KUALA LUMPUR 29 Sept – Beberapa hari lepas timbul isu ‘skirt’ Ahli Parlimen 
Seputeh, Teresa Kok Suh Sim yang hadir ke majlis berbuka puasa di perkarangan 
masjid Nurussaadah, Cheras Baru. Pelbagai pihak memberikan respons mengenainya. 
Ada yang mencemuh dan ada pula yang mempertahankannya. Seperti biasa, isu ini 
kemudian diperbesarkan dan digembar-gembur demi meraih kredit politik 
masing-masing pihak.

Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Zakariah Isa menegur penampilan Teresa yang 
dikatakan tidak sopan. Dalam merespons kenyataan ini, melalui blog Teresa, Y W 
Yeoh. Setiausaha Akhbar kepada YB Teresa Kok mengatakan Teresa dalam keadaan 
tergesa kerana kesibukan hingga tidak sempat mengganti pakaiannya sejak 
dibebaskan dari ISA pada hari yang sama. Blog tersebut menyatakan bahawa skirt 
yang dipakai Teresa ketika itu adalah berpatutan, tidak melepasi lutut.

Dalam perkembangan yang sama, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul 
Razak menyentuh isu ini sebagai satu isu yang sensitif. Secara umum, beliau 
mengajak setiap dari kaum majmuk menghormati antara satu sama lain dalam 
menjaga sensitiviti masing-masing.

Isu ini sebenarnya merupakan secuil dari ‘akibat’ (simptom) dari perlaksanaan 
sekularisme di Malaysia. Undang-undang yang mengikat masyarakat yang tinggal di 
Malaysia secara umumnya, tidak menetapkan etika berpakaian, apatah lagi kepada 
yang bukan Islam. Jadi, terpulanglah kepada masing-masing. Ketidakwujudan 
peraturan berpakaian di Malaysia adalah sejajar dengan ideologi sekular yang 
dianuti oleh pemerintah yang membuka hal ini kepada multi-interpretation 
(penafsiran yang pelbagai), supaya ia menjadi asas kepada agenda kebebasan 
(freedom). Walaupun dalam banyak keadaan hal berpakaian masyarakat boleh 
mencetuskan ketidakselesaan bagi pihak yang lain, khususnya mereka yang 
beriman, namun hal ini bukanlah menjadi ukuran bagi kerajaan, kerana ia 
termasuk dalam kebebasan individu yang didewakan di dalam sistem demokrasi. Ini 
juga merupakan sebahagian dari idea-idea liberalisme yang menusuk ke dalam 
sistem pergaulan antara lelaki dan wanita di Malaysia
 sejak sekian lama.

Islam mengatur permasalahan ini dengan syariah. Undang-undang pakaian termasuk 
ke dalam undang-undang negara dan dijelaskan oleh syarak. Bagi wanita, sama ada 
Muslimah atau selainnya, menutup aurat yang sewajarnya di tempat umum adalah 
wajib, bukan hanya di masjid atau sekitarnya. Ini adalah kerana hukum syarak 
tentang undang-undang negara berkaitan aurat wanita terkena kepada semua pihak 
berdasarkan ketetapan dari Khalifah. Apatah lagi jika wanita tersebut adalah 
ahlul-zhimmah yang wajib tunduk kepada undang-undang Islam yang diterapkan di 
dalam negara.

Sebagai Muslim, kita tidak sepatutnya sensitif hanya apabila wanita kafir atau 
(wanita Muslimah sekalipun) tidak menutup aurat di kawasan masjid, namun 
perbuatan tidak menutup aurat di tempat awam adalah haram dan wajib dikenakan 
takzir. Pemerintah, yang mana kuasa penerapan hukum berada di tangannya, wajib 
menerapkan undang-undang dan menghukum sesiapa sahaja yang tidak menutup aurat 
sebagaimana yang digariskan oleh Islam. Amat malang apabila umat Islam hanya 
sensitif dengan 'skirt pendek,' namun langsung tidak sensitif dengan sistem dan 
undang-undang kufur yang menguasai Malaysia sekarang.

Di Malaysia, wujudnya sikap toleransi yang mementingkan kesejahteraan antara 
kaum dalam konteks nilai-nilai sejagat (universal values) telah mengatasi 
kemuliaan syariah itu sendiri. Ini adalah kerana sikap lemah dan bermuka-muka 
para pemimpin dan juga umat Islam terhadap isu yang dikhuatiri boleh 
menimbulkan sensitiviti kaum yang berlaku di sekitar mereka. Sudahnya, syariat 
diletakkan di belakang dan ‘sensitiviti’ kaum sentiasa diutamakan. Bersikap 
apologetik dalam memenangkan hati orang-orang kafir pasti akan menghancurkan 
syariah. Jika beginilah keadaannya, sampai bila pun orang-orang kafir tidak 
akan dapat memahami Islam dalam keadaan mereka takut dan hormat kepada 
hukum-hukum Allah, dan hormat kepada umat Islam itu sendiri. Justeru, 
pemerintah dan umat Islam wajib mengedepankan ketinggian syariat Islam, dalam 
apa jua keadaan sekalipun, tanpa memerhatikan sensitiviti isu yang bercanggah 
dengan Islam.

[Rujuk: SN094 - Hidup Harmoni Hanya Di Bawah Naungan Islam]
 
Sumber : 
http://www.mykhilafah.com/index.php?option=com_content&task=view&id=997&Itemid=56



Kirim email ke