Figur: Syeikh Hamzah teguhkan Ikhwan di Jordan 
Ustaz Zainudin Hashim 
Mon | Jan 19, 09 | 12:56:10 pm MYT


  
Gerakan
Ikhwan Muslimun bukan satu nama baru dalam dunia dakwah dan perjuangan
Islam. Ia telah tersebar di seluruh pelosok dunia selepas ditekan oleh
kebanyakan pemimpin negara di dunia Islam khususnya di Mesir. Semakin
ditekan ia semakin dikenali dan diterima oleh masyarakat antarabangsa.
Ini menunjukkan bahawa Ikhwan mempunyai cawangan di mana-mana hingga
dalam negara haram Israel pun ada.

Iklan   

    
    
Fokus kali ini mengajak para pembaca mengenali
seorang tokoh Ikhwan di Jordan yang terpaksa mengharungi gelombang
tribulasi ketika berdepan dengan golongan Sekularisme yang sememangnya
mahu melihat Islam terkubur. 
Walau bagaimanapun apa sahaja bentuk rintangan yang dihadapi,
kerana penguasaan ilmu-ilmu agama yang mantap dan kental, Ikhwan Jordan
dapat meneruskan kerja-kerja amal dengan mengajak manusia seluruhnya
kepada Islam, termasuklah dalam amalan berpolitik bagi menyatakan
kebenaran Islam dalam sidang Dewan Rakyat. Itulah yang dilakukan oleh
Syeikh Hamzah Mansour salah seorang ahli Parlimen Ikhwan Jordan.



Mengenali Syeikh Hamzah
Syeikh Hamzah Abbas Mansour dilahirkan di sebuah kampung bernama al-Mansi dalam 
daerah Haifa pada 1944m/1363H.

Beliau mendapat pendidikan awal di peringkat rendah dan menengah
di kampung asalnya, sementara di peringkat pengajian tinggi iaitu
peringkat Sarjana Muda dalam takhassus Bahasa Arab dan di peringkat
Sarjana pula dalam bidang Manhaj Pendidikan Bersepadu di Universiti
Jordan. 
Berkarier di Kementerian Pendidikan selama 24 tahun dalam
pelbagai jawatan hingga bersara sebelum menceburi bidang politik
sepenuh masa.

Suasana politik di Jordan sama sekali tidak sama dengan di
beberapa negara Arab lain seperti Mesir dan Libya. Ini kerana ia
mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang kini diterajui oleh Raja
Abdullah 11 sekali gus sebagai Ketua Tertinggi Angkatan Tentera Jordan.

Sementara yang melaksanakan pentadbiran negara pula dilakukan
oleh Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam urusan di Dewan Rakyat
dan membentuk Kabinet dan membahaskan isu-isu negara dalam Parlimen.

Perdana Menteri dipilih langsung oleh Raja sementara
anggota-anggota jemaah menteri dipilih dalam satu pilihan raya khas di
kalangan parti-parti yang bertanding, antaranya Parti Kesatuan
Demokratik Rakyat Jordan, Parti Rakyat Jordan, Parti Barisan Amal
Islami (Ikhwan Muslimun), Parti Komunis Jordan dan Parti Ba'ath
Kemajuan Arab.



Jawatan dalam Gerakan Ikhwan
Pengalaman luas Syeikh Hamzah dalam kementerian, telah banyak
mengajar beliau mengenai kemunduran umat Islam khususnya dalam memahami
ajaran agama mereka sendiri mahupun yang berkaitan dengan politik
negara dan antarabangsa.

Justeru, Syeikh Hamzah rasa terpanggil untuk mengetuai pelbagai
persatuan yang bersifat ilmiah, kemasyarakatan dan yang berkaitan
dengan parti politik melalui Gerakan Ikhwan Muslimun itu sendiri. 
Syeikh Hamzah yang dikenali di kalangan pengamal politik Jordan
sebagai seorang yang bersifat sederhana yang boleh diterima oleh
segenap pihak dari pelbagai latar belakang pegangan dan amalan politik
kerana beliau bersikap terbuka kepada semua.

Syeikh Hamzah pernah dilantik sebagai Timbalan Majlis
Pemesyuaratan Rakyat dari 1989 hingga 1997 dan dilantik semula bagi
sesi 2007 hingga 2011, beliau juga dilantik sebagai Ketua Whip Parti
Barisan Amal Islami untuk sesi iaitu pada 1993 hingga 1997 dan 2007
hingga 2011.

Di peringkat parti, Syeikh Hamzah merupakan pengasas Parti
Barisan Amal Islami dan menganggotai Majis Syura parti sejak
ditubuhkan, menganggotai Majlis Syura Ikhwan Muslimun.

Sementara di peringkat kebajikan dan kemasyarakatan pula,
Syeikh Hamzah dilantik sebagai Pengerusi Lajnah Pelaksana bagi
melindungi negara daripada ancaman luar, anggota Urusetia Persidangan
Parti-parti politik Arab, Timbalan Ketua Ikatan ahli-ahli Parlimen
dunia bagi mempertahan rakyat Palestin, Timbalan Ketua Lajnah
Penyelamat rakyat Iraq dan Pengerusi Kesatuan Bulan Sabit Hijau Jordan
hingga kini.



Penglibatan dalam bidang ilmu
Dalam kesibukan berkarier sebagai ahli politik, Syeikh Hamzah tidak
lupa untuk beramal untuk hari akhirat, iaitu mengkhususkan sedikit masa
bagi menyediakan amal-amal jariah melalui bidang penulisan yang
dianggap sebagai satu-satunya amalan yang berterusan walaupun sudah
menemui Allah SWT. 
Syeikh Hamzah hanya sempat menyiapkan tiga buah buku di samping
kertas-kertas kerja yang dipersembahkan dalam beberapa siri seminar
mengenai keadaan umat Islam pada abad ke-15 hijrah, mengenai isu
Palestin menurut hokum Syariat Islam dan lain-lain. Buku-buku yang
sempat dihasilkan adalah seperti Kalimat wa Mawaqif, Wa hakaza
Allamatni Dakwat al-Ikhwan Muslimin dan Nazarat fi Adaie Nuwwab
al-Harakah al-Islamiah.

Syeikh Hamzah yang sudah berusi 65 tahun, masih aktif cergas
berpolitik di samping menyampaikan kuliah-kuliah agama termasuk
pembinaan peribadi dalam program usrah di kalangan anggota Parlimen
Ikhwan mahupun di kalangan ahli-ahli biasa, keadaan ini dilihat penting
bagi Syeikh Hamzah bagi memastikan generasi anak-anak muda mengetahui
kedudukan dan kepentingan berjemaah dalam sebuah masyarakat seperti di
Jordan. - lanh

Sumber: www.ar.wikipedia.org, http://www.jabha.net
_  


Kirim email ke