Sheikh Zubir al-Filfulani: Ulama
pengasas PAS
Mohd Fadli Ghani
Thu | Dec 25,
08 | 1:04:08 pm MYT
TOKOH pendidikan Islam yang terkenal di negara ini, Sheikh Zubir Ahmad
al-Filfulani, masyhur kerana pernah menjadi Mudir Madrasah Darul Ulum,
Makkah dan kemudian memimpin Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan.
Iklan
Beliau ialah salah seorang ulama yang menjadi pengasas PAS ketika
majlis penubuhan PAS di Butterworth pada 24 November 1951 dan pernah
bertanding dalam pilihan raya atas tiket PAS pada 1959 di Perak.
Namun begitu, di kalangan pengkaji, nama Sheikh Zubir lebih dikenali
sebagai tokoh pendidikan berbanding sebagai seorang ulama PAS. Gelaran
al-Filfulani yang dilaqabkan pada namanya itu bermaksud beliau berasal
dari Pulau Pinang.
Sheikh Zubir bin Ahmad Ismail bin Ibrahim bin Muhammad Nor
telah dilahirkan di Pulau Pinang pada 1905. Ketika berusia tujuh tahun,
beliau mula mendapat pendidikan agama secara formal di Madrasah
Islamiah, Pulau Pinang dan akhirnya menjadi pelajar di Madrasah
al-Mashoor al-Islamiah, Pulau Pinang pada 1920.
Di madrasah ini, beliau menerima sentuhan ilmu daripada ulama-ulama
terkenal seperti Sheikh Abdur Rahman Firdaus al-Makki, Sheikh Muhammad
Radhi al-Makki, Saiyid Ahmad Dahlan al-Makki, Sheikh Abdullah
al-Ghadamsi al-Maghribi, Sheikh Tahir Jalaluddin al-Minankabawi
al-Falaki dan Sheikh Husein Rafi'. Selepas empat tahun di madrasah ini,
beliau berhijrah ke Makkah pada 1924 kerana menyambung pengajian di
sana dan tinggal bersama Sheikh Qadhi Ahmad al-Qari.
Di
Makkah, Sheikh Zubir belajar di Madrasah Hashimiah Syarif Hussin bin
Ali selama setahun di bawah bimbingan Sheikh Umar Ba Juneid, Sheikh
Jamal al-Maliki, Sheikh Habibullah asy-Syanqithi, Sheikh Muhammad
Zaidan asy-Syanqithi dan Sheikh Umar Hamdan al-Mahrasi. Setahun
kemudian, beliau memasuki pula Madrasah Shaulatiah al-Hindiah yang
terkenal itu sehingga 1930 dan mendapat Syahadah Nihayah.
Antara guru-guru beliau di madrasah ini ialah Sheikh Salim Rahmatullah,
Sheikh Mahmud Arif al-Bukhari, Sheikh Abdul Latif al-Qari, Sheikh Hasan
bin Muhammad al-Masyath, Sheikh Mukhtar Makhdum dan Sheikh Abdullah
al-Bukhari. Dalam masa yang sama, beliau turut menadah kitab di
Masjidil Haram di bawah tunjuk ajar Sheikh Sa'id bin Hasan Yamani,
Saiyid Abdullah Shalih az-Zawawi, Sheikh Muhammad Ali al-Maliki, Saiyid
Shalih Syatha, Sheikh Muhammad al-Arabi at-Tubbani dan ramai lagi.
Selepas tamat belajar di Madrasah Shaulatiah, Sheikh Zubir mula
mengajar di rumahnya dan juga di Masjidil Haram sehingga 1933. Ketika
itu, seorang agen perisik British yang menjadi Pegawai Haji, Abdul
Majid Zainuddin telah melancarkan propaganda perkauman kepada pelajar
Melayu, khususnya di Madrasah Shaulatiyah. Madrasah Shaulatiyah adalah
pusat pengajian ulamak-ulamak India yang kebanyakannya anti-British dan
Abdul Majid Zainuddin bertugas memantau perkembangan nasionalisme orang
Melayu di madrasah ini. Akhirnya, dengan propaganda Abdul Majid
Zainuddin, beratus pelajar Melayu meninggalkan madrasah ini kerana
tidak mahu belajar dengan guru India. Atas dorongan Abdul Majid
Zainuddin, Sheikh Zubir bersama Sayyid Muhsin Ali al-Masawi, seorang
ulamak berasal dari Indonesia telah mengasaskan Madrasah Darul Ulum di
Syuib Ali, Makkah pada 1933.
Pada mulanya Sheikh Zubir menjadi Naib Mudir madrasah ini,
tetapi ekoran kematian Sayyid Muhsin pada 1935, Sheikh Zubir menjadi
mudir selama lima tahun. Selain menjadi mudir di sini, beliau turut
menaburkan ilmu di Masjidil Haram dan mempunyai murid yang ramai. Pada
1937, Sheikh Zubir turun ke Tanah Melayu bersama Kiyai Abdul Rashid
Sidek dari Palembang untuk mengutip derma bagi membangunkan Madrasah
Darul Ulum dan juga Madrasah Zarbayah Ain, Masjid Tinggi, Bagan Serai.
Sheikh Zubir juga terlibat secara langsung dalam majlis penubuhan
Madrasah al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, Bagan Datoh pada 1937 iaitu
institusi pendidikan yang ditubuhkan oleh bapa bekas Timbalan Yang
Dipertua Agung PAS, Datuk Hassan Adli. Pada 1940, Sheikh Zubir telah
kembali ke Tanah Melayu dan mengajar sementara di Madrasah al-Huda,
Pulau Pinang, kemudian berhijrah ke Perak.
Madrasah pertama yang beliau mengajar di Perak ialah Madrasah
al-Ulum asy-Syar�iyah, Batu 20, iaitu madrasah yang beliau sendiri
asaskan bersama Tuan Guru Haji Mohd Arshad Mohd Salleh. Sepanjang zaman
Jepun, Sheikh Zubir menjadi Wakil Mudir madrasah ini dan mula berpindah
ke Masjid Tinggi pada 1946 iaitu mengajar di Madrasah al-Akhlak
al-Islamiyah yang ketika itu dikendalikan oleh Ustaz Abdul Rahman Mohd
Arshad (abang Ustaz Hassan Adli). Shiekh Zubir dikatakan pernah menjadi
mudir di madrasah ini selepas Perang Dunia Kedua. Antara murid beliau
yang terkenal di madrasah ini ialah Ustaz Datuk Hassan Adli Mohd
Arshad, bekas Timbalan Yang Dipertua Agung PAS.
Pada 1948, Sheikh Zubir telah diminta oleh Sultan Perak untuk menjadi
mudir di Madrasah Idrisah setelah Sheikh Abdullah Fahim meletakkan
jawatan. Sheikh Zubir merupakan antara mudir madrasah ini yang paling
lama dan paling terkenal kerana beliau memimpin madrasah ini sehingga
1975 iaitu selama hampir 28 tahun. Ketika zaman beliaulah, Madrasah
Idrisiah memprkenalkan Kelas Tujuh, Kelas Lapan dan akhirnya Kelas
Thanawi Rabiie.
Di samping aktif dalam dunia pendidikan, Sheikh Zubir adalah
ulamak progresif yang sentiasa mahukan kerajaan Islam ditegakkan. Ini
tergambar dalam kata-kata aluan buku �Suluh Kemajuan (1952)� tulisan
Sheikh Abdul Karim Othman as-Sarawaki. Beliau menyebutkan, �Maka
orang-orang Islam di zaman dahulu kala berpegang kepada ajaran-ajaran
Islam yang sebenar. Maka dapatlah mereka menjadi satu umat yang
dihormati.
Dan pula jadilah mereka membangunkan dan mendirikan sebuah
kerajaan Islam yang besar dan mempunyai gah kemasyhuran seluruh dunia.
Mudah-mudahan Allah s.w.t. menggerakkan dan menyedarkan umat-umat Islam
seluruh alam dunia ini mengikut jejak datuk nenek mereka yang Islam
dahulu kala.� Itulah harapan dan kesedaran beliau terhadap kepentingan
menubuhkan negara Islam.
Kerana kesedaran ini, Sheikh Zubir ketika berada di Masjid Tinggi telah
menjadi tenaga penting dalam gerakan Hizbul Muslimin semenjak 1947
sehingga parti itu dilumpuhkan oleh British pada Ogos 1948. Sebagai
Mudir Madrasah al-Akhlak al-Islamiyah, Sheikh Zubir bergiat cergas
dalam LEPIR iaitu badan pendidikan Hizbul Muslimin.
Pada akhir 1947, LEPIR telah menubuhkan Pusat Pentadbiran
Sekolah-sekolah Rakyat dan Sheikh Zubir diberikan kepercayaan sebagai
pengelola pusat ini. Walau bagaimanapun, kerana keuzuran, pada awal
1948 beliau melepaskan jawatan ini, tetapi guru-guru dan pelajar di
Masjid Tinggi dan Selinsing seperti Ustaz Abdul Wahab Nor (bekas
Pesuruhjaya PAS Perak), Abdul Raof Nor, Mohamad Abbas, Mohd Nor
Mokhtar, Abdullah Hakim dan lain-lain terus digalakkan bergiat cergas
dalam Hizbul Muslimin sehingga beberapa di kalangan mereka ditahan oleh
British pada 1948.
Setelah Hizbul Muslimin terkubur, Sheikh Zubir menumpukan perhatian
kepada tugas barunya di Madrasah Idrisiah, tetapi tetap berjuang untuk
menegakkan negara Islam. Sebagai bukti komitmen beliau, pada 24
November 1951, Sheikh Zubir telah menghadiri Persidangan Persatuan
Ulama Se-Malaya yang akhirnya berjaya menubuhkan PAS.
Ketika ini, Raja-raja Melayu mempunyai hubungan yang agak tegang dengan
para ulama kerana desakan untuk menyatukan pentadbiran agama. Sheikh
Zubir selaku mudir sebuah madrasah yang dikawal oleh Sultan Perak
menghadiri persidangan ini sebagai wakil bebas. Dalam pilihan raya umum
pertama pada 1959, Sheikh Zubir telah dicalonkan oleh PAS untuk
bertanding di Parlimen Bagan Datoh tetapi beliau tewas. Selepas pilihan
raya ini, beliau tidak lagi menjadi calon kerana kedudukannya sebagai
mudir di madrasah tersebut.
Walau tidak menjadi calon, Sheikh Zubir terus memberikan
komitmen kepada PAS dengan menjadi penasihat dan tempat rujukan dalam
pelbagai isu agama. Setelah bersara sebagai mudir Madrasah Idrisiah
pada 1975 dalam usia 70 tahun, Sheikh Zubir hanya memberikan tumpuan
kepada kegiatan dakwah di masjid dan tidak lagi cergas dalam politik.
Pada 1984, dalam usia 79 tahun, Sheikh Zubir bin Ahmad al-Filfulani,
seorang ulama yang banyak berjasa kepada tanah air telah kembali ke
rahmatullah.- tajdid
_