Cadangan Zaid minta Agong tidak lantik Najib PM berniat jahat - Muhyiddin
from CINA ISLAM (林川興) by DRS. KHALIL IDHAM LIMKUALA
LUMPUR: Cadangan meminta Yang di-Pertuan Agong tidak melantik Timbalan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri
baru, adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat, kata Naib
Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri itu berkata cadangan berkenaan jelas mahu
menimbulkan kegelisahan di kalangan anggota Umno khasnya dan rakyat
Malaysia amnya.

Muhyiddin mengulas kenyataan bekas Menteri
di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim meminta Yang diPertuan
Agong melantik Perdana Menteri baru dari kalangan anggota Parlimen yang
boleh diterima rakyat.

Berucap pada satu majlis semalam, Zaid
berpendapat pelantikan bakal Presiden Umno, Najib sebagai Perdana
Menteri akan memecahbelahkan rakyat negara ini.

Muhyiddin
berkata kenyataan Zaid itu langsung tidak menyumbang untuk
menyatupadukan rakyat negara ini dan jelas mencerminkan sikap sebenar
Zaid yang "menangguk di air keruh" dan "gunting dalam lipatan".

"Saya
juga dengan sekeraskerasnya menafikan dakwaan Zaid kononnya pemilihan
Perdana Menteri menjadi begitu genting sekarang ini. Proses peralihan
kepimpinan Umno berjalan begitu lancar dan terbukti Najib telah
mendapat kepercayaan besar bahagian Umno seluruh negara sebagai
Presiden Umno yang baru," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Muhyiddin
berkata sudah termaktub dengan nyata dalam Perlembagaan Persekutuan di
bawah artikel 43(2)(a) bahawa Yang diPertuan Agong hendaklah terlebih
dahulu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada pendapat baginda
mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan itu, sebagai Perdana
Menteri untuk mengetuai jemaah menteri.

"Dalam hubungan ini,
Barisan Nasional (BN) adalah parti yang mempunyai jumlah kerusi
terbesar di Dewan Rakyat di mana Umno sendiri mempunyai bilangan kerusi
tertinggi di kalangan parti komponen BN," katanya.

Beliau
berkata pelantikan Najib sebagai Perdana Menteri akan dapat
menyatupadukan rakyat negara ini yang sedang berhadapan kesukaran
disebabkan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab seperti Zaid.

"Sehubungan
itu saya ingin menasihati orang ramai dan anggota Umno agar tidak mudah
terpengaruh dengan dakyah Zaid yang terangterang berniat jahat, tidak
bertanggungjawab dan meletakkan kepentingan dirinya mengatasi
kepentingan negara," katanya.

Sementara itu, anggota Majlis
Tertinggi Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata kenyataan Zaid itu
tiada kewarasan kerana sudah menjadi amalan bahawa sesiapa yang dipilih
menjadi Presiden Umno akan menjadi Perdana Menteri dan proses peralihan
kuasa antara Najib iaitu Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tetap akan berjalan lancar.

Mohd
Shafie yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
berkata apa yang penting adalah kerajaan perlu terus fokus dalam
pentadbiran dan pengurusan di samping memberi khidmat kepada rakyat.

"Itu
pandangan dia (Zaid), dia mempunyai hak. Saya yakin permuafakatan yang
ada antara perdana menteri dan timbalan perdana menteri akan berjalan
lancar. Jangan dengar apa yang berlaku di luar, apa yang penting adalah
memastikan supaya negara dapat ditadbir dengan baik agar terlepas dari
belenggu krisis ekonomi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan
Hari Kraf Kebangsaan 2009 di Kompleks Kraf di sini hari ini.

Terdahulu
ketika berucap, Mohd Shafie berkata jualan yang direkodkan sehingga
semalam ketika promosi kraf Malaysia di Harrods, London sejak 25 Feb
lepas adalah sebanyak RM631,000 dan produk yang terlaris adalah batik.

Beliau
menjangkakan negara akan memperolehi keuntungan sebanyak RM1 juta
daripada hasil jualan kraf di gedung terkemuka itu sebaik promosi
berakhir pada 28 Mac ini.Mstar

Kirim email ke