomi dan politik dunia tidak termasuk lagi dengan penghinaan ke atas agama Islam yang dilakukan oleh bakal presiden Amerika yang baru Mr. Barack Obama yang melobi penganut Yahudi di Amerika Syarikat dengan menyatakan BaitulMaqdis akan tetap menjadi ibu negara Israel dan seterusnya mengekalkan polisi Amerika Syarikat terhadap Islam dan penganutnya yang semestinya bangkit menentang kenyataannya itu. Kesan daripada ekonomi dan politik dunia yang tidak stabil dipelopori oleh Amerika Syarikat membuatkan negara Malaysia mendapat kesan yang sama dihadapi seluruh dunia kerana mempunyai pemimpin yang lemah dan tidak berani bersuara untuk mengambil tindakan yang bijak dalam menghadapi situasi yang genting yang dihadapi sekarang. Pemimpin - pemimpin ini hanya ingin mengekalkan statusnya sebagai wakil rakyat yang memperolehi kelebihan "privelege" tanpa memikirkan masalah yang dihadapi oleh rakyat dan tidak sanggup mengorbankan apa yang dimiliki sekarang dan tidak mahu segala yang dimiliki hilang dalam sekelip mata. Jika dilihat dalam skop pentadbiran Malaysia sekarang, kerajaan sekarang lebih kepada sikap orang Munafik yang tidak menepati janji dan seringkali melakukan dusta dan mempermainkan rakyat dengan kata-kata manis bagi meraih undi semata-mata tidak mahu kehilangan dan kedudukan sebagai wakil rakyat. Kebajikan rakyat tidak dijaga dengan sepenuhnya, tindakan yang diambil hanya melepaskan batuk di tangga sebaliknya rakyat terus menderita dalam menghadapi krisis ekonomi yang begitu teruk melanda negara sekarang. Krisis ini berlaku akibat daripada kerakusan pemimpin ini sendiri yang sibuk mengumpul kekayaan melalui amalan-amalan rasuah yang berleluasa berlaku daripada pihak atasan sehingga ke peringkat bawahan. Akibatnya rakyat yang tidak seberapa pendapatan yang mempunyai bebanan tanggungan yang banyak terpaksa menerima hakikat daripada kesan krisis tersebut. Kenapa minyak harus dinaikkan? Kenapa tidak projek mega koridor seluruh negara ditangguhkan atau dibatalkan demi menjaga kepentingan rakyat? Jawapannya ialah terletak kepada setiap manusia yang waras dan berfikiran positif dapat memikirkan apa faedah yang akan dimiliki oleh pemimpin-pemimpin ini dengan projek-projek mega tersebut. Rakyat pula terikut-ikut dengan sikap pemimpin yang mahukan kemegahan dari segala aspek di dunia ini tanpa memikirkan beban yang akan mereka hadapi pada masa akan datang. Pemimpin-pemimpin ini pula akan terus bergoyang kaki melihat arus pembangunan yang pesat dan rakyat bawahan pula akan terus derita dengan kenaikan-kenaikan harga barangan yang mendadak akibat daripada taraf kos sara hidup yang meningkat yang seterusnya akan menyebabkan peningkatan jumlah rakyat termiskin di negara ini nanti. Justeru itu, langkah-langkah yang bijak haruslah diambil oleh pihak kerajaan di antaranya dengan melancarkan Tabung Kebajikan Negara yang mewajibkan semua syarikat-syarikat konglomerat tempatan menyumbangkan dana keuntungan mereka kepada tabung ini di samping elaun menteri-menteri kabinet dan parlimen dipotong sekurang-kurangnya 30% bagi menjamin dan menjaga kebajikan rakyat pada masa akan datang. Tabung ini pula seharusnya dijaga oleh satu unit dari Bank Negara Malaysia dan seharusnya diaudit dari semasa ke semasa bagi menjamin ketelusan yang berlaku dan tidak mengalami ketirisan kepada pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mereka yang layak sahaja dapat menerima sumbangan daripada tabung tersebut. Ini ialah satu cara bagaimana kita mengawal pengaliran keuntungan yang diperolehi oleh syarikat-syarikat tempatan agar boleh dikongsi oleh semua rakyat jelata.
