Mexico dilanda wabak selesema babi







ORANG ramai memakai penutup hidung dan mulut berbaris untuk memasuki Hospital 
Besar Mexico City, kelmarin.– AP/REUTERS



MEXICO CITY 25 April – Seramai 68 orang maut akibat penyakit selesema, dengan 
20 daripada kematian itu disahkan berpunca daripada sejenis wabak baru selesema 
babi, lapor Setiausaha Kesihatan Mexico, Jose Angel Cordova.
 
Menurut beliau, sekurang-kurangnya 1,004 yang lain pula sakit dipercayai akibat 
penyakit yang sama.
 
Sebanyak 13 daripada 20 kematian tersebut berlaku di Mexico City, empat di San 
Luis Potosi, dua di Baja California berhampiran sempadan Amerika Syarikat (AS) 
dan satu di selatan Oaxaca.
 
Penularan wabak baru itu mencetuskan kebimbangan kerajaan Mexico dan pihak 
berkuasa semalam telah mengarahkan penutupan sekolah, muzium, perpustakaan dan 
teater, bagi membendung penyebarannya.
 
Virus baru yang merisaukan itu, yang mengandungi kombinasi virus babi, burung 
dan manusia yang belum pernah dilihat penyelidik-penyelidik sebelum ini, turut 
mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang sakit di Texas dan California, 
walaupun masih belum ada kematian dilaporkan di Amerika Syarikat (AS).
 
‘‘Kami sangat sangat bimbang. Kita sedang berdepan dengan satu virus baru dan 
ia tersebar daripada manusia kepada manusia,’’ kata jurucakap Pertubuhan 
Kesihatan Sedunia (WHO), Thomas Abraham.
 
Penyebaran virus selesema babi itu menimbulkan suasana cemas di Mexico apabila 
orang ramai mula mengenakan topeng muka dan pihak berkuasa mengarahkan 
penutupan tempat-tempat tumpuan umum secara meluas.
 
Orang ramai diminta tidak datang ke hospital melainkan benar-benar memerlukan 
rawatan kerana premis itu menjadi ‘pusat’ penyebaran wabak. Selain itu, orang 
rami juga diminta berhenti seketika daripada bersalam tangan atau mencium pipi. 
Di Lapangan Terbang Antarabangsa Mexico City, setiap penumpang disoal bagi 
menghalang sesiapa yang mempunyai petanda demam daripada menaiki pesawat.
 
Presiden Felipe Calderon berkata, kerajaannya hanya mengetahui tentang bahaya 
virus itu kelmarin, dengan bantuan makmal antarabangsa.
 
‘‘Kita akan lakukan apa yang perlu, kita juga faham betapa seriusnya perkara 
ini,’’ katanya selepas mengadakan pertemuan dengan barisan Kabinetnya sebagai 
respons kepada penyebaran wabak itu.
 
Dalam pada itu, sekumpulan panel pakar WHO sedang bersidang bagi menimbangkan 
sama ada untuk mengumumkan amaran berjaga-jaga wabak atau mengeluarkan larangan 
perjalanan.
 
‘‘Ia mungkin sudah terlalu lambat untuk mengekang wabak itu daripada merebak,’’ 
kata seorang pakar, Dr. Michael Osterholm dari University of Minnesota. – AP



 
Noorshamsudin Bin Hj. Mohd. Darus
IS Audit, Audit & Compliance Division, AFFINBANK
1st Floor, Menara AFFIN, 80 Jalan Raja Chulan
50200 Kuala Lumpur,  W. Persekutuan
MALAYSIA
 
Tel:  03 - 27315246  /  03 - 27315242    Fax: 03 - 20264081    -  H/P:  012 - 
2923403
 
  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 


      

Kirim email ke