Seorang ahli Persatuan Sejarah Negeri Johor sedang menjelajah ke
seluruh negeri itu untuk mengesan sepucuk surat yang berusia 164 tahun
yang membuktikan bahawa Batu Puteh adalah hak Malaysia.Surat tersebut
ditulis pada tahun 1844 oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, William John
Butterworth, kepada Sultan dan Temenggong Johor.Surat tersebut begitu
penting kerana ia bukan sahaja menyentuh permohonan pihak British untuk
membina rumah api di Batu Puteh, tetapi ia turut membuktikan hak
negara.Zaaba Abdul Samad memulakan misinya itu sejak dua tahun lalu.
Beliau telah menemui waris-waris keturunan Temenggong Muar yang masih
tinggal di Muar dan Segamat serta waris keturunan Kesultanan Johor
dengan harapan untuk mengesan surat tersebut."Saya turut menemui
pelbagai individu yang mendakwa mereka mempunyai pelbagai dokumen
bersejarah tetapi malangnya sehingga kini masih gagal menemui surat
terbabit," katanya kepada Bernama.Bulan lalu, Menteri Luar Datuk Seri
Dr Rais Yatim berkata, Malaysia akan terus berusaha mencari bukti-bukti
bagi membuktikan haknya terhadap Batu Puteh walaupun selepas Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei lalu memutuskan bahawa
Singapura mempunyai hak ke atas batuan tersebut.Wisma Putra telahpun
diarahkan supaya berusaha kembali untuk mengesan surat oleh Gabenor
Negeri-negeri Selat pada 1844 itu, dengan harapan penemuannya akan
membantu Malaysia membuka semula kesnya terhadap Batu Puteh.ICJ yang
bersidang di The Hague, Belanda, turut memutuskan bahawa Malaysia
berhak ke atas Terumbu Karang Tengah manakala hak terhadap Terumbu
Karang Selatin pula akan ditentukan di mana perairannya terletak.Usaha
sukarelaBagi Zaaba, walaupun usahanya selama ini belum menunjukkan
sebarang hasil, tetapi ia tidak pernah melemahkan semangatnya daripada
terus menjelajah keseluruh Johor untuk mengesan surat berkenaan.Sambil
menyifatkan usaha sukarelanya itu sebagai tidak lebih suatu
tanggungjawab seorang rakyat kepada negaranya, beliau berkata, sehingga
kini beliau belum terfikir untuk menamatkan inisiatifnya itu."Walaupun
Batu Puteh itu hanya merupakan batuan yang terletak di tengah-tengah
laut, tetapi ia adalah hak milik kita semua (rakyat Malaysia dan Johor)
dan usaha perlu dilakukan untuk memastikan ia (Batu Puteh) kekal milik
kita semua," katanya.Zaaba berkata beliau sehingga kini masih lagi
menerima maklumat daripada pelbagai sumber di Johor tentang
dokumen-dokumen bersejarah termasuk surat pada 1844 yang dipegang oleh
beberapa individu.Bagaimanapun, menurut Zaaba, oleh kerana beberapa
sebab tertentu, beliau menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa surat
penting 1844 oleh Gabenor Butterworth yang beribu pejabat di Singapura
pada ketika itu, masih disimpan di republik itu ketika ini.Satu
daripada sebab di sebalik keyakinannya itu adalah kerana Singapura yang
diperintah oleh British, menerusi muzium dan arkibnya, telahpun
mempunyai sistem simpanan dan penjagaan dokumen-dokumen yang baik pada
ketika itu, katanya.Beliau juga berkata satu usaha juga perlu dilakukan
untuk bertemu dan meminta bantuan daripada waris-waris Kesultanan Johor
yang masih tinggal di Singapura untuk mengesan surat itu.Menurutnya
beliau dimaklumkan bahawa waris keturunan Kesultanan Johor yang masih
tinggal di Singapura masih menyimpan pelbagai dokumen bersejarah yang
berkemungkinan boleh membantu Malaysia menuntut semula haknya terhadap
Batu Puteh.-malaysiakini

--
Posted By Topengperak_Xinwugi to Perisik Rakyat at 7/25/2008 02:30:00 PM

Kirim email ke