Subhanallah... Jika dia dapat melihat kebenaran, kita yang dilahirkan sbg
muslim sepatutnya lebih-lebih lagi bersyukur...

Petikan: 
UtusanOnLine<http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0122&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_02.htm>
Kajian
bawa Michael kepada
Islam<http://bawangorengnet.blogspot.com/2009/01/kajian-bawa-michael-kepada-islam.html>
<http://bawangorengnet.blogspot.com/2009/01/kajian-bawa-michael-kepada-islam.html>
Susunan SITI AINIZA KAMSARI

<http://2.bp.blogspot.com/_oV1RUxbNq84/SXfTxv7SQ0I/AAAAAAAABm0/X4q4DAcz1Kg/s1600-h/mainpix1.jpg>
Micheal
David Shapiro
------------------------------

DALAM pelbagai keunikan yang terdapat pada Presiden baru Amerika Syarikat
(AS), Barack Hussein Obama, persoalan mengenai anutan agamanya turut menjadi
perhatian ramai!

Menerusi laman Ensiklopedia Wikipedia, Obama dikatakan seorang penganut
Kristian Protestan, pegangan yang terhasil di usia dewasa setelah melewati
pelbagai evolusi agama dalam hidupnya sebelum ini. (Beliau dibaptiskan di
Trinity United Church of Christ pada tahun 1988 dan sejak itu selama hampir
dua dekad lamanya, Obama merupakan ahli gereja yang aktif).

Walaupun mempercayai dan seterusnya memeluk Kristian secara rasmi, namun
kedudukan Obama itu adalah jauh lebih baik berbanding ibu bapanya sendiri.
Ini apabila bapanya, Barack Obama Sr yang asalnya beragama Islam bertukar
menjadi ateis (namun jenazahnya sempurna dikebumikan secara Islam ketika
meninggal dunia pada 1982) apabila berkahwin dengan ibu Obama, Ann Dunham
yang dipercayai juga seorang yang ateis.

Menyebut mengenai ibunya itu yang turut banyak memberikan pengaruh besar
dalam hidupnya walaupun Presiden AS ini lebih dibesarkan oleh neneknya,
Medelyn Dunham, Obama berkata, beliau mendapat inspirasi dalam hal ehwal
agama daripadanya ibunya yang menganggap agama sebagai ekspresi manusia.
Ibunya meletakkan agama dan identiti agama itu hanya sebuah fenomena dan apa
yang penting dalam agama serta identiti agama adalah mengejar hakikatnya.

"Perbahasan yang rasional dan kritikal jauh lebih penting daripada sekadar
mematuhi ajaran dan perintah suci agama. Islam, Kristian, Buddha dan
agama-agama lainnya hanyalah dianggap sebagai satu jalan menuju hakikat
kebenaran," katanya.

Mujur tanggapan si ibu hanya memberikan satu pengetahuan kepada Obama dari
langsung menyebabkan si anak dari turut mengikut jejak langkah si ibu itu.

Namun mari kita bandingkan dengan seorang anak muda dari Pasadena, AS,
Micheal David Shapiro. Beliau mungkin turut mempercayai ateis tetapi tidak
seperti ibu Obama, dia berjaya membuktikan bahawa agama tidak sekadar
mematuhi ajaran dan segala perintah-perintah yang suci.

"Saya mula bertanya pada diri sendiri mengenai jumlah tuhan yang perlu saya
percaya. Namun saya tidak mampu untuk mempercayai lebih dari satu tuhan.
Tuhan yang dibahagikan kepada dua atau lebih lazimnya lemah berbanding tuhan
yang satu. Jika 'seorang' tuhan tidak setuju dengan tuhan yang lain, tentu
akan membangkitkan pergaduhan di antara tuhan-tuhan ini. Jadi saya percaya
manusia hanya boleh percaya kepada satu tuhan sahaja," katanya.

Begitu pun bagi bertindak adil, Michael memberi peluang kepada dirinya untuk
mencari kelebihan apabila menjadi seorang yang ateis.

"Tetapi saya menyedari sepenuhnya setiap penciptaan mesti ada yang
menciptanya. Jika tuhan itu tidak wujud, mustahil bumi, alam semesta dan
segala yang terkandung di dalamnya wujud. Jadi, benarlah tuhan itu mesti
wujud. Namun percaya sahaja tidak cukup kerana saya perlu mengenali tuhan
tetapi di mana saya harus bermula kerana terdapat 'beribu-ribu' tuhan yang
wujud seperti yang didakwa oleh pelbagai pengikut," katanya.

Oleh kerana Michael mempercayai Tuhan Yang Satu, lalu beliau menyenarai
pendek kepada agama yang percaya hanya pada satu tuhan atau monotheistic.

"Ini menjadi usaha saya lebih mudah," katanya.

Micheal tidak perlu untuk mengkaji agama Buddha dan Hindu disebabkan
kedua-dua agama ini merupakan kepercayaan polytheistic atau berbilang tuhan
yang dinampakkan dalam bentuk berhala. Maka agama yang percaya kepada
ketuhanan yang satu yang perlu dikaji oleh Micheal ialah Yahudi, Kristian
dan Islam. Lalu beliau bermula dengan agama Yahudi sementelah beliau sendiri
dilahirkan sebagai Yahudi, iaitu percaya kepada satu tuhan, beberapa orang
nabi dan 10 Rukun (Commandments), Kitab Taurat dan Jiwa Yahudi.

"Jiwa yang Yahudi? Apabila saya mengkaji frasa ini, saya menemukan ayat yang
menyebut; 'Jika anda dilahirkan sebagai Yahudi maka anda mesti mempunyai
jiwa seorang Yahudi dan mesti mematuhi segala keyahudian (Judaism) yang
ada'. Kenyataan ini membuatkan saya sangat terkejut, tidakkah ini satu
diskriminasi?! Agama ini tidak bersifat universal. Jadi tuhan ciptakan Jiwa
Yahudi, Jiwa Kristian dan Jiwa Islam? Setahu saya tuhan ciptakan manusia
sama rata tanpa ada sebarang darjat yang memisahkan antara satu sama lain.
Oleh kerana dia dilahirkan dalam sesuatu agama, maka tuhan meletakkan dekri
yang dia mesti kekal pada sesuatu agama itu walaupun si penganut itu tahu
ada sesuatu yang palsu mengenai agamanya itu, adakah itu maksudnya,"
soalnya.

Ini menyebabkan Micheal tidak dapat bersetuju dengan agama itu walaupun
telah dilahirkan sebagai Yahudi.

"Seperkara lagi persoalan mengenai neraka juga tidak dibincangkan secara
serius dalam agama Yahudi. Jadi apa perlunya melakukan kebaikan, dan apa
salahnya melakukan kejahatan? Jika saya tidak ditakutkan dengan hukuman yang
tegas jadi apa perlunya saya mempunyai sikap dan moral yang baik," kata
Micheal.

Setelah sanggup meninggalkan Yahudi, Micheal mencari pula mengenai Kristian.


"Pada mulanya, saya tidak bermasalah, tetapi apabila diulang kali
membacanya, satu tuhan yang terdiri bapa tuhan, anak tuhan dan Ruhul Kudus,
bagaimana ini dapat dijelaskan secara logik. Bagaimana ketiga-tiga unsur ini
merupakan Tuhan yang Satu. 1+1+1=3, betul? Saya masih memberi peluang dengan
mendapatkan sebanyak mungkin penerangan mengenai konsep Triniti ini, namun
setelah banyak melakukan analogi sekali pun, konsep ini tidak dapat saya
terima, akal saya tidak mampu untuk menerimanya," katanya.

Begitupun Micheal mengharapkan logik pada doktrin Kristian yang lain. Ini
termasuklah Nabi Isa a.s mati kerana dosa-dosa kesemua pengikutnya.

"Baginda melakukan ini disebabkan kita semua diselubungi Dosa Warisan
(Original Sin). Oleh kerana Nabi Isa merupakan anak tuhan, jadi dia sanggup
mati disalib bagi menyelamatkan orang lain dari neraka dan menyelamatkan
dari dosa yang ditinggalkan oleh Nabi Adam. Jadi, kita semua ini dilahirkan
sebagai seorang yang berdosa termasuklah bayi yang baru berusia setahun
sudah menanggung dosa dalam usia semuda itu. Ini pelik, dek kerana perbuatan
seorang manusia, seluruh manusia yang lain perlu menanggungnya," kata
Micheal.

Tetapi Nabi Isa wafat disebabkan baginda 'menyeru kepada kasih sayang sesama
umat'.

"Tetapi mengapa di dalam kitab Injil diceritakan baginda merintih ketika
hendak disalib sambil berkata; Bapa, tidakkah Kau mengampuniku? Jadi adakah
ini bermakna Nabi Isa tidak memahami mengapa baginda hendak dibunuh dengan
kejam tetapi doktrin mengatakan Nabi Isa secara sukarela dirinya dibunuh,"
katanya.

Ini membuatkan Kristian juga tidak ada tempat di hati Micheal. Lalu apakah
ajaran yang seterusnya untuk anak muda ini percaya dengan segala
kebenaran-kebenaran yang kuat atau sekurang-kurangnya dapat diterima oleh
akal yang logik?!

"Saya tidak menghadapi masalah untuk memahami Islam. Tidak ada pada agama
itu yang boleh menimbulkan konflik pada logik akal saya. Kitab suci al-Quran
itu sendiri sangat menakjubkan dan begitu bersesuaian untuk semua zaman dan
masa, seolah-olah seperti baru dikarang (diwahyukan). Banyak bukti saintifik
ditemui dari kitab itu sedangkan kitab itu ditemui sejak 1,400 tahun dahulu.
Tetapi adakah agama ini bersifat sejagat, agama untuk semua tetapi yang
lebih menghairankan Islam dinyatakan untuk semua tanpa memilih kaum, bangsa,
warna kulit, bahasa dan asal usul manusia. Namun lebih menghairankan nama
agama itu sendiri, iaitu Islam dinyatakan dengan banyak kali dalam al-Quran.
Jadi benarlah Islam satu agama," tambahnya.

Kata Mishael, dia tidak menemui sebarang perkataan agama Yahudi ada
disebutkan dalam kitab Taurat mahupun agama Kristian dalam kitab Injil
sekalipun dalam Kitab Perjanjian Lama kecuali manusia itu sendiri yang
memberikan nama-nama itu, bukan tuhan. Tidak perlu lama bagi Micheal untuk
mempercayai agama mana yang layak untuk dianuti. Setelah terjawab segala
persoalan maka tanpa ragu anak muda ini memeluk Islam dan selamanya beliau
tetap yakin pada Islam setelah 'berkenalan' dengan apa juga yang didakwa
sebagai agama!


--
- BawangGoreng -
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤
http://bawangorengnet.blogspot.com
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Hadis Rasulullah s.a.w.:
Daripada Salman bin 'Amir r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
"Sedekah kepada golongan miskin, ganjarannya hanyalah sekadar pahala
sedekah; sedangkan sedekah kepada mereka yang mempunyai hubungan
silaturrahim terdapat dua ganjaran, iaitu pahala sedekah dan pahala menjalin
hubungan silaturrahim." (Hadis riwayat al-Tirmizi)

¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Kirim email ke