Tegas Berakidah, Luas Dalam
Fekah
Disiarkan pada Jan 25, 2009 dalam
kategori Akidah |

Oleh Dr Mohd Asri Zanul
Abidin
Selama hampir dua minggu saya
mengembara dari London ke Osnabruck , kemudian ke Berlin dan seterus ke 
Republik Czeck. Di
setiap tempat saya disambut dengan mesra dan meriah sekali oleh para pelajar  
Malaysia .
Walaupun kebanyakan mereka belum
pernah bertemu saya, tetapi banyak pandangan saya; samada dalam bentuk ucapan
atau tulisan, kebanyakan mereka telah pun menelaahnya. Alhamdulillah.
Itulah kebaikan dunia internet jika
kita manfaatkan. Walaupun sebahagian mereka berada di luar negara sejak saya
belum menjadi mufti, dan setelah saya berhenti pun mereke belum balik lagi,
namun mereka tahu perkembangan Malaysia .
Dalam tempoh dua tahun saya menjadi
mufti nampaknya pandangan-pandangan yang dilontarkan –alhamdulillah- telah
diekspot dengan mewahnya ke sana . Setiap tempat yang saya sampai, saya
memberikan ucapan dan membuat sessi soal jawab.
Dunia hari ini begitu pantas
maklumatnya, di mana sahaja saya berhenti, akan ada rakyat Malaysia yang tahu 
dan menunggu saya
di berbagai stesyen. Mereka menjemput saya ke berbagai program yang dianjurkan
dan boleh dikatakan setiap warga Malaysia di kawasan berkenaan akan
hadir. Alhamdulillah.
Memberikan ucapan kepada para
pelajar yang terpilih dan bijak amatlah selesa dan senang. Mereka memiliki
kecerdasan minda dan ketajaman untuk berhujah. Apabila mereka merasai pandangan
yang kita lontarkan itu berteraskan alasan yang meyakinkan, dengan mudah mereka
bersetuju. Atau jika mereka tidak bersetuju, mereka akan bersoal jawab dan
mendatangkan alasan-alasan mereka.
Saya sering mengingatkan pembaca,
demikian saya ingatkan mereka bahawa Islam sama sekali tidak dapat menerima
pegangan agama yang dibuat atas ikut-ikutan tanpa memahami dalil atau alasan.
Tiada takliq buta dalam Islam ini. Tiada dalam Islam senjata beracun yang pernah
digunakan oleh sesetengah golongan yang memakai lebel agama iaitu ‘barang siapa 
yang banyak bertanya,
maka lemahlah imannya’.
Jika manusia bijak seperti mereka
yang mempelajari bidang-bidang yang sukar seperti perubatan tidak dibekalkan
dengan kekuatan kefahaman yang berteraskan fakta dan dalil, siapa lagi yang
hendak kita harapkan menjadi benteng Islam di zaman kini.
Dr
Zakir Naik umpamanya, dia seorang saintis yang menyumbang kepada penyebaran
Islam dengan hujah-hujah saintifik dan pemikiran yang tajam. Kebijaksanaannya
telah digunakan untuk menyampaikan Islam. ‘Peace TV’ telah dijadikan
saluran media membolehkan manusia memahami Islam yang canggih dan mengatasi
zaman.
Lihatlah, ketika sesetengah mereka
yang bergelar ‘ustaz’ menggambarkan Islam
sebagai agama yang dipenuhi dengan unsur Israiliyyat, hadis palsu, jampi itu dan
ini, cerita-cerita lucu kewalian, upah pahala sebagai bisnes dan berbagai
pencemaran yang lain, golongan professional muslim yang mendapat disiplin ilmu
perubatan, kejuteraan, pembinaan dan berbagai lagi tampil menjelaskan Islam yang
sebenar. Islam yang mereka fahami dari sumber yang betul tanpa sebarang
kepentingan kebendaan.
Ini
mengingat kepada Nabi Sulaiman a.s apabila beliau mendengar ucapan semut betina.
Firman Allah: (maksudnya)
“Hingga apabila mereka sampai ke
“Waadin-Naml” (lembah semut), berkatalah seekor semut betina: “Wahai sekalian
semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan Sulaiman dan tenteranya
memijak kamu, sedangkan mereka tidak menyedari. Maka tersenyumlah Sulaiman
mendengar kata-kata semut itu, dan berkata (berdoa):” Wahai Tuhanku, ilhamkanlah
daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan
kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amalan soleh yang Engkau
redai; dan masukkanlah daku - dengan rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu
yang soleh”.(Surah al-Naml:
18-19)
Demikian, pengetahuan tentang alam
membawa insan mendekatkan diri kepada Allah dan bersyukur
kepadaNya.
Di  sana , saya dalam
banyak ucapan menceritakan kepada mereka tentang dua perkara yang penting.
Pertama, kejelasan dan ketegasan Islam dalam perkara-perkara akidah. Kedua;
keluasan dan kemudahan yang diperuntukkan oleh Islam dalam soal fekah.
Perkara ini perlu dijelaskan kerana
dalam kalangan umat Islam, termasuk di Malaysia ada yang begitu longgar
dalam akidah tapi begitu sempit dalam perkara fekah. Maka kita tidak hairan jika
menemui di Malaysia mereka yang berserban atau berkopiah dan begitu takut untuk
terkeluar dari mazhab fekah kebiasaannya, namun dalam masa yang sama dia masih
percaya kuat kepada bomoh, atau gurunya dianggap ajaib, atau masih percaya
tangkal itu dan ini.
Saya pernah melihat kumpulan yang
berjubah dan berserban sakan, namun pergi memohon hajat di kubur Pulau Besar
Melaka. Pengaruh tarekat yang berlebihan, atau kesufian yang melampau sering
menjadikan sesetengah pihak gagal untuk membezakan antara batasan iman dan
syirik.
Guru, atau bomoh sering diangkat
melebihi kadar yang patut. Walaupun dalam masa yang sama, kita lihat mereka ini
begitu menjaga sesetengah amalan fekah, sehingga kelihatan sempit dan beku. Maka
tidak pelik di negara kita jika ada imam masjid yang masih kuat pegang dengan
bomoh, atau terikut dengan tarikat yang
bukan-bukan.
Sepatutnya, dalam isu akidah
seseorang hendaklah sensitif dan selalu takut akan segala unsur syirik.
Sementara dalam soal fekah, ada keluasan yang diberikan oleh syarak yang boleh
kita amalkan, namun ramai orang masih takut dengannya.
Umpamanya, di sebelah Eropah ini,
pada musim sejuk seperti sekarang, waktu siang agak singkat. Waktu solat mereka
berkejaran dengan waktu kelas atau peperiksaan. Sebenarnya, dalam hal yang
seperti ini, mereka boleh mengamalkan solat jamak, tanpa qasar. Sekalipun jika
mereka menganggap diri mereka sudah tidak bermusafir, mereka tetap mempunyai
peruntukan untuk menjamakkan solat tanpa qasar.
Jamak bermaksud menghimpun dua solat
dalam satu waktu, samada pada waktu pertama, atau kedua. Ini bagi solat zohor
dan asar, atau maghrib dan isyak. Maka boleh dihimpunkan solat zohor dalam waktu
asar, atau sebaliknya. Demikian maghrib dan isyak. Adapun qasar, iaitu
memendekkan solat empat kepada dua rakaat, maka ia dikhususkan untuk mereka yang
bermusafir. Sementara jamak, boleh untuk dilakukan oleh mereka yang sakit,
ketakutan, terlalu sibuk, hujan, terlalu sejuk, musafir dan segala kesusahan
yang lain.
Dalam hadis Muslim, daripada Sa’id
bin Jubair meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas, katanya: “Rasulullah s.a.w 
bersolat Zuhur dan
‘Asar secara jamak di Madinah tanpa sebab ketakutan atau musafir”. Kata Abu 
Zubair: “Aku bertanya Sa’id mengapa Rasulullah s.a.w berbuat
demikian?”. Jawabnya: “Aku pun pernah bertanya Ibn ‘Abbas seperti mana
engkau bertanyaku, jawab Ibn ‘Abbas: “Kerana baginda mahu agar umatnya tidak
beban”.
Maka bagi yang kesuntukan masa,
seperti pelajar, atau doktor bedah, atau ahli parlimen, atau polis yang bertugas
menjaga lalu lintas, atau mereka menjaga jentera yang sukar untuk ditinggalkan,
maka peruntukan jamak ada dalam hadis ini untuk mereka. Namun malangnya di  
Malaysia , ada yang sanggup
meninggalkan solat apabila masuk hospital atas alasan sukar untuk solat.
Apa
tidaknya, fekah yang diajar diajar begitu sukar kerana ditokok tambah berbagai
hukum lain yang memayahkan. sehingga disuruh sesiapa yang sakit tidak mampu
berwuduk sepenuhnya untuk wuduk separuh dan bertayamum sebakinya. Orang sihat
pun hanya berwuduk, tiba-tiba yang sakit disuruh wuduk dan tayamum.
Parapelajar di
sini mempunyai masalah kerana anjing begitu banyak. Ramai yang membawa anjingnya
ke sana sini.
Jalan menjadi kotor dengan najis anjing yang berselerakan. Berselisih dan
bersentuh dengan anjing bukan perkara luar biasa. Demikian juga dengan daging
babi yang amat digemari oleh ‘orang puteh’. Kefahaman fekah
tempatan kita menjadikan sesetengah pelajar kita begitu gusar dalam masalah ini.
Saya telah memberikan beberapa
jawaban untuk mereka menceritakan kepelbagaian pandangan sarjana Islam berhubung
dengan nilai najis kedua haiwan berkenaan dan bagaimana kita dapat mengambil
manfaat dari keluasan fekah Islam dalam hal-hal tersebut. Apa yang penting
mereka perlu tegas dalam akidah dan ambil kemudahan fekah yang diberikan
syarak.


      Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain 
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/

Kirim email ke