Masih Adakah Insan Yang Simpati?Di kemaskini pada Khamis, 
25/09/2008

  Lambaian Syawal semakin mengamit rasa. Takbir syahdu 'Idilfitri akan 
berkumandang beberapa hari lagi, Puasa dan Ramadhan yang dijalani semakin 
hampir melabuhkan tirainya. Bagi orang-orang yang beriman, terasa sebak di hati 
kerana terpaksa berpisah dengan Ramadhan yang sungguh barakah ini, dengan penuh 
harapan agar beroleh darjat taqwa dan akan bertemu lagi bulan Ramadhan di tahun 
akan datang.
  Ramadhan oh Ramadhan! Kehadiranmu amat dinanti, pemergianmu di tangisi. Dalam 
kesedihan dan kepiluan dengan  pemergian Ramadhan Al Mubarak, dan bergembira 
menyambut 'Idil fitri sebagai bulan kemenangan melawan hawa nafsu, marilah kita 
 bermuhasabah seketika  dan bersyukur dengan limpahan rahmat dan nikmat yang 
tidak terhitung dari Allah SWT. Alhamdulillah, segala pujian dan syukur kepada 
Allah SWT.
  Saudaraku,
Sedarkah kita bahawa nun di sana ada insan yang tidak mengenal erti  
kegembiraan menyambut syawal, lantaran kemiskinan dan yatim, tiada tempat untuk 
bergantung harap. Melalui program kebajikan HALUAN Pahang sempena Ramadhan ke 
desa-desa terpilih di Pekan baru-baru ini, pihak kami telah berjaya menjejaki 
insan-insan malang yang amat memerlukan perhatian dan bantuan. Kedhaifan hidup 
mereka sungguh membuatkan hati  kami teruja. Masih adakah insan yang simpati 
dengan mereka?
  Kami rasa sungguh terharu dengan penderitaan dan kedhaifan hidup mereka dan 
amat terpanggil untuk berkongsi kesedihan mereka di ruangan terbatas ini agar 
kita sama-sama boleh turut simpati dan membantu mereka dengan menghulurkan 
bantuan yang sewajarnya.
  SIMPATI 1  Puan Habibah bersama 4 orang anak. Di tinggalkan suami sejak 5 
tahun lepas tanpa sebarang nafkah. Hilang tempat pergantungan hidup. Tidak 
upaya bekerja kerana penyakit 'telesemia.' Menagih simpati sambil menangis 
memohon bantuan untuk  anak-anak meneruskan pelajaran. Anak sulung 12 tahun 
diberitakan oleh guru sekolah mempunyai potensi untuk berjaya. Sedang menunggu 
UPSR. Masih tinggal di teratak usang yang uzur dan merimaskan. Puan Habibah 
tidak segan silu menangis meluahkan masalahnya.
  
  
  
   
   
   
  SIMPATI 2  Puan Hamidah bt Karim. Ibu tunggal kematian suami sejak 5 bulan 
lalu kerana sakit lelah. Mempunyai 10 orang anak yang masih kecil dan belajar. 
Hilang tempat pergantungan hidup secara mengejut. Beliau tidak bekerja. Anak 
lelaki sulung menjadi galang, ganti ayah untuk mencari nafkah dengan kerja 
kontrak bagi membantu ibu dan adik-adik dengan pendapatan tak seberapa. Tinggal 
di rumah separa siap peninggalan suami yang serba dhaif dan tidak ada tandas. 
Bekalan eletrik atas insan rumah jiran.
  
  
  
   
   
   
  SIMPATI 3  En Saidin mempunyai 6 orang anak. Hilang upaya untuk bekerja dan 
mencari nafkah kerana sakit jantung yang serius dan sering masuk-keluar 
hospital. Isteri terpaksa bekerja menjadi buruh ladang untuk menyara keluarga 
dengan pendapatan RM20 sehari. Mempunyai anak yang potensi untuk berjaya dalam 
pelajaran. Sering hubungi kami mohon bantuan untuk membantu  anak-anak untuk 
belajar. 
  
  
  
  
   
   
   
   
  AMAT SIMPATI  Pada bulan Januari 2008, HALUAN Pahang telah menghulurkan 
sumbangan kepada Pn Aisyah, seorang ibu tunggal yang telah kematian suami (foto 
kanan.) Pn Aisyah terpaksa menjaga 4 orang anak yang masih kecil tanpa ada 
sebarang pekerjaan. Malahan, beliau juga mengidap penyakit jantung yang serius. 
Anak lelaki yang berumur 15 tahun sudah tidak bersekolah sejak tamat tahun 6, 
disebabkan kesempitan hidup. Keadaan anak-anaknya juga tidak terurus dan 
menyedihkan di Kg. Sungai Baru Sg. Miang.
  ... Terkini 
Melalui program kebajikan HALUAN Pahang sempena Ramadhan pada 17 September di 
Kg Sungai Baru Sg. Miang, kami diberitahu dan disahkan  bahawa Pn. Aisyah 
telahpun meninggal dunia meninggalkan 4 orang anak yatim piatu (foto kiri) 
Anak-anaknya masih berada di sini dan hidup atas ehsan orang kampung untuk 
sesuap makan, tempat perlindungan dan kasih sayang. Bagaimanakah nasib masa 
depan anak-anak yatim piatu ini kalau tanpa pembelaan dan bantuan yang 
sewajarnya?
   
   
  
  
  
  
  
  Masih adakah insan yang sayang dan simpati?
  Pihak HALUAN Pahang akan mengumpulkan maklumat untuk mengetahui bentuk 
bantuan yang sewajarnya boleh di berikan kepada keluarga malang dan dhaif ini. 
Kami memohon sifat ehsan dan simpati pembaca agar dapat menghulurkan bantuan 
bagi meringankan penderitaan hidup mereka. Kami alu-alukan sumbangan kewangan 
dan pakaian untuk disumbangkan kepada keluarga ini.
  Sumbangan kewangan boleh disalurkan ke akaun:
HALUAN Pahang
No Akaun: 06-019-01-005037-5
Bank Islam Malaysia Berhad.
  Sila maklumkan sumbangan anda untuk tujuan rekod kepada Setiausaha HALUAN 
Pahang di talian 013-9333316 atau emailkan [EMAIL PROTECTED]
  Disediakan oleh 
Setiausaha HALUAN Pahang

       

Kirim email ke