Akan berjayakah boikot yang bermusim?
Saidah Hairan
Thu | Jan 15, 09 |  8:51:59 pm MYT


Dalam
senarai barangan produk Amerika-Israel yang disyorkan beberapa pihak
agar diboikot berikutan keganasan rejim Zionis di Gaza, terdapat dua
gergasi makanan segera iaitu Kentucky Fried Chicken (KFC) dan
McDonald�s yang yang begitu popular di kalangan rakyat Malaysia,
terutama kanak-kanak.

Iklan


Persoalannya mampukah rakyat Malaysia tidak
mengunjungi premis KFC dan McDonald's yang begitu sinonim dengan
kanak-kanak, buat sementara waktu ini, selama sebulan, dua bulan atau
selama-lamanya?

Dua jenis makanan segera yang mudah didapati di mana-mana ini
mempunyai kaitan dengan syarikat Amerika-Israel yang menjadi dalang
kekejaman dan keganasan rejim Zionis terhadap rakyat Palestin. Selain
makanan, minuman dihidangkan biasanya adalah Coca-cola dan Pepsi, juga
didakwa ada kepentingan Amerika-Israel.

Pernahkah rakyat Malaysia khususnya umat Islam membayangkan
keuntungan yang diperolehi oleh pihak berkenaan hasil jualan KFC,
Coca-cola, Pepsi dan McDonald's.

Menurut seorang bekas kakitangan KFC di bandar Batu Pahat,
setiap hari 6,000 ketul ayam digoreng dengan keuntungan yang diperolehi
pada hari biasa kira-kira RM5,000 hingga RM6,000. Manakala pada hari
minggu dan cuti umum keuntungan yang diperolehi melebihi RM10,000. Ini
tidak termasuk premis KFC yang ada di pekan lain dalam daerah Batu
Pahat.

Bagaimana dengan keuntungan yang diperolehi di bandar-bandar
besar seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Shah Alam dan Putrajaya yang
mempunyai banyak premis KFC dan McDonald's?

Sejak serangan Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza
sejak 28 Disember tahun lalu, PAS telah mengetuai demonstrasi dengan
menghantar memorandum kepada Kedutaan Amerika di Jalan Tun Razak.
Setiap minggu selepas solat Jumaat perhimpunan dan perarakan
mengutuk kekejaman Zionis Israel dan Amerika diadakan di setiap negeri.

Laungan mengutuk kekejaman Israel dan Amerika bergema memecah kesibukan suasana 
jalan raya ketika itu.
Bagaimanapun apakah bantahan itu hanya dilaungkan dalam
perhimpunan tersebut sedangkan dalam masa yang sama ada lagi rakyat
Malaysia dan umat Islam yang melutut menyembah Yahudi Israel dan
Amerika?

Melutut bukan bermaksud berhadapan dengan wakil mereka tetapi
menyumbat mulut anak isteri dan keluarga dengan menyumbang wang kepada
premis KFC, McDonald's, Coca-cola dan Pepsi.

Selain itu, ramai masih setia menggunakan ubat gigi jenama
Colgate, menghirup minuman di Starbucks, membeli barangan Nestle dan
lebih malang masih menghisap rokok yang mempamerkan kehebatan ibu kota
antarabangsa, London, Paris dan New York.

Tergamakkah kita menyaksikan mulut kita mengutuk kerana tidak
puas hati dengan sikap biadap Israel dan Amerika tetapi daripada sudut
ekonomi kita masih membantu mereka? Salah siapa?

Apakah umat Islam dan rakyat Malaysia masih mahu bersengkokol
dengan Israel dan Amerika untuk terus menghancurkan rakyat Palestin?

Keseriusan pihak prihatin dalam menggerakkan kempen boikot
perlu diteruskan. Media termasuk stesen TV juga boleh berperanan dengan
tidak mengiklankan barangan yang ada berkaitan kepentingan Israel
Amerika seperti KFC, Coca-cola dan McDonald's.

Apa yang dikesalkan sejak kempen boikot dilancarkan, sesetengah
stesen televisyen bukan sama-sama membantu tetapi semakin ghairah
mengiklankan produk KFC, Coca-cola dan McDonald's.

Ketua Dewan Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh menyeru
umat Islam sedunia supaya bersungguh-sungguh dalam memboikot barangan
yang mempunyai kaitan dengan Israel dan Amerika.

Beliau berkata Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) perlu
bertindak dengan cepat dan mengusahakan agar negara anggotanya tidak
terlalu bergantung sepenuhnya kepada ekonomi Amerika.

Katanya, ini kerana negara-negara umat Islam sewajarnya sudah
memikirkan transaksi tidak membabitkan dolar Amerika sebaliknya
memikirkan mata wang yang lain iaitu dinar emas supaya ummah tidak
bergantung sepenuhnya kepada ekonomi Amerika yang menjadi dalang Zionis
Israel.

Bagi mengatasi Malaysia terus bernaung dan bergantung kepada
kedudukan ekonomi Amerika beliau menyarankan supaya negara dan OIC
sendiri memberikan perhatian pada sektor pertanian.

Selain itu beliau turut terkilan kerana ramai di kalangan
rakyat dan umat Islam yang tidak sedar dengan taktik halus Yahudi
Israel dan Amerika yang disalurkan melalui penjualan rokok.

Ini kerana tambah beliau, apabila seorang itu telah ketagih
rokok ia memberi jalan mudah untuk menghisap dadah dan minuman keras.

Tanpa disedari Zionis Israel dan Amerika telah berjaya
memusnahkan akidah atau nilai-nilai murni umat Islam, itulah taktik
halus yang digunakan oleh Yahudi dari dulu tetapi tidak disedari oleh
umat Islam, katanya.

"Apabila umat Islam sudah lalai dengan minuman keras mereka
tidak akan memikirkan untuk membina ekonomi sendiri, sebab itu negara
kita bergantung penuh kepada ekonomi Barat," ujar beliau.

Berhubung tindakan terhadap aktivis anti-Israel, awal tahun
1997 Ketua Pemuda PAS ketika itu Mahfuz Omar dan Timbalannya,
Salahuddin Ayub telah ditangkap polis kerana didakwa menggepalai
demonstrasi menentang kehadiran pemain kriket Israel.

Polis telah melakukan tangkapan dengan mengepung kawasan masjid
Universiti Malaya dari petang hingga malam semata-mata kerana
bersengkokol dengan rejim Israel.

Selain dua pimpinan Pemuda, turut ditangkap aktivits parti dan
seorang wartawan Harakah. Bagaimanapun mereka dilepaskan setelah
bermalam di surau balai polis Bangsar.

Sejak itu boikot terhadap barang-barang keluaran Israel dan
Amerika turut dilakukan tetapi hanya 'hangat-hangat tahi ayam'. Boikot
KFC sudah lama dilaungkan tetapi antara pengunjung KFC, McDonald's,
Starbucks dan penghisap rokok jenama Amerika-Israel sebahagiannya
adalah orang Islam, malah PAS.

Ini menunjukkan seolah-olah boikot adalah mengikut musim. Musim
umat Islam diganasi Israel masa itu laungan boikot barangan bergema
selepas habis perang, premis dan barangan yang ada kaitan
Amerika-Israel menjadi tumpuan rakyat Malaysia khususnya umat Islam.

Justeru, apakah boikot kita untuk melumpuhkan ekonomi dua negara gergasi itu 
akan berjaya? - lanh
_

Kirim email ke