Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN


 Patung Alexander The Great di Greece menjadi bukti pahlawan agung ini sangat 
dikenali di seluruh dunia dan diiktiraf sebagai pemimpin pertama yang berjaya 
menguasai negara di Timur dan Barat.

 
MENJEJAKI kisah sejarah semata-mata mungkin membosankan penonton, namun anda 
pasti teruja jika dapat menyaksikan tembok yang dibina untuk menghalang makhluk 
perosak umat manusia Yakjuj dan Makjuj yang pernah disebut oleh Allah S.W.T 
dalam Al-Quran.
 

Dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain bakal menyingkap fakta serta kisah 
pahlawan agung yang berjaya menakluki dunia seperti yang tercatat dalam sejarah 
peradaban dunia.
 

Mengangkat kisah Nabi Zulkarnain atau Alexander The Great sebagai intipati 
cerita penonton akan dibawa menjejaki kisah sejarah pahlawan Islam yang agung 
ini sebagaimana yang tercatat dalam surah Al- Kahfi ayat 83 hingga 98.

Buah tangan sulung terbitan FM Production ini dijangka akan memberi impak serta 
mengubah perspektif masyarakat dunia mengenai peradaban dan sejarah tamadun 
Islam.
 

Menurut Penerbit Eksekutif FM Production, Zainal Rashid Ahmad, mereka mengambil 
masa selama dua tahun untuk menyiapkan dokumentari ini.

Menceritakan lebih lanjut mengenai bagaimana tercetusnya idea untuk menerbitkan 
dokumentari ini, Zainal berkata dokumentari tersebut diangkat daripada tesis 
seorang pelajar Doktor Falsafah dari Universiti Antarabangsa Islam Malaysia.
 

"Setelah membaca tesis pelajar terbabit secara terperinci dan saya terus 
mendapat ilham untuk mendokumentasikan semula kisah Zulkarnain berdasarkan 
persepsi sejarah Melayu dan Islam.
 

"Oleh kerana terdapat perbezaan di antara sejarah Melayu dan Islam mengenai 
Zukarnain, akhirnya kami mengambil keputusan untuk melihat kisahnya dari 
persepsi sejarah Islam," katanya dalam sidang akhbar pelancaran dokumentari 
Alexander Bukan Zulkarnain di Hotel PJ Hilton semalam.
 

Menurutnya, pihak penerbitan mengambil masa selama tujuh bulan untuk melakukan 
kajian secara terperinci mengenai fakta-fakta sejarah yang terdapat mengenai 
kisah Zulkarnain.
 

Ditanya mengenai cabaran untuk menyiapkan dokumentari ini Zainal berkata 
beberapa versi cerita serta pertindihan fakta mengenai kisah Zulkarnain menjadi 
halangan pada permulaannya.
 

"Terdapat beberapa versi cerita mengenai kisah Zulkarnain dan ia agak 
memeningkan kepala pihak produksi diperingkat awal. Namun setelah menjalankan 
kajian secara mendalam kami mengambil keputusan untuk mengikut sejarah Islam," 
ujarnya.
 

Pihak FM Production juga telah menerima dana sebanyak RM1juta daripada 
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia menjadikannya antara dokumentari 
berkualiti tinggi yang pernah dihasilkan di negara ini.

 Team produksi, FM Production turut diiktiraf oleh kerajaan Greece sebagai 
sebahagian daripada penyumbang sejarah Alexander The Great.

 
Jelas Zainal, apa yang cuba diketengahkan dalam dokumentari ini adalah ingin 
membetulkan persepsi perang yang sering disalah tafsir oleh masyarakat bukan 
Islam.
 

"Prinsip perang dalam Islam perlu dibetulkan dan Zulkarnain adalah antara tokoh 
pahlawan Islam yang mengetengahkan tiga konsep yang disarankan oleh Islam dalam 
peperangan.
 

"Tiga perkara penting itu adalah tidak mengambil hak-hak orang tua, kaum wanita 
serta kanak-kanak seperti mana yang diceritakan dalam surah Al-Kahfi," katanya.

Paling istimewa, team produksi FM Production telah berjaya menjejaki beberapa 
penemuan baru seperti penemuan lokasi tembok Yakjuj dan Makjuj dan lokasi laut 
berlumpur yang akan dirungkaikan dalam dokumentari berdurasi selama 60 minit 
ini.
 

Lebih mengujakan lagi apabila team produksi mereka diberi penghargaan oleh 
kerajaan Greece atas penemuaan terbabit.


 

"Kami pun sangat terkejut dengan penemuaan itu sehingga kerajaan Greece 
mengiktiraf hasil penemuaan tersebut. Kami turut diberikan satu patung 
Alexander The Great sebagai dan diiktiraf sebagai sebahagian pasukan penyumbang 
maklumat kepada sejarah Alexander The Great di sana," ujarnya ceria.
 

Menurut Zainal, tiga tokoh utama yang menjadi nadi penggerak dokumentari ini 
ialah Alexander The Great, Cyrus The Great dan salah seorang Raja dari Empayar 
Himyar.
 

Menceritakan lebih lanjut mengenai lokasi penggambaran dokumentari, Zainal 
berkata pihak produksi telah mengembara ke sembilan buah negara dengan 
merentasi tiga buah benua, Eropah, Asia dan Afrika bagi menjejaki sejarah 
Alexader The Great ini.
 

"Dengan kekutan team produksi seramai 20 orang yang dipecahkan kepada dua 
kumpulan kami akan membawa penonton mengembara ke negara kota-kota lama yang 
dikaitkan dengan Zulkarnain bermula dengan di Pella dan Acropolis (Greece), 
Alexandaria (Mesir), beberapa tinggalan sejarah penting di Yaman,Iran, Iraq, 
Uzbekistan.
 

"Team produksi kami juga turut menjejaki kisah Zulkarnain di Rusia, selatan 
China dan beberapa daerah terpencil di Afrika yang dikaitkan dengan Cyrus The 
Great serta Raja Himyar yang dipercayai sebagai Zulkarnain," katanya.
 
 

Terbitkan filem Sallahuddin Al-Ayubi
 

Bertitik tolak daripada sejarah di era kegemilangan umat Islam, FM Production 
bakal tampil menghasilkan filem sejarah pertama di negara ini.
 

Filem tersebut diadaptasi daripada kisah pahlawan perang yang tersohor di era 
pemerintahan Khalifah Al-Rashidin, Sallahuddin Al-Ayubi.

"Pada ketika ini kami sedang mencari pelabur untuk melabur dalam projek terbaru 
kami yang dijangka menelan belanja sekitar RM2.2 juta.

"Jika hari ini dunia mengenali Julius Caesar, Napolean Bonarparte dan 
tokoh-tokoh perang di Barat yang berperang kerana menjajah orang lain.

"Tapi apa salahnya kita kembalikan ingatan kita kepada tokoh pahlawan Islam 
yang cukup disegani kira-kira 1000 tahun dahulu, Sallahuddin Al-Ayubi yang 
mengetuai tiga perang utama dalam kalendar sejarah Islam," katanya.
 

Jelas beliau terdapat satu ciri persamaan yang jelas dalam diri Sallahuddin 
Al-Ayubi apabila beliau turut mengamalkan tiga prinsip yang diamalkan oleh 
Zulkarnain dalam perang, iaitu memerdekakan hamba, wanita dan kanak-kanak serta 
tidak melaksanakan hukuman bunuh kepad musuh.
 

"Tajuk filem ini Sallahuddin Al-Ayubi dari Tikrit ke Al-Aqsa, ia bakal 
mengungkap kisah disebalik bandar Tikrit yang merupakan lahirnya Presiden Iraq, 
Saddam Hussien.
 

"Lebih istimewa tokoh tersohor ini telah memerdekakan Masjid Al-Aqsa dan umat 
Islam. Namun bukan itu sahaja kerana tokoh Islam ini turut memerdekakan orang 
Kristian serta masyarakat Jews di bawah cengkaman Raja Harods yang zalim," 
katanya.
 

Tambah beliau lagi, berdasarkan kisah tersebut mereka akan membuat penggambaran 
dalam standard filem yang mana ia akan dipasarkan diperingkat antarabangsa.
 

"Sejarah ini penting bukan hanya untuk produk tempatan malah untuk mengingatkan 
seluruh dunia ada seorang lelaki Islam yang tiga kali berperang dengan musuh 
dia tapi dia satu-satunya tokoh yang berpegang pada piagam perang," ujar Zainal.
 

Sementara itu, menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertaiment Sdn. Bhd, Zainir 
Aminullah, berdasarkan sambutan yang mengkagumkan daripada penonton saluran 
Astro Oasis, pihak penerbitan merasa terpanggil untuk terus membekalkan 
program-program yang mempunyai nilai-nilai kerohanian.
 

"Dokumentari ini juga dapat memberi pengetahuan ilmiah yang sesuai dengan 
selera penonton yang mahukan inspirasi sanubari," kata Zainir.

Jelas beliau, dokumentari Alxander Bukan Zulkarnain juga bukan sekadar sebuah 
program biasa yang hanya boleh ditonton melalui televisyen kerana segala cerita 
disebalik tabir mengenai pembikinan dokumentari ini dapat dilayari bagi 
pengguna telefon bimbit yang menggunakan talian pra-bayar Celcom.
 

Tambah Zainir, Astro meras besar hati dengan usahasama untuk menjayakan 
produksi ini dalam membekalkan sebuah program hebat yang padat dengan unsur 
pembelajaran yang amat informatif.

"Hasil produksi ini bukan sahaja memberi pengajaran kepada penonton, tetapi 
telah menjawab segala keraguan serta persoalan mengenai perdebatan di antara 
identiti sebenar dua lagenda hebat dua zaman silam ini," katanya.
 

Sinopsis Alexander Bukan Zulkarnain
 

Dokumentari Alexander Bukan Zulkarnain ini membicarakan kepercayaan masyarakat 
Islam mengenai sejarah Zulkarnain seperti yang tercatat dalam Surah Al-Kahfi 
dan menyingkap persamaannya dengan tokoh pahlawan yang disanjung oleh Barat, 
Alexander The Great.
 

Tokoh ini dikatakan mempunyai ciri-ciri istimewa sehingga diberi kepercayaan 
membina tembok penghalang bagi makhluk perosak umat manusia Yakjuj dan Makjuj. 
Apakah keistimewaan beliau sehingga namanya tercatat dalam Al-Quran?
 

Persoalan mengenai siapakah Zulkarnain akan dirungkaikan dalam dokumentari 
selama lima episod ini dan akan disiarkan bermula 9 Januari depan, setiap 
Jumaat jam 10 malam di saluran Astro Oasis (106).


      

Kirim email ke