Labibah Ahmad, Ketua Muslimat Ikhwan Muslimun Pertama
Ustaz Zainudin Hashim
Tue | Apr 28, 09 | 7:00:57 pm MYT
Kekuatan
Ikhwan Muslimun khususnya di Mesir tidak hanya bergantung kepada
penampilan sayap Pemuda dan Ulama semata-mata, tetapi juga bergantung
kepada sejauh mana penglibatan Muslimat dalam sepak terajang politik
Mesir yang penuh dengan penipuan, penindasan serta memilih warna kulit
dalam kancah politiknya.
Iklan
Penglibatan Gerakan Akhwat (sayap Muslimat) Ikhwan
Muslimun turut mewarnai kancah politik Mesir, yang bukan sahaja
menitik-beratkan persoalan yang dihadapi golongan wanita, iaitu
membebaskan mereka daripada berpegang teguh kepada ajaran agama Islam
kepada berpegang dengan ajaran Islam itu sendiri, ini kerana Mesir
tidak terkecuali disenaraikan sebagai sebuah negara yang diancam Barat
dengan gerakan pembebasan wanita.
Sesungguhnya anggota Akhwat Gerakan Ikhwan Muslimun amat kental
dan sinonim dengan Islam. Mereka mengerahkan seluruh tenaga yang ada
bagi memastikan agar wanita Islam di Mesir dibela melalui program yang
boleh menyelamatkan akidah mereka daripada terjerumus dalam kancah
penentangan terhadap hukum-hukum Allah SWT seperti bebas bergaul dengan
lelaki tanpa mengambil kira batas-batas yang diharamkan, mendedahkan
aurat sebagai bukti menuju kejayaan dan bermacam-macam elemen lain yang
melayakkan mereka menjadi ahli neraka.
Antara tokoh wanita yang dimaksudkan berjaya memimpin golongan
sejenis dengannya ialah Labibah Ahmad, yang merupakan Ketua Akhwat
Muslimat pertama yang juga sayap wanita Gerakan Ikhwan Muslimun yang
dikenali sebagai cukup kental dengan pendirian terhadap agama Islam
yang menjadi teras kepada perjuangan Ikhwan Muslimun.
Penglibatan Labibah dalam Ikhwan Muslimun
Labibah satu nama besar dalam memimpin sayap wanita Ikhwan atau
lebih dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Beliau dilahirkan pada
1292H/1875M di Kaherah dari sebuah keluarga mulia yang menitik-beratkan
pendidikan agama, belajar di peringkat rendah di tangan ahli
keluarganya yang berpendidikan agama dengan memulakan belajar bahasa
Arab dan beberapa ilmu asas agama seperti Sirah Nabi Muhammad s.a.w.,
ilmu sastera, syari'at Islam dan lain-lain.
Dalam peringkat menengah pula, keluarga Labibah menghantarnya
ke sebuah sekolah yang mengajar mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah hingga
mampu menguasai semua subjek agama dengan baik serta mencapai
pengetahuan luar biasa kerana penguasaannya yang disifatkan sebagai
pelajar terbaik ketika itu.
Selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, Labibah
menulis bahan-bahan rencana berbentuk Islam kepada beberapa akhbar
tempatan untuk disiarkan dengan menggunakan pelbagai nama pena bagi
mengaburi pihak berkuasa. Kebanyakan tulisannya berbaur seruan kepada
wanita untuk bangkit menyatakan hak mereka yang diabaikan oleh pihak
berkuasa.
Mula menggerakkan wanita di negaranya apabila menganjurkan satu
revolusi kebangsaan pada 16 Mac 1919 bersama Huda Sya'rawi dan
Nabawiyyah Musa (aktivis pembebasan wanita terkenal di seluruh Mesir
dengan kelantangan suara mereka menyatakan hak kaum wanita) menghadapi
penjajah Inggeris yang menyekat revolusi berkenaan. Revolusi kebangsaan
itu mendapat liputan meluas akhbar-akhbar seluruh dunia apabila
menyatakan bahawa wanita Mesir bangkit melawan Inggeris yang
mengehadkan pergerakan dan hak wanita. Revolusi itu diperkuatkan dengan
penyertaan tokoh-tokoh pejuang kebangsaan Mesir ketika itu seperti
Qadim Amin, Sa'ad Zaghlul dan Mahmud Samy al-Barudi.
Pada 1923, Huda Sya'rawi mengasaskan Kesatuan Wanita yang masih
dilihat oleh Labibah hanya terbatas pada perkara-perkara pokok sahaja.
Justeru, beliau mengasaskan pula 'Pertubuhan Kebangkitan Wanita-wanita
Mesir', ia meliputi aspek akhlak, kemasyarakatan, keagamaan yang
bersandarkan kepada hukum Syariat Islam yang tidak dibuat atau
diperkenalkan oleh Huda Sya'rawi.
Pertubuhan yang diasaskan oleh Labibah itu turut menyediakan
program ilmu yang memacu wanita untuk menjadi golongan terpelajar dalam
apa jua bidang yang diceburi mereka, terutama golongan pekerja
kedua-dua sektor kerajaan dan swasta bagi memastikan produk Mesir dalam
dihasilkan dengan jayanya.
Tidak cukup dengan itu, Labibah menerbitkan sebuah majalah
melalui pertubuhan yang diasaskan, yang dikenali dengan 'Majalah
Kebangkitan Wanita' yang beroperasi selama 20 tahun sehingga permitnya
dihentikan oleh pihak berkuasa atas sebab-sebab tertentu pada 1942.
Majalah itu mendapat sambutan menggalakkan kerana beberapa rencana yang
termuat di dalamnya ditulis oleh tokoh-tokoh pemikir Islam termemuka
seperti Syakib Arsalan, ar-Rafi'ie, Farid Wajdi serta Muhibuddin
al-Khatib.
Hasan al-Banna dapat hidu ketangkasan Labibah
Ketangkasan kepimpinan Labibah dihidu oleh pengasas Ikhwan Muslimun,
Imam Syahid Hasan al-Banna apabila Almarhum membuka sayap wanitanya
yang dikenali sebagai Akhwat Muslimat. Imam Hasan mempelawa Labibah
untuk mengisi jawatan ketua sayap berkenaan pada 1948, setahun sebelum
kewafatan Imam Syahid yang ditembak mati, Labibah menerima pelawaan itu
dan mejadi Ketua Akhwat pertama.
Labibah menerajui sayap Akhwat berkenaan selama 10 tahun,
akhirnya beliau terpaksa melepaskan jawatan itu bagi memberi laluan
kepada pelapis selepasnya. Beliau menghabiskan sisa-sisa hidup dengan
membaca kitab-kitab agama khususnya yang berkaitan dengan Syari'at
Islam. Labibah meninggal dunia pada usia 80 tahun iaitu pada
1955M/1385H di pangkuan keluarga tercinta. - lanh
Sumber: www.ikhwanonline.com, http://ar.wikipedia.org _