LUMUT 21 Julai – Isu pembelian 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor
bernilai RM3.43 juta sebagai kenderaan rasmi Menteri Besar, Exco dan
pegawai kanan Kerajaan Negeri Terengganu akan dibawa ke mesyuarat
Kabinet.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkara
itu perlu dibincangkan bagi menentukan sama ada ia melanggar dasar
kerajaan mengenai penggunaan kereta nasional oleh kementerian dan
kerajaan negeri.

Katanya, Kerajaan Pusat sebelum ini telah memutuskan bahawa semua
kementerian dan kerajaan negeri perlu menggunakan kereta nasional.

“Saya guna kereta nasional dan Perdana Menteri pun guna kereta nasional.

“Kita akan berbincang dalam Kabinet bagi menentukan sama ada terdapat
kewajarannya,” kata Najib kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat
Majlis Industri Pertahanan Malaysia di Pangkalan Tentera Laut Diraja
Malaysia (TLDM) di sini hari ini.

Najib berkata demikian ketika mengulas langkah Kerajaan Negeri
Terengganu membeli 14 buah kereta Mercedes E200 Kompressor bagi
menggantikan Proton Perdana V6 Executive sebagai kenderaan rasmi Exco
dan pegawai kanan kerajaan negeri itu.

Menurut beberapa pihak, tindakan kerajaan negeri itu bercanggah dengan
pekeliling kerajaan Pusat berhubung penggunaan kereta nasional oleh
para pemimpin dan pegawai kanan kerajaan.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said semalam mendakwa kerajaan
negeri terpaksa membuat pembelian tersebut ekoran kos penyenggaraan
Proton Perdana terlalu tinggi kerana kereta model itu mudah rosak dan
tidak tahan untuk perjalanan jauh.

Sambil mempertahankan pembelian kereta Mercedes, Ahmad berkata,
walaupun kos permulaan pembelian kereta buatan Jerman itu tinggi tetapi
kerajaan negeri dapat berjimat dari segi kos penyenggaraan dalam tempoh
jangka panjang.

Sementara itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna
Malaysia (FOMCA), Muhamad Sha'ani Abdullah menyifatkan langkah Ahmad
membeli kereta-kereta Mercedes itu sebagai satu pembaziran besar.

“Ia tidak sepatutnya dibuat ketika kerajaan lantang berkempen supaya
rakyat berjimat cermat,” katanya.

Beliau mendesak pembelian itu dikaji semula.

“Alasan Ahmad mengenai kerosakan teruk sebuah Perdana V6 Eksekutif yang
digunakan oleh seorang Exco Terengganu dilihat terlalu lemah.

“Ia tidak boleh dijadikan alasan pembelian. Hujah itu seolah-olah
merendahkan kualiti kesemua model kereta Proton,” katanya ketika
dihubungi.

Muhamad Sha’ani berkata: “Tindakan Menteri Besar Terengganu itu adalah
perbuatan merendah-rendahkan produk negara. Pada masa kerajaan menyuruh
rakyatnya berjimat, mengapa beliau membeli kereta mahal pula?

“Seharusnya beliau menjadi ikon jimat cermat kepada masyarakat. Apa
yang dilakukannya terang-terang bertentangan dengan dasar jimat cermat
kerajaan selama ini.”

Mengulas isu yang sama, Setiausaha Kelab Perdana V6: V-Sixers , Mohd.
Yazmeen Md. Yusof berkata, tindakan kerajaan Terengganu membeli kereta
Mercedes bagi menggantikan Proton Perdana adalah perbuatan yang tidak
bertanggungjawab.

Beliau berkata, pemimpin kerajaan seperti Ahmad seharusnya
mempromosikan kereta tempatan dan bukan mengagung-agungkan kereta
keluaran Barat.

“Para pemimpin kerajaan harus sedar mereka sebenarnya duta yang
bertanggungjawab mempopularkan kereta keluaran negara sendiri,''
jelasnya.

Pengarah Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Darshan Singh
pula menganggap tindakan kerajaan Terengganu itu sebagai satu langkah
yang tidak popular.

“Kerajaan menyuruh rakyat berjimat cermat tetapi Terengganu pula
menukar kereta mewah.

“Bagaimana kita hendak menjadi contoh kepada rakyat sedangkan pemimpin
tertentu jelas membazir dan tidak menghargai produk negara sendiri?”
ujarnya.

-Utusan


--
Posted By Topengperak_Xinwugi to Perisik Rakyat at 7/22/2008 08:25:00 AM

Kirim email ke