Solat sunat bantu tampung kekurangan
Oleh Mohd Yaakub Mohd Yunus
Come & visit my blog at http://akob73.blogspot.com/

http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Agama/20080712092842/Article/index_html

Perbanyak amalan dapat meninggikan darjat, hapuskan dosa lalu

HADIS Rasulullah SAW menyatakan mengenai solat sunat sebagai solat al-Tathawwu' 
yang bermaksud melakukan ketaatan. Dari segi syariat pula ia bermaksud ketaatan 
yang tidak wajib seperti solat, sedekah, puasa, haji jihad dan amalan sunat 
lain.

Oleh itu, setiap jenis solat yang disyariatkan dalam Islam sebagai tambahan 
kepada solat fardu lima waktu, termasuk dalam kumpulan solat sunat. Mengerjakan 
solat sunat memiliki banyak keutamaan. Solat sunat adalah amalan terbaik untuk 
mendekatkan diri kepada Allah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Istiqamahlah kamu semua, janganlah 
kamu menghitungnya, dan ketahuilah bahawa sebaik-baik amalmu adalah solat.” 
(Hadis riwayat Imam Ibnu Majah)

Menjadi lumrah bagi manusia apabila mengerjakan solat fardu akan terjadi 
perbuatan yang dapat mengurangkan kesempurnaan solat itu seperti tidak khusyuk, 
bacaan ayat al-Quran kurang kemas dan lain-lain kesilapan.

Solat sunat dapat menutupi segala kekurangan yang mungkin wujud ketika 
mengerjakan solat fardu. Abu Hurairah meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda 
yang bermaksud: “Sesungguhnya amalan manusia yang mula-mula dihisab pada hari 
kiamat ialah solat mereka. Tuhan berfirman kepada malaikat-Nya padahal Dia 
lebih mengetahui: Periksalah solat hamba-Ku! Sempurnakah atau kurang? Jika 
solatnya sempurna catatkanlah sebagai sempurna, dan jika ada sesuatu kekurangan 
Tuhan berfirman pula: Periksalah adakah hamba-Ku mempunyai amalan solat sunat? 
Jika dia mempunyai amalan solat sunat lalu Tuhan berfirman: Sempurnakanlah 
solat fardu hamba-Ku dengan solat sunatnya. Kemudian diperhitungkan amalan itu 
dengan cara demikian.” (Hadis riwayat Imam Abu Dawud).

Mengerjakan solat sunat dapat menyebabkan seseorang menjadi ahli syurga. 
Daripada Rabi’ah bin Malik al-Aslami, dia berkata: “Aku pernah bermalam di 
rumah Rasulullah SAW. Ketika Baginda bangun, aku mengambil air wuduk untuk 
Baginda dan melayani apa yang Baginda perlukan. Selanjutnya Baginda bersabda 
kepadaku: Mintalah! Aku menjawab: Aku meminta supaya aku dapat menemani engkau 
di syurga kelak. Baginda bertanya: Adakah permintaan selain daripada itu? Aku 
menjawab: Cukup itu saja. Baginda lalu bersabda: Bantulah aku bagi mencapai 
permintaanmu itu dengan memperbanyakkan sujud (solat sunat).” (Hadis riwayat 
Imam Muslim)

Amalan solat sunat juga dapat meninggikan darjat seseorang serta menghapuskan 
dosanya yang lalu. Daripada Mi’dan bin Abi Thalhah al-Ya’mari, dia bercerita: 
“Aku pernah bertemu Tsauban, pembantu Rasulullah SAW lalu kukatakan: 
Beritahukan kepada ku suatu amalan yang dengan mengerjakannya Allah akan 
memasukkanku ke dalam syurga. (Atau dia menceritakan: Ku katakan dengan amal 
yang paling disukai Allah). Kemudian Tsauban diam. Maka aku tanyakan lagi 
kepadanya. Dia tetap diam. Selanjutnya aku bertanya untuk yang ketiga kalinya, 
dia pun berkata: Aku pernah bertanyakan hal itu kepada Rasulullah SAW lalu 
Baginda menjawab: Hendaklah engkau memperbanyakkan sujud (solat sunat) kepada 
Allah kerana sesungguhnya tidaklah engkau bersujud kepada Allah sekali saja, 
melainkan dengannya Dia meninggikanmu satu darjat serta menghapuskan darimu 
satu kesalahan.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Allah mencintai mereka yang mengerjakan amalan sunat (nawafil) termasuk solat 
sunat. Daripada Abu Hurairah, dia berkata Rasulullah SAW bersabda yang 
bermaksud: “Sesungguhnya Allah berfirman: Barang siapa yang memusuhi wali-Ku, 
sungguh Aku mengizinkan supaya dia diperangi. Tidak ada amal paling Aku senangi 
yang dipergunakan oleh hamba-Ku untuk mendekatkan diri kepada-Ku selain ibadah 
yang telah Aku fardukan kepadanya. Hamba-Ku yang senantiasa mendekatkan diri 
kepada-Ku dengan ibadah sunat (nawafil), pasti Aku mencintainya. Jika Aku sudah 
mencintainya, maka Aku menjadi pendengarannya yang dengannya dia mendengar; Aku 
menjadi penglihatannya yang dengannya dia melihat; Aku menjadi tangannya yang 
dengannya dia membuat (sesuatu); Aku menjadi kakinya yang dengannya dia 
berjalan; jika dia memohon kepada-Ku pasti akan Ku beri; jika dia memohon 
perlindungan daripada Ku pasti akan Ku lindungi dia. Aku tidak pernah bimbang 
dalam melakukan sesuatu sebagaimana
 kebimbangan Ku ketika hendak mencabut nyawa seorang mukmin yang tidak menyukai 
sakitnya sakratul maut, sementara Aku pun tidak ingin menyakitinya.” (Hadis 
riwayat Imam al-Bukhari)

Mengerjakan solat sunat di rumah akan mendatangkan keberkatan. Berbeza dengan 
solat fardu, solat sunat lebih afdal jika dikerjakan di rumah masing-masing 
kecuali solat sunat sememangnya disyaratkan untuk dikerjakan secara berjemaah 
di masjid, tanah lapang atau tempat tertentu.

Zaid bin Tsabit menyebutkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 
“Wahai sekalian manusia, kerjakanlah solat (sunat) di rumah kalian, sebab solat 
yang paling utama adalah solat seseorang yang dikerjakan di rumahnya, kecuali 
solat fardu.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)





Kirim email ke