PENYAKIT JIWA
Orang memandang penyakit sosial itu berat. Orang memandang penyakit dadah 
khususnya lebih berat lagi dari penyakit sosial yang lain. Namun ada penyakit 
yang lebih berat dari itu yang manusia tidak sedar dan tidak tahu.

Apa yang manusia tidak sedar ialah penyakit dadah dan penyakit sosial adalah 
disebabkan oleh suatu penyakit yang lain. Penyakit inilah yang melahirkan 
penyakit sosial dan penyakit dadah. Ia penyakit yang melahirkan penyakit. Ini 
banyak orang tidak faham. Bahkan masyarakat, pakar-pakar dan negara sendiri pun 
tidak faham.

Kalau ada orang terlibat dengan dadah, asalnya dia bukan hendak cari dadah 
tetapi hendak cari ubat. Dia hendak cari penawar bagi penyakit yang 
dihidapinya. Dadah disangkanya ubat. Dadah disangkanya penawar. Rupa-rupanya 
dia tersilap ubat. Dia termakan racun. Hakikat inilah yang orang tidak nampak.

Ertinya, dadah itu penyakit kedua. Ia penyakit mendatang. Ia dilahirkan oleh 
penyakit yang pertama. Ramai penagih terlibat dengan dadah kerana hendak 
mencari ubat untuk penyakit pertama yang dialaminya. Cari sana, cari sini, 
terjumpa dadah. Rupanya bukan terjumpa ubat tetapi terjumpa racun.

Begitu jugalah orang yang terlibat dengan maksiat yang lain. Asalnya kerana 
hendak mencari ketenangan. Hendak mencari sesuatu untuk mengisi jiwa yang 
kosong. Oleh kerana tidak ada panduan dan didorong pula oleh nafsu, maka mereka 
melibatkan diri dengan maksiat. Mereka sangka maksiat itu boleh menenangkan 
hati mereka.

Penyakit pertama ini ialah penyakit jiwa. Ia penyakit rohani yang ramai orang 
tidak faham. Orang cerdik pandai pun tidak faham. Mereka tidak faham apa bentuk 
penyakitnya, tidak faham puncanya dan tidak faham bagaimana cara hendak 
mengubatnya. Ia adalah penyakit batin atau penyakit rohani atau penyakit yang 
tersirat. Kalau dilihat secara lahir, penyakitnya tidak nampak. Ia penyakit 
yang terpendam di lubuk hati.

GEJALA PENYAKIT JIWA
Di antara gejala atau tanda penyakit jiwa ini ialah rasa risau semacam, rasa 
kosong, rimas dan runsing tidak menentu. Kadang-kadang yang mengidap penyakit 
ini ada duit, kaya, ada pangkat, ada nama dan glamour, ada ilmu dan sebagainya. 
Namun semua itu tidak dapat menghindar mereka dari dihinggapi penyakit ini. 
Fikiran menerawang tidak tentu hala. Hilang pedoman dan tidak ada tujuan dan 
matlamat hidup.

Dia rasa keseorangan, tiada pembela dan tiada pelindung. Tidak ada tempat 
bergantung dan berpaut.

Dia tidak ada tempat untuk mengadu dan bersandar. Tidak ada tempat untuk 
meluahkan perasaannya yang gundahgulana. Segala masalah terpaksa ditanggung 
sendiri.

Dia terapung-apung dan hanyut dalam kehidupan. Sentiasa takut dan curiga, tiada 
harapan dan putus asa. Seolaholah dia sedang menuju suatu kemusnahan dan 
kehancuran yang dia sendiri tidak tahu apa bentuk dan hakikatnya. Jiwanya tidak 
tenang. Dia tidak bahagia. Dia ditekan oleh berbagai perasaan yang tidak 
menentu yang mencemaskan dan menakutkan.

PENYEBAB PENYAKIT JIWA
Di antara yang menyebabkan penyakit ini ialah tekanan hidup. Hidup adalah 
pertarungan antara susah dan senang. Kehidupan bererti berhadapan dengan 
berbagai-bagai masalah dan cabaran. Masalah datang silih berganti dan bertukar 
ganti. Ia datang dalam berbagai-bagai tempat dan situasi yang tidak dapat kita 
jangka atau fikirkan. Ia berlaku setiap hari, cuma bezanya, ada masalah yang 
kecil dan ada masalah yang besar dan sungguh menekan perasaan.

Masalah juga datang dalam berbagai keadaan dan bentuk. Ia melibatkan berbagai 
rasa. Suka dan duka, senang dan susah, gembira dan dukacita, jijik, benci, rasa 
lega, malu, jemu, sakit hati, kecewa, sakit dan sihat, miskin dan kaya, rasa 
lapang dan sempit, risau, tertekan dan seribu satu macam lagi. Masalah datang 
tanpa kita mahu dan tanpa kita tahu.

Masalah berlaku tidak kira tempat dan masa. Ia datang ke rumah, ke tempat 
kerja, dalam bermusafir, di tengah ramai dan di waktu keseorangan.

Ada kalanya masalah yang menekan perasaan itu berlaku tidak tahu puncanya. 
Tiba-tiba sahaja hati rasa risau, rasa kosong dan rasa runsing tidak menentu. 
Ini ditambah lagi dengan kekusutan keluarga, masyarakat yang porak-peranda, 
hidup nafsi-nafsi, negara dan pemerintahan yang tidak stabil, ekonomi yang 
tidak menentu, tidak peduli mempeduli dan tidak ada kasih sayang. Benarlah 
seperti sabda Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Sesungguhnya dunia itu negara bala dan ujian.”

KESAN JANGKA PANJANG
Penyakit ini, kalau dibiarkan berlama-lama, jiwa akan menjadi semakin kosong. 
Semakin lama semakin risau dan runsing. Hati gelisah dan tidak tenang. Kalau 
yang punya diri tidak faham dan masyarakat pula tidak dapat membantunya, maka 
akan tercetuslah penyakit lahir atau penyakit kedua. Boleh jadi akan berlaku 
penagihan dadah, vandalisme, gangsterisme, lepak, bohsia, bohjan dan 
bermacam-macam lagi penyakit masyarakat yang lain.

Ini kerana tuan punya diri yang mengalami penyakit jiwa, yang jiwanya kosong, 
hampa, risau dan runsing itu akan berusaha mencari ubat.. Dia akan berusaha 
mencari ketenangan. Mula-mula mungkin dia akan jumpa doktor saikologi. Tetapi 
doktor saikologi pun ditimpa penyakit yang sama. Bila tidak sembuh, penyakit 
jiwa ini menjadi semakin serius, kronik dan menjadi-jadi. Pesakit jiwa ini akan 
mula mencari ubat lain. Di sini syaitan pun ambil peluang untuk mencelah dan 
menipu daya. Ada yang digoda mencuba dadah dan terus terperangkap dengan dadah. 
Rosak kesihatan dan menjadi ketagih. Bila tidak dapat dadah, badan sakit. 
Kenalah cari dadah dengan segera. Begitulah berlaku setiap masa. Habis duit, 
habis harta, susah ibu bapa dibuatnya.. Kadang-kadang mencuri, meragut dan 
pecah rumah untuk mendapat duit membeli dadah. Masyarakat meluat dan benci 
padanya. Masyarakat mencaci, menghina, mengeji, menyisih, memulau dan 
menghalaunya.

Ada pula yang digoda membuat segala macam maksiat yang lain. Minum arak, 
berjudi, berzina, merogol dan sebagainya. Sudahlah pesakit ini sengsara di 
dalam kerana sakit jiwanya yang tidak sembuh, ditambah pula sengsara dari luar 
disebabkan tekanan dan cemuhan oleh masyarakat. Tidak ada simpati, tidak ada 
belas kasihan dan tidak ada kasih sayang.

Oleh itu, penyakit jiwanya bertambah-tambah serius dan kronik. Kalau dahulu, 
tekanan jiwa dan sengsaranya selapis sahaja iaitu hanya tekanan dan sengsara 
dari dalam tetapi kini dia terpaksa pula menanggung sengsara dari luar juga. 
Masalah dan penanggungannya bertambah-tambah berat sedangkan kekuatannya untuk 
menanggung beban itu bertambahtambah lemah. Dia makin tenggelam dan makin 
tenggelam di dalam seksaan dan penderitaannya itu. Siapakah yang akan 
memberikan simpati? Siapakah yang akan belas kasihan? Siapakah yang akan 
memberi kasih sayang? Di ranting manakah dia akan berpegang? Di dahan manakah 
dia akan berpaut? Atau akan kita biarkan dia hanyut dan tenggelam dalam seksaan 
dan penderitaannya itu. Atau kita sisihkan akan dia seperti anjing kurap di 
tepi jalan, untuk kita kutip “bangkainya” satu hari nanti supaya ditanam.

KEMBALI KEPADA TUHAN
Bagaimana penyakit jiwa ini boleh berlaku? Manusia rasa dia ada kuasa. Dia rasa 
dia kuat dan boleh buat apa sahaja. Bila ada cabaran dan tekanan hidup, rupanya 
dia tidak ada kuasa. Dia rasa tertekan. Bagaimana hendak menangkisnya? Bila 
tidak dapat ditangkis, maka jiwanya derita, dia rasa tension dan mengalami 
stress.

Oleh kerana manusia tidak ada kuasa untuk mengatasi cabaran dan kesusahan, maka 
fitrahnya ingin agar ada orang yang membela dan menyelamatkan dia. Bila ada 
masalah, dia ingin agar ada orang yang menolong. Tetapi siapakah yang boleh 
menolong? Adakah manusia, sedangkan semua manusia mempunyai masalah yang sama. 
Apakah haiwan, atau tanaman sedangkan mereka tidak berakal. Apakah harta benda 
atau mesin atau ilmu? Sedangkan semua itu adalah rekaan manusia sendiri yang 
tidak mampu berbuat apa-apa.

Kalau begitu, manusia perlukan satu zat yang kemampuannya di luar itu semua. 
Manusia perlukan satu super power yang lebih dari segala-gala yang ada di alam 
ini.

Manusia perlukan Tuhan, Zat yang Maha Agung yang kuasa-Nya tiada mula dan tidak 
terbatas. Apabila Dia menghendaki sesuatu, hanya dengan berkata jadi maka 
jadilah. Dia Zat yang Maha Menyelesaikan segala masalah manusia. Dia doktor 
yang Maha Pakar dan menyembuhkan penyakit jiwa manusia. Dia tidak bertempat dan 
tidak tertakluk kepada ruang dan masa. Dia boleh dihubungi, boleh menghubungi 
dan boleh menyelesaikan masalah seluruh manusia dan makhluk-Nya serentak dalam 
satu masa di mana sahaja.

Malangnya, ramai manusia tidak percaya Tuhan, tidak kenal Tuhan dan tidak faham 
peranan Tuhan. Lebih-lebih lagi tidak cinta dan tidak takut Tuhan. Inilah yang 
menyebabkan jiwa jadi kosong. Inilah dia asas bagi penyakit jiwa. Kalau kita 
tidak tahu bahawa Tuhan ada peranan dalam kehidupan ertinya kita tidak ada 
pelindung, dan kita tidak ada pembela.

Apabila ada masalah kita tidak ada tempat rujuk dan tempat mengadu. Kita tidak 
ada tempat bergantung. Kalau kekosongan jiwa ini berlaku satu hari, tidak 
mengapa. Tetapi kalau berlaku bertahun-tahun, ia jadi barah. Akhirnya barah ini 
pecah dan lahirlah penyakit jiwa. Manusia lemah dan tidak ada kuasa. Oleh itu 
manusia perlu bersandar kepada sesuatu kuasa yang gagah, perkasa dan mutlak 
iaitu Tuhan.. Barulah hati manusia akan menjadi teguh dan kuat.

Manusia perlu kepada Tuhan. Manusia perlu rasa bertuhan. Tuhan adalah 
segala-galanya. Kekuatan jiwa manusia adalah setakat mana dia rasa bertuhan. 
Kurang rasa bertuhannya, maka kuranglah kekuatan jiwanya. Kuat rasa bertuhannya 
maka kuatlah jiwanya. Kalau seseorang itu tidak langsung mempunyai hubungan 
dengan Tuhan, percaya pun tidak, kenal pun tidak, maka jiwanya akan menjadi 
lemah dan rosak, dan akan dihinggapi penyakit. Akan timbullah rasa kosong, 
risau, rimas dan runsing. Akan hilang ketenangan jiwa. Allah ada berfirman:
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi 
tenang.” (Ar-Ra’du: 28)

KEMBALI KEPADA FITRAH
Apabila manusia lahir ke dunia, dia dibekalkan dengan fitrah. Fitrah adalah 
keinginan dan kecenderungan semulajadi. Keinginan fitrah yang paling besar dan 
utama ialah rasa ingin bertuhan. Rasa perlu kepada Tuhan. Rasa mahu kepada 
Tuhan. Rasa ingin membesar, mengagungkan, mengabdi diri dan bergantung dengan 
Tuhan.

Orang yang tidak percaya dan tidak kenal Tuhan itu adalah orang yang melawan 
fitrah semulajadinya. Iaitu dia melawan kehendak hati dan jiwanya. Dia tidak 
memenuhi keperluan dan tuntutan jiwanya. Dia hanya mengikut arahan nafsunya. 
Percaya, kenal dan rasa bertuhan itu adalah makanan bagi hati dan jiwa. Orang 
yang tidak percaya, tidak kenal dan tidak rasa bertuhan itu ialah orang yang 
tidak memberi makan kepada hati dan jiwanya. Hatinya jadi gersang dan tandus, 
lemah dan longlai. Itu sebab timbul krisis jiwa. Itu sebab jiwa dihinggapi 
penyakit.

KESAN PENYAKIT JIWA YANG LEBIH PARAH
Orang yang mengidap penyakit jiwa ini terdedah kepada berbagai-bagai bahaya. 
Dalam hendak mengubat jiwanya yang parah dan menderita itu bukan terhenti 
setakat menagih dadah. Ini dianggap ringan. Di dalam kes-kes yang lebih berat, 
ada yang mengambil jalan singkat dengan membunuh diri. Ini penyakit yang maha 
besar. Dia akan ditimpa seksa Neraka yang amat dahsyat, kekal abadi 
selama-lamanya.

Ada pula pesakit jiwa yang mencari ketenangan dengan membunuh orang sesuka 
hati. Dia rasa dengan membunuh orang, hati dia jadi tenang. Ada yang suka hirup 
darah binatang atau darah manusia. Ada yang mencari ketenangan dengan merogol. 
Ada yang mencari ketenangan dengan merosakkan harta umum (vandalisme). Padahal, 
bagi orang yang sihat jiwa, semua perbuatan ini dirasakan keji dan jijik dan 
mendatangkan rasa bersalah (guilty conscious). Bagi orang yang sakit jiwa, dia 
melakukan semua itu untuk mendapatkan ketenangan. Bagi mereka, itu disangkakan 
ubat.

Begitulah keadaan orang yang ditimpa penyakit jiwa. Dari sakit jiwa, 
berbagai-bagai perkara negatif dan berbahaya boleh berlaku sama ada kepada 
pesakit itu sendiri atau kepada masyarakat.

Di Barat, oleh kerana mereka sudah terlalu maju dan terlalu jahat, gejala 
masyarakat sudah jadi budaya. Mereka tidak fikir masalah dadah lagi. Mereka 
tidak menagih dadah lagi kerana telah lali dengan dadah. Maka lahir pula 
penyakit lain yang lebih aneh dan tidak logik. Kalau di Malaysia, orang 
membunuh kerana hasad dengki. Ertinya dia ada sebab untuk membunuh. Kalau bunuh 
orang kerana hendak merompak, masih ada sebab. Di Barat, kerana jiwa telah 
terlalu rosak, sudah ada orang membunuh hanya untuk memuaskan hati. Jumpa 
orang, dia tembak dan bunuh tanpa sebab. Kalau di Malaysia, orang bunuh orang 
kerana ada sebab tetapi di Barat orang bunuh orang untuk mendapat ketenangan. 
Bagi dia membunuh itu adalah ubat untuk mendapat ketenangan jiwa.

Sesetengah orang di Barat, dia mencuri bukan kerana hendakkan barang tetapi dia 
rasa bila mencuri, hatinya puas. Di Barat, orang mencuri untuk puaskan hati. 
Sudah dapat barang yang dicuri, dibuangnya. Ada juga orang, kerana penyakit 
jiwanya, kalau dia jumpa kucing, disiat-siatnya kucing itu. Kalau dia jumpa 
tikus, dihentaknya hingga lumat. Dia seronok dan merasa puas dengan kerja itu.

Mungkin ada orang yang merogol kerana tidak ada isteri untuk melepaskan 
nafsunya. Tetapi di Barat, selain kerana nafsu, orang merasa puas hati kalau 
dapat merogol orang. Merogol itu sebagai ubat bagi jiwanya yang kosong. Jadi 
segala penyakit yang lahir ini adalah kerana penyakit jiwa yang tersembunyi.

JALAN KELUAR
Apakah yang perlu kita buat untuk mengubati penyakit jiwa yang tersembunyi ini 
supaya jangan timbul penyakit kedua atau penyakit lahir yang memberi kesan dan 
mengharubirukan masyarakat. Ini termasuklah penagihan dadah, gejala sosial dan 
berbagai bentuk maksiat yang lain.

Bagaimana kita mahu mengelak supaya hati-hati mudamudi dan remaja tidak menjadi 
kosong, risau dan rimas tidak menentu. Supaya fikiran mereka jangan berpusing 
tidak tentu hala. Kita mesti cari jalan bagaimana hendak lahirkan satu generasi 
yang jiwanya tidak kosong, tidak gelisah dan mempunyai fikiran yang stabil. 
Kalau penyakit jiwa ini dapat dirawat dan disembuhkan, mengubat penyakit kedua 
atau penyakit lahir sudah jadi mudah.

Untuk mengubatinya, kita kena pulihkan semula jiwa bertuhan. Beri mereka ilmu 
tentang Tuhan, ilmu yang boleh mendatangkan rasa cinta dan takut dengan Tuhan. 
Fahamkan mereka tentang peranan Tuhan dalam kehidupan. Yakinkan mereka bahawa 
Tuhan adalah sangat diperlukan oleh setiap insan. Tuhan adalah segala-galanya. 
Setiap orang yang ber83 tanggungjawab untuk memulihkan penyakit jiwa ini 
kenalah faham apa yang disebut di atas. Itulah ramuannya. Itulah penawarnya. 
Tidak ada yang lain.

Di samping itu, sebagai tambahan:

* • Betulkan semula sistem rumah tangga
* • Stabilkan semula sistem masyarakat
* • Hapuskan hidup nafsi-nafsi
* • Stabilkan semula pemerintahan dan politik
* • Susun semula sistem ekonomi supaya agihan keperluan jadi merata.

Walaupun perkara ini bukan perkara asas atau pokok, namun ia adalah perkara 
tambahan yang dapat membantu.

PENYAKIT JIWA MAZMUMAH
Kita baru selesai membincangkan penyakit jiwa yang biasa. Selain penyakit jiwa 
yang biasa ini, ada lagi bentuk penyakit jiwa yang kesannya adalah jauh lebih 
serius. Ia dinamakan penyakit jiwa mazmumah. Kalau penyakit jiwa yang biasa itu 
gejalanya ialah rasa kekosongan, risau, runsing dan rimas, penyakit jiwa 
mazmumah ini pula ialah disebabkan hati yang telah diserang dan dikotori oleh 
sifat-sifat yang keji seperti sombong, tamak, bakhil dan lain-lain.

Penyakit jiwa mazmumah ini lebih bahaya. Penyakit inilah yang boleh 
memecah-belahkan rumah tangga, memecahbelahkan masyarakat, memusnahkan 
perpaduan dan kasih sayang, menimbulkan perbalahan, krisis, jatuh menjatuh dan 
peperangan. Dunia hari ini lebih banyak dirosakkan oleh penyakit jiwa mazmumah 
ini dari penyakit jiwa biasa atau penyakit-penyakit yang lain.


      Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain 
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke