Tegah hadiri mesyuarat: Kenyataan Zahid Hamidi kebudakan
Lanjusoh
Wed | Jan 21, 09 | 3:16:47 pm MYT
KOTA BHARU, 21 Jan (Hrkh) - Keupayaan PAS di Kelantan mengekalkan kerajaan
sehingga lebih 18 tahun antaranya kerana kebencian rakyat terhadap dendam
politik yang diamalkan pemimpin Umno.
Iklan
Pelbagai penderaan yang dilakukan termasuk menafikan banyak peruntukan yang
sepatutnya disalurkan untuk faedah rakyat di negeri ini.
Hari ini situasi yang serupa berlaku terhadap negeri-negeri di bawah Pakatan
Rakyat.
Berdasar kepada petunjuk itu keupayaan Umno dan Barisan Nasional merampas
kembali pentadbiran negeri terbabit semakin mengecil sama seperti berlaku di
Kelantan sejak 18 tahun lalu.
Dan semalam pemimpin Umno yang masih mempunyai kuasa di peringkat persekutuan,
antaranya Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegah ketua jabatan dan agensi
pusat daripada menghadiri mesyuarat bersama pemimpin kerajaan Perak
berkuatkuasa serta merta.
Mengulas perkembangan itu Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Kelantan,
Drs Zainuddin Awang Hamat melahirkan rasa terkejut di atas kenyataan
dikeluarkan seorang menteri yang menjaga hal ehwal agama.
"Sepatutnya sebagai menteri menjaga agama beliau menjadi rujukan dan ikutan
kepada orang lain dengan mempamerkan akhlak yang baik. Namun apa yang berlaku
sekarang memperlihatkan dendam politik.
"Pemimpin seperti itu sebenarnya belum pernah teruji dan apabila diuji dengan
kekalahan dia akan terperangkap dan langsung tidak mencerminkan kewibawaan yang
ada pada dirinya," katanya di sini.
Menurutnya yang juga Adun Limbongan kenyataan seperti itu hanya bersifat
kebudak-budakkan yang tidak sepatutnya keluar daripada seorang menteri.
Ketua Penerangan PAS Kelantan, Ustaz Ahmad Baihaki Atiqullah berkata, arahan
terbaru yang dikeluarkan menegah pegawai kerajaan pusat menghadiri mesyuarat
dengan kerajaan negeri akan menjadi senjata makan diri.
"Ini memperlihatkan betapa egonya seorang menteri kabinet kerajaan BN.
Sepatutnya petunjuk yang dizahirkan rakyat pada Mac lalu dan pilihan raya kecil
Parlimen Kuala Terengganu 17 Januari lalu sudah menjadi iktibar.
"Kita yakin dengan sikap dipamerkan seperti itu menyebabkan rakyat semakin muak
dan kejatuhan kerajaan BN sekarang sudah berada di ambang pintu," ujarnya.
Adun Mengkebang, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman berkata, arahan yang tidak
matang itu jelas menggambarkan dendam politik pemimpin Umno.
Katanya, sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama
lebih cermat dalam tutur kata.
"Namun dengan kenyataannya semalam menggambarkan ada usaha-usaha yang
terselindung bagi mengganggu kerajaan negeri apabila tiada kerjasama daripada
agensi kerajaan pusat," katanya.
Bagaimanapun katanya, fenomena tersebut sebenarnya boleh mempercepatkan
kejatuhan kerajaan BN yang kini sudah pun bergerak ke arah itu.
Kata beliau sepatutnya pemimpin Umno belajar daripada suasana politik yang ada
pada hari ini dan bukannya terus menunjukkan sikap dendam.
Pengarah Pusat Kajian Strategik Negeri Kelantan, Haji Ubaidah Yaakub
mempersoalkan apakah Zahid cakap menggunakan emosi atau minda. - mj
Kekal berhubung dengan semua rakan anda di Yahoo! Messenger. Hanya tambah
mereka dari e-mel atau rangkaian sosial anda hari ini!
http://malaysia.messenger.yahoo.com/invite/