Bahasa Inggeris: Gapena tetap mahu saman, perhimpunan 15 Februari
  
  
    Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

PETALING JAYA: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena)
tetap mahu mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan jika
meneruskan dasar pembelajaran dan pengajaran Sains dan Matematik dalam
Bahasa Inggeris.

Sehubungan itu badan tersebut menjelaskan, 31 Disember ini bukan
bukan tarikh akhir sebenar yang diberikan kepada kerajaan berhubung
pendiriannya.

Ketua 1 Gapena, Prof. Emeritus Tan Sri Ismail Hussein berkata,
tarikh 31 Disember bukanlah tarikh akhir badan meneruskan
perancangannya menggunakan perundangan sebagai langkah susulan.

"Kita masih berbincang dengan teman-teman dari bidang perundangan
mengenai cara yang bagaimana boleh kita gunakan untuk selesaikan isu
ini.

"Kita juga masih tunggu keputusan kerajaan sama ada teruskan atau
tidak dasar ini, tapi jika mereka teruskan maka kita akan tetap akan
ambil tindakan undang-undang," katanya kepada mStar Online.

Selasa lalu, Ketua 2 Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar
menegaskan Gapena tidak berganjak dengan ketetapannya untuk mengambil
tindakan undang-undang sewajaranya jika Kementerian Pelajaran
meneruskan dasar itu yang dilaksanakan sejak enam tahun yang lalu.

Gapena sebelum ini mendesak kerajaan supaya membuat keputusan untuk
menukar kembali pengajaran dan pembelajaran keduadua subjek itu kepada
bahasa Malaysia.
Ismail menjelaskan, mesyuarat Jawatankuasa Kerja Gapena hari ini
akan turut membincangkan mengenai tindakan susulan mereka bagi
menangani isu ini.

Ismail turut menjelaskan bahawa Gapena masih belum berpuas hati
dengan kenyataan Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
yang akan mempertimbangkan mengenai pelaksanaan dasar tersebut.

"Kenyataan menteri itu masih belum memuaskan kerana kami mewakili budayawan 
Melayu tidak bersetuju dengan langkah kerajaan ini.

"Kalau hampir semua budayawan di negara ini keberatan dengan dasar
ini, maka sudah pasti ada sesuatu yang kami dikuatiri," katanya.


Beliau turut berharap agar kerajaan menimbangkan pandangan golongan
budayawan yang mahukan pengajaran subjek Sains dan Matematik diajar
dalam bahasa Malaysia.

Ditanya mengenai perancangan susulan Gapena jika kerajaan
menagguhkan untuk keputusan mengenai perkara ini, beliau berkata,
gabungan itu juga sedang merangka untuk mengadakan satu perhimpunan
khas bagi menyuarakan bantahan.

"Kita rancang untuk adakan satu perhimpunan pada 15 Februari depan.
"Pilihan tarikh berkenaan adalah simbolik kepada Perkara 152
Perlembagaan Persekutuan iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan," katanya.

Bagaimanapun jelasnya perkara itu masih berada dalam peringkat perbincangan.




      

Kirim email ke