RM1 juta tidak cukup selepas bersara

Rakyat Malaysia daripada golongan sederhana memerlukan sekurang-kurangnya
RM1 juta ketika bersara sekiranya mahu mengekalkan gaya hidup semasa.

Pengurus Negara ESG Direct Asia Pte. Ltd. bagi Malaysia, K. Sasitharan
berkata, bagaimanapun jumlah itu sebenarnya hanya sekadar 'cukup makan' jika
diambil kira kos perubatan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan mendapati hanya 10
peratus rakyat Malaysia yang memiliki simpanan yang baik untuk menghadapi
zaman persaraan mereka nanti.

''Namun, simpanan tersebut bukan hasil daripada tabiat menabung tetapi
sebaliknya disebabkan mendapat gaji besar sehingga menyebabkan simpanan
dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mencukupi," katanya selepas mengadakan
Seminar Khas Perancangan Kewangan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2009
di sini.

Beliau berkata, sejumlah 10 peratus didapati menjadikan amalan menyimpan
untuk menghadapi persaraan manakala 80 peratus lagi tidak bersedia langsung
dan terpaksa bergantung kepada anak-anak.

Sasitharan berkata, walaupun amalan menabung masih lagi rendah di kalangan
rakyat Malaysia tetapi ia adalah perkara normal bagi negara yang memiliki
populasi muda.

Bagaimanapun, situasi itu perlu diperbaiki sebelum menimbulkan masalah
kepada negara kerana dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi Malaysia
berpotensi untuk mempunyai majoriti penduduk dewasa.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menukar persepsi yang ada dan
menjadi lebih bersedia dalam mengharungi dunia persaraan tanpa perlu
mengurangkan gaya hidup sedia ada.

''Di Malaysia, pesara secara automatik akan mengubah gaya hidup kebelakang
berikutan kekangan wang untuk meneruskan gaya hidup selesa semasa bekerja.

''Sebab itu, pesara akan balik ke kampung selepas bersara dengan harapan
dapat mengawal perbelanjaan harian, sekali gus mengurangkan beban kos
hidup,'' jelasnya.

Beliau menafikan bahawa amalan menabung hanya berupaya dilakukan oleh
golongan yang memiliki gaji yang lumayan.

''Dakwaan ini tidak benar kerana golongan pekerja yang memiliki gaji RM1,000
pun menabung, secara perlahan-lahan kerana gaji yang diperoleh akan
mengalami kenaikan seiring tempoh bekerja,'' jelasnya.

Sasitharan menegaskan, masalah di Malaysia adalah kebanyakan rakyatnya lebih
mengutamakan gaya hidup berbanding menabung.

Sambil memberi contoh, katanya, rakyat Malaysia sekarang dilihat lebih
cenderung berbelanja terlebih dahulu sebelum mendapat gaji.

''Sekarang ini, kad kredit telah mengawal perbelanjaan rakyat Malaysia, ini
memang budaya bahaya kerana setiap kali mendapat gaji, kita akan
mendahulukan hutang,'' katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan jika tabungan pekerja masih tidak mencukupi
pada usia 55 tahun, Sasitharan berkata: ''Pekerja itu perlu terus bekerja
kerana usia persaraan 55 tahun adalah masih muda berbanding negara maju pada
usia 65 tahun. Ini bukan bermakna pesara yang tidak mempunyai cukup simpanan
masih mempunyai 10 tahun lagi untuk menabung,'' kata beliau.

Kirim email ke