Sekiranya Pakatan Rakyat atau bukan Barisan Nasional yang memerintah negara 
Malaysia ini , adakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim (DSAI) seorang sahaja kah yang 
layak menjadi Perdana Menteri Malaysia ?

Untuk rakyat yang mahukan perubahan pimpinan kerajaan , mana yang lebih utama ? 
Pakatan Rakyat menerajui negara atau DSAI sebagai Perdana Menteri ?

Sudah pasti yang utama ialah Pakatan Rakyat menerajui negara. Di kala Barisan 
Nasional mengenakan pelbagai cubaan untuk menyekat Pakatan Rakyat daripada 
melakukan perubahan pemerintahan negara , DSAI seharusnya mengubah strategi dan 
mempelbagaikan strategi sesuai dengan perkembangan politik semasa serta 
sentimen perkauman yang dimainkan oleh pihak tertentu.

Ketika ini seolah-olah hanya DSAI sahaja yang mampu melakukan perubahan. Apa 
akan terjadi sekiranya apa-apa berlaku pada diri DSAI , walaupun kita sentiasa 
mendoakan agar DSAI sentiasa selamat dan dilindungi agar dapat meneruskan 
agenda perubahan sehingga berjaya ?

DSAI sepatutnya sudah menanamkan keyakinan kepada rakyat , penyokong dan ahli 
Pakatan Rakyat bahawa sekiranya apa-apa berlaku pada dirinya Pakatan Rakyat 
mempunyai ramai pemimpin untuk meneruskan agenda perubahan. Malah Pakatan 
Rakyat mempunyai ramai pemimpin yang berkaliber , professional dan 
berpengalaman untuk dilantik menjadi Perdana Menteri baik dari PKR , PAS , 
Bebas atau mungkin dari mereka yang akan melompat parti.

Oleh kerana seolah-olah sekarang penyokong dan penentang Pakatan Rakyat 
ditanamkan dalam minda mereka hanya DSAI yang layak jadi Perdana Menteri atau 
akan jadi PM jika Pakatan Rakyat menerajui negara , maka pelbagai serangan 
peribadi telah dan akan ditujukan kepada DSAI.

Seperkara lagi selain daripada serangan peribadi terhadap DSAI ialah serangan 
sentimen perkauman antaranya sekiranya Pakatan Rakyat menerajui negara maka 
ahli parlimen Melayu akan kurang dalam Pakatan Rakyat, barisan kabinet Melayu 
akan kurang , Timbalan Perdana Menteri daripada bukan Melayu akan dilantik.

Isu ini seharusnya ditangani dengan bijak oleh pimpinan Pakatan Rakyat. Satu 
formula kongsi kuasa haruslah diadakan untuk menangani isu ini. Adakah 
pembahagian jawatan kabinet dan jawatan Timbalan Menteri mengikut peratusan 
kaum sedia ada yang diamalkan Barisan Nasional , mengikut peratusan pengundi , 
mengikut peratusan kaum atau mengikut peratusan ahli parlimen dan seterusnya.

Selain dari itu kerajaan negeri yang diperintah Pakatan Rakyat serta pimpinan 
Pakatan Rakyat seharusnya menilai prestasi setiap wakil rakyat dan ahli 
Parlimen mereka sejauh mana menjalankan tanggungjawab mereka.

Ini akan menunjukkan keseriusan dan kesungguhan Pakatan Rakyat untuk menerajui 
Malaysia secara amnya.

http://amkns.blogspot.com




Kirim email ke