Zahid cuba memecah belah rakyat Perak
Saidah Hairan
Wed | Jan 21, 09 | 4:37:13 pm MYT
KUALA LUMPUR, 21 Jan (Hrkh) - Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang tidak mengikhtiraf borang yang
ditandatangani Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) merupakan
satu ugutan dan biadap terhadap sistem demokrasi Perlembagaan Negara.
Iklan
Demikian ditegaskan oleh Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, Dr Mujahid
Yusof Rawa yang turut mendakwa bahawa Zahid cuba memecah belahkan perpaduan
rakyat khususnya di negeri Perak.
Katanya, kenyataan Zahid itu lebih kepada mendera rakyat kerana rakyat di
negeri tidak tahu sesuatu urusan itu perlu diuruskan dengan Pusat atau negeri
tetapi mereka hanya mahu segala urusan mereka berjalan lancar.
Contohnya tambah beliau, dalam urusan anak sekolah cop atau tandatangan
daripada JKKK atau Penghulu Kampung tidak diikhtiraf dan ini akan menimbulkan
masalah kepada rakyat kerana terpaksa berjumpa dengan JKKP yang dilantik oleh
kerajaan BN.
"Zahid memang mahu mendera rakyat Perak dan mahu memuaskan nafsunya kerana
marah dengan sikap rakyat Perak yang telah memilih pemimpin daripada kalangan
Pakatan Rakyat," tegasnya ketika dihubungi Harakahdaily.
Mungkin juga beliau mahu menjadi hero dan hendak tunjuk kehebatan beliau sebab
hendak bertanding dalam Pemilihan Umno Mac nanti, tegas beliau.
Selain itu beliau turut menyelar tindakan Zahid yang mengkhususkan peruntukan
khas hanya untuk wakil rakyat BN jika berlaku bencara seperti banjir, kebakaran
dan sebagainya.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menegaskan itu merupakan satu
tindakan yang tidak patut kerana wakil rakyat PAS bukan hanya berkhidmat untuk
ahli PAS tetapi semua kaum tanpa mengira fahaman politik, agama dan bangsa.
"Sudahlah peruntukan sebanyak RM500 ribu kita tidak dapat, ini peruntukan khas
wakil rakyat BN saja yang dapat. Sudahlah di peringkat Parlimen wakil rakyat
PAS di dera di peringkat negeri juga didera, mana demokrasi?" soalnya.
Ekoran itu kata beliau, mungkin ada pihak yang akan mengambil tindakan
undang-undang terhadap Zahid kerana arahan tersebut tidak sesuai dengan roh
perlembagaan dan ternyata mahu memecah belahkan perpaduan kaum di negeri Perak.
Ini kerana katanya apa perbezaan di antara cop atau tandatangan JKKK dengan
JKKP.
Beliau menegaskan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bahagian Hal Ehwal
Agama Islam apakah beliau tidak malu mengeluarkan larangan yang memecah
belahkan kaum.
Sedangkan katanya dalam Parlimen beliau mengeluarkan kenyataan supaya umat
Islam perlu bersatu padu tetapi hari ini beliau cuba memecah belahkan
masyarakat di Perak.
"Dengan adanya larangan atau arahan tersebut ternyata beliau cuba menyusahkan
rakyat," tegasnya.
Beliau berjanji akan membawa perkara tersebut dalam sidang Dewan Rakyat kerana
arahan tersebut melibatkan demokrasi dan apakah larangan itu hanya dilakukan di
negeri Perak sahaja. - mns_
Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/