Larangan al-Quran cegah 'selsema babi' 
Azamin Amin 
Fri | May 22, 09 | 10:05:35 am MYT

  
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Setiap larangan Allah SWT terhadap sesuatu 
perkara, pasti tersimpan hikmah yang tersendiri dan  mempunyai sebab yang kuat 
demi melindungi manusia daripada sesuatu bahaya dan bencana.

Iklan   
 
   
    
Pengharaman memakan daging babi di dalam surah
al-Baqarah ayat 172, mempunyai kaitan rapat dengan jangkitan 'selsema
babi' yang melanda dunia yang kini begitu mengancam nyawa manusia dan
bukan pertama kali malah telah berlaku dalam sejarah yang sewajarnya di
ambil iktibar atas setiap yang di perintah dan dilarang oleh Allah SWT
selama ini kepada manusia.

Kata Pengarah Institut Kajian Hadis, Kolej Universiti Islam
Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Mohd. Farid Ravi Abdullah bahawa
Allah SWT melarang memakan babi itu kerana tuhan lebih arif tentang
wabak dan penyakit yang ada pada babi yang dicipta-NYa termasuk
kemampuan manusia untuk menerima sesuatu makanan yang layak untuk tubuh
badannya.

"Dia yang ciptakan manusia dan babi, dia jugalah yang tahu
segala baik buruknya sesuatu. Oleh itu kita perlu taat, kerana setiap
larangan Allah pasti bersebab yang kuat,

"Bahkan dalam al-Quran menyebut dalam permulaan surah Baqarah,
ayat 172 itu dengan kalimah 'wahai manusia' bermaksud ayat ini tidak
semata-mata dituju kepada orang Islam sahaja tetapi semua manusia
termasuk orang bukan Islam yang jika mengikuti larangan ini, akan dapat
juga mencegah daripada terkena wabak ini," kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kuliahnya dalam
rancangan Halaqah terbitan TV9 malam semalam yang bertajuk "Selsema
Babi" bersama ahli perubatan, pendakwah dan penulis buku Dr Danial
Zainal Abidin yang dipengerusikan oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Yusof.

Dalam pada itu, Dr Danial menjelaskan hasil kajian bahawa babi
berupaya menerima aneka jenis virus di dalam tubuh badannya sekalgus
boleh menukarkan virus menjadi lebih merbahaya sehingga boleh membunuh
manusia.

"Babi boleh memakan apa saja dan menerima semua jenis virus. Kemudia menukarkan 
virus yang ada padanya kepada virus yang lebih  merbahaya seperti selsema babi. 
Babi boleh menyebabkan manusia mendapat lenih 25 jenis penyakit," katanya. 
Malah kata Dr Danial 'swine flu' atau selsema babi ini pernah
melanda dunia pada tahun 1918 yang turut dikenali sebagai "Spanish
Flu". 
"Dalam journal yang saya baca, ada yang mengatakan telah
membunuh 20 juta manusia dan ada yang kata 40 juta manusia. Dan wabak
yang melanda dunia hari ini sama dengan Spanish Flu pada tahun 1918,"
katanya

Beliau turut mengemukakan hasil kajian barat, bahawa terdapat
nasihat daripada pakar melarang memakan babi kerana membawa virus dan
penyakit.

Babi katanya walaupun dimasak berkali-kali, terdapat sejenis
kuman yang tidak mati yang 'duduk' di dalam genetik babi yang boleh
membawa bahaya.


"Dalam Dinasti Ting, ada seorang tabib terkenal juga melarang
orang Cina memakan babi. Ini kitab kuno orang Cina sudah ada larang
tersebut dan memberitahu tentang bahayanya," kata Dr Danial lagi.

Dalam kesimpulan diskusi rancangan agama itu, Farid Ravi
menjelaskan bahawa doa adalah merupakan senjata paling ampuh untuk
mengelak manusia daripada terkena jangkitan ini kerana ianya merbak
secara luas dan tanpa sempadan. 
"Manusia tidak boleh halang dan sekat udara yang bertebaran.
Itu kuasa Allah. Penyakit yang ada di Mexico beribu-ribu batu sudah
sampi ke negara jiran Thailand. Begitu cepat ia merebak.

"Kita mestilah berdoa banyak kerana itu antara senjata kita
kerana kita tak mampu kawal semua. Manusia yang ada di sekeliling kita
mahupun udara yang ada. Semua dengan izin Allah semata-mata," katanya.

Sementara itu Dr Danial pula memberi berapa panduan untuk
mengelak berlakunya jangkitan tersebut antaranya seperti yang
dianjurkan oleh agama iaitu sentiasa membasuh tangan.

"WHO mengeluarkan panduan, supaya sentiasa membasuh tangan.
Bagi kita ini bukan sesuatu yang baru, malah kita sentiasa berwuduk
untuk solat dan mambasuh tangan sebelum makan,"katanya yang turut
menyarankan agar mengikuti saranan Nabi Muhammad s.a.w sewaktu bersin.

Ketika bersin, Nabi menutup tangan dan adakalanya menggunakan
kain dan ini seperti yang dinasihatkan Kementerian Kesihatan Malaysia
baru-baru ini.

"Sebenarnya setiap perkara yang melanda, di satu segi ianya
merupakan bahaya tetapi ianya juga peluang kita untuk berdakwah,
menceritakan kuasa Allah dan kebenaran al-Quran.

"Ekonomi global jatuh, ketika itu baru dunia sedar ekonomi
berasaskan Islam, sangat cantik dan baik maka begitu jugalah dengan kes
wabak ini, yang membuatkan dunia akan mengkaji larangan Allah SWT dalam
al-Quran," katanya. - azm
_  

Kirim email ke