Memperkasa toleransi agama di kampus
universiti
Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad
Fri | Dec 26,
08 | 12:47:41 pm MYT
Mahasiswa
yang menuntut di pusat pengajian tinggi seluruh negara terdiri daripada
mereka yang menganut agama yang berbeza.Namun begitu perbezaan agama
tidak sewajarnya menjadi penghalang kearah usaha memperkasa perpaduan,
mengeratkan ukhwah dan menyemai cinta dan kasih sayang di kalangan
mahasiswa.
Iklan
Dalam konteks Malaysia sebagai masyarakat
majmuk,mahasiswa sepatutnya sedar dan insaf bahawa mereka perlu hidup
bersama dalam keadaan aman dan harmoni dan tidak terpengaruh dengan
dakyah perkauman dan pemahaman agama yang sempit.Ajaran agama perlu
difahami dengan tepat dan terbuka memandangkan perbezaan agama tidaklah
bermakna kita perlu saling bermusuhan dan benci-membenci antara satu
sama lain bahkan mesej agama itu sendiri ialah cinta.
Perjuangan agama seperti agama Islam itu ialah perjuangan
cinta.Wajah agama itu ialah wajah yang toleran,menyeru kearah
kedamaian,keamanan dan saling hormat-menghormati.Ajaran agama Islam
menolak sikap taksub melampau,peperangan,permusuhan,pertelingkahan
bahkan menyeru kita menghormati kepelbagaian aliran pemikiran agama.
Melihat realiti di kampus universiti,tahap kesedaran dikalangan
mahasiswa terhadap sikap toleransi terhadap agama masih rendah.Masih
ada mahasiswa yang cenderung bergaul dan bersahabat hanya dengan mereka
yang satu bangsa dan satu agama dengannya.
Di kafeteria,mereka duduk makan sesama sendiri sahaja.Di
bilik-bilik kolej kediaman mereka hanya mahu tinggal sekelompok mereka
sahaja.Program-program yang melibatkan bangsa dan agama lain mereka
tidak akan hadir.
Ini tentunya menyebabkan integrasi social tidak
berlaku.Mahasiswa yang mempunyai pemikiran sebegini pastinya tidak akan
faham dan mengerti akan budaya,ajaran agama sahabat mereka yang lain
dan akhirnya jadilah mereka umpama kera sumbang dan katak di bawah
tempurung.
Persatuan-persatuan berasaskan agama seperti Persatuan
Mahasiswa Islam ,Kristian,Hindu,Buddha, dan lain-lain di kampus
universiti bolehlah mengadakan program bersama yang melibatkan
kerjasama mahasiswa dari pelbagai agama seperti mengadakan
program-program kebajikan yang melibatkan masyarakat seperti menziarahi
rumah anak-anak yatim dan warga tua,ziarah pesakit di
hospital,gotong-royong dan sebagainya.
Ini dapat memupuk perasaan kasih sayang terhadap semua golongan
tanpa mengira agama dan kepercayaan apapun seterusnya menyedarkan
mahasiswa dari anutan agama yang berbeza bahawa mereka semuanya tidak
lain tidak bukan ciptaan Tuhan yang Maha Esa.
Dialog antara agama juga perlu selalu diadakan agar mahasiswa
dapat memahami selok-belok ajaran agama lain dengan harapan mereka
dapat menghormati penganut agama lain.Menghormati penganut agama lain
tidak sedikit pun mengurangkan iman kita terhadap agama yang kita anuti
bahkan lebih membuatkan orang lain menghormati agama anutan kita.Semoga
pemikiran mahasiswa lebih matang dengan mengamalkan toleransi agama
seterusnya menyemarakkan perjuangan cinta antara manusia .-azm
(Penulis merupakan Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya)_