Susunan ZUARIDA MOHYIN


HALIMAH David dibesarkan oleh bapanya dengan
penuh kasih sayang malah aspek pemantapan agama Kristian sentiasa
menjadi teras dalam pendidikan anak kesayangannya itu.

Lantaran itu, Halimah telah mula membaca kitab Injil sejak di
peringkat sekolah rendah lagi. Sayangnya, Halimah tidak berupaya
memenuhi permintaan serta cita-cita bapanya agar dia menjadi seorang
pengikut agama Kristian yang setia.


Ini kerana pada ketika itu jugalah dia sudah mula mempersoalkan
beberapa amalan dalam ajaran agama agung bapanya itu yang dikatakan
tidak selari dengan fitrah manusia dan pelbagai lagi yang boleh
dipersoalkan.


Sehinggakan pada usianya mencecah 12 tahun, Halimah sudah tidak
boleh menerima agama Kristian. Namun, dia tidak mampu berbuat apa-apa
memandangkan usianya yang baru setahun jagung.


Pun begitu, Halimah tidak pernah berhenti mencari Allah Yang Esa dan
selalu berdoa agar dipertemukan dengan kebenaran-Nya. Pada usia semuda
itu, dia kerap bermonolog dalam diri terutama yang menyentuh kewujudan
manusia, makhluk lain dan kejadian alam semula jadi.


Persoalan-persoalan seperti mengapa aku diwujudkan dan bagaimana
boleh wujudnya bumi dan alam ini kalau tidak ada satu kuasa hebat di
sebaliknya? Halimah kuat mempercayai bahawa semua ini pasti ada yang
menjadikannya.

Pada usianya 19 tahun, Halimah telah mengembara hampir ke seluruh
dunia demi mencari budaya dan kepercayaan lain demi keinginan mencari
Allah Yang Maha Berkuasa. Ketika itulah ia mengenali agama Taoism,
Wicca, Buddha, Rastafarian, Yahudi, Free Masonry, Kristian, Hindu,
Animisme dan banyak lagi.

Menerusi pencariannya itu juga Halimah pernah mengenali tentang
agama Islam. Dia tahu bahawa agama Islam itu mengakui tiada Tuhan yang
disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh Allah.

Seperkara yang menghairankan Halimah pada agama Islam ialah solat
lima waktu sehari semalam. Ini kerana dia merasakan ia sesuatu yang
menyukarkan dan tidak mungkin ia adalah agama yang dicari-cari selama
ini.

Masa berlalu, apa yang dicari tidak juga ditemui, lantas Halimah
pulang ke Amerika Syarikat dengan perasaan hampa dan kecewa kerana apa
yang diingini tidak kesampaian.

Pada usianya menghampiri 21 tahun, dia
mengambil keputusan mengikuti bidang perubatan yang menjadi impian dan
cita-citanya sejak kecil. Keputusan ini juga merupakan satu langkah
untuk melupakan kekecewaan. Alhamdulillah, Halimah lulus peperiksaan
khas kemasukan.

Untuk ke kolej, Halimah terpaksa mengambil bas Greyhound dari
Michigan menuju ke Colorado. Semasa dalam perjalanan itulah, anak gadis
ini berkenalan dengan seorang pemuda yang duduk di belakangnya.
Namanya, Ibrahim yang berasal dari Afrika dan mengambil bidang
kejuruteraan di kolej yang sama.

Ibrahim memberitahu Halimah yang dia beragama Islam. Sepanjang
perjalanan itulah banyaklah yang diceritakan oleh Ibrahim tentang agama
Islam kepada Halimah disertakan sekali dengan petikan ayat-ayat
daripada al-Quran. Apatah lagi, Halimah memang sedang mencari agama
yang benar-benar boleh mengisi kekosongan dalaman yang dicari-cari
selama ini.

Hati Halimah sudah jatuh cinta kepada agama Islam, waima mereka baru
berbual 15 minit. Tanpa berlengah, Halimah terus menyuarakan
keinginannya untuk bergelar Muslim dan akhirnya mengucap dua kalimah
syahadah dengan bantuan Ibrahim.

Saat itu juga Halimah tidak meneruskan pengajiannya tetapi mengambil
keputusan mendalami agama Islam dan berpindah ke Utah. Di sana, Halimah
bertemu dengan ramai Muslim dan mereka menerimanya sebagai sebahagian
daripada komuniti Islam di situ serta mengajarnya tentang agama Islam.

Kini, Halimah sudah berkahwin dan gembira menguruskan rumah tangga.
Di samping itu, beliau juga menulis buku-buku ilustrasi untuk
kanak-kanak. Dia turut mengendalikan laman web berkaitan kepercayaan
Islam, keperibadian, sikap dan etika perniagaan Islamik.

lPetikan daripada laman web Islam Online.net.
capaian kat 
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1211&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm

biar susah, jangan menyusahkan..     JUNHAIRI BIN ABD JALIL  EKSEKUTIF 
PEMASARAN (KAD KREDIT)  BANK ISLAM, BANK RAKYAT & EONBANK  019 - 363 5331
Pertanyaan tentang loan - 012 - 972 7430 (Puan Noraini)
Pertanyaan tentang jawatan kosong dalam Bank Islam - 03 - 2282 8400 (Puan 
Waheeda)



      

Kirim email ke