Kasut itu sepatutnya singgah ke muka
pemimpin Arab
Ahmad Tajdid
Thu | Jan 01,
09 | 1:02:48 pm MYT
Stesen TV Al-Jazeera dalam rancangan "Inside" yang disiarkan
di Malaysia melalui rangkaian Astro, 31 Disember lalu
menampilkan debat dalam talian (online) antara tiga panelis
berhubung isu serangan terbaru regim haram Israel ke atas
semenanjung Gaza.
Iklan
Ia menampilkan seorang aktivis media Palestin berbangsa Arab,
aktivis hak asasi manusia berpangkalan di London berbangsa
Inggeris, dan seorang ahli akademik Israel berbangsa Yahudi.
Ketiga-tiga panelis memberikan hujah mereka secara bersahaja
dan meyakinkan, menandakan konflik yang berlaku di Palestin
kini memang sudah berada dikotak pemikiran mereka.
Aktivis media Palestin berbangsa Arab itu sudah pasti
memberikan pandangan bersandarkan fakta yang menyebelahi
rakyat Palestin, yang bagi beliau menjadi mangsa kekejaman
Isreal. Israel baginya bukan sahaja bermaharajalela menyerang,
menindas dan membunuh rakyat Palestin; malah berjaya
meyakinkan masyarakat antarabangsa bahawa negara pengganas itu
adalah sebenarnya 'mangsa' kepada tindakan ganas rakyat
Palestin khususnya Hamas. Dan tindakan Israel menyerang
Palestin dilihat oleh sekutu-sekutu rapatnya - Amerika,
Britain dan Eropah - sebagai usaha mempertahankan diri
daripada serangan pejuang Hamas!
Aktivis hak asasi manusia berpusat di London - seorang
perempuan tua berbangsa Inggeris - secara terang-terangan
membela Hamas yang pada hemat dirinya adalah pertubuhan sah
yang dipilih oleh rakyat Palestin khususnya di Gaza.
Beliau bukan sahaja mengecam Israel kerana keganasannya,
tetapi juga menempelak kuasa besar dunia khususnya Amerika
yang enggan menerima Hamas sebagai penguasa di Gaza; satu
pilihan rakyat Palestin yang dibuat melalui proses demokrasi.
Seorang lagi panelis, ahli akademik Israel pula pastinya
melihat isu itu melalui sudut pandang negaranya. Beliau
membela kempen serangan Isreal terhadap Gaza dan menyalahkan
Hamas yang baginya menjadi duri dalam daging kewujudan negara
Israel. Hamas bagi beliau adalah kumpulan pengganas yang
dikelompokkan bersama Syria, Iran dan Hizbullah. "Paksi
kejahatan" ini, tidak mengiktiraf kewujudan Israel dan mahu
negara Yahudi itu dihapuskan daripada peta dunia.
Perbincangan atau lebih tepatnya perdebatan antara tiga
panelis itu amat menarik untuk disorot. Bagaimanapun penulis
rasa terpana dengan sanggahan hujah ahli akademik Israel itu.
Menurut beliau, jika benar serangan Isreal terhadap Gaza itu
bakal menggugat keamanan serantau dan menjadikan rantau Timur
Tengah sebagai tidak stabil, mengapa tiada sebarang tindakan
atau bantahan dibuat oleh negara-negara Arab di rantau itu
terhadap operasi ganas tentera Israel di Gaza? Dan baginya,
sikap tidak peduli dan acuh tak acuh negara-negara Arab
serantau terhadap konflik terkini yang tercetus di Gaza,
menandakan kempen ganas Israel terhadap penduduk Palestin
khususnya pejuang Hamas 'direstui' negara-negara tersebut.
Maka penulis pun teringat kisah seorang wartawan Iraq,
Muntazer Al-Zaidi yang melemparkan kasut ke arah Presiden
Amerika, George Bush dalam satu sidang akhbar bersama Perdana
Menteri Iraq, Nouri Al-Maliki di Baghdad, baru-baru ini.
Muntazer ditangkap dan bakal didakwa kerana kesalahan menghina
seorang pemimpin negara asing.
Beliau tidak menyesali tindakannya itu malah dianggap sebagai
hero oleh masyarakat Arab kerana berjaya memalukan Bush yang
banyak melakukan jenayah kemanusiaan di rantau itu. Ada yang
mahu menjadikannya menantu kerana tertarik dengan
keberaniannya. Tidak kurang juga yang berdemonstrasi membawa
kasut di tangan bagi menyatakan sokongan terhadap tindakan
Muntazer.
Menyesali kegagalan pemimpin-pemimpin negara Arab menangani
isu Palestin apatah lagi membela rakyat Palestin di Gaza yang
kini menjadi bahan belasahan Isreal; alangkah baiknya jika
kasut-kasut pemuda Arab itu singgah ke hidung-hidung para pemimpin mereka!_