UTUSAN - BICARA AGAMA

ARKIB : 25/05/2009


.khad1,
.khad1:link,
.khad1:visited,
.khad1:active {
    color:#3366CC;
    text-decoration:underline;
    border-bottom:#3366CC 1px solid;
}

.khad1:hover {
    color:#c03;
    text-decoration:underline;
    border-bottom:#c03 1px solid;
}

.khad2,
.khad2:link,
.khad2:visited,
.khad2:hover,
.khad2:active,
    text-decoration:none;
    border-bottom:none;
}









Contohi hikmah Rasulullah sebar risalah Islam

Oleh Panel Penyelidikan, Yayasan Sofa, Negeri Sembilan
 

Di kesempatan yang lepas, ruangan ini ada menyentuh peri-pentingnya ciri-ciri 
utama manhaj Nabawi dihargai dan dihayati demi kecemerlangan misi dakwah. Di 
antara ciri utama manhaj ini ialah cahaya rahmat dan kasih-sayang yang 
menyelubunginya dari segenap sudut.
 
Islam sejak kelahirannya tidak boleh dipisahkan dengan unsur rahmat, cinta dan 
kasih. Unsur-unsur ini merupakan roh yang mewarnai Islam bersesuaian dengan 
mesej Islam yang menobatkan kesejahteraan selari dengan pengertian namanya.
 
Risalah Islam terbina atas paduan rasa kasih dan cinta kepada Allah SWT dan 
Rasul SAW serta memberi dan menghulur kasih kepada sesama manusia, haiwan 
bahkan alam persekitaran.
 
Unsur kasih, cinta dan rahmat harus digabungkan dalam diri setiap Muslim kerana 
ia adalah asas kekuatan dalaman dan roh Islam itu sendiri. Bersifat belas 
ihsan, kasih mengasihi dan membawa mesej kerahmatan kepada insan sejagat adalah 
satu tuntutan utama dalam hidup beragama.
 
Demikianlah yang harus dipupuk semenjak kecil lagi dalam diri setiap individu 
Muslim tidak mengira status, jantina dan peranan mereka dalam masyarakat. 
Mereka yang bergerak di gelanggang dakwah dan memikul imej Islam terlebih utama 
mesti menjiwai roh rahmat dan mahabbah (kasih sayang) kerana itulah piawai yang 
ditetapkan oleh Rasulullah SAW.
Rasulullah SAW Sebagai Qudwah Hasanah
 
Maha Suci Allah yang telah mengurniakan rahmat-Nya bagi semesta alam melalui 
perutusan kekasih-Nya Nabi Muhammad SAW, penghulu risalah kerahmatan ke seluruh 
alam maya dengan akhlak, perilaku mulia dan peringatan yang baik. Benarlah 
firman Allah SWT yang bermaksud: Tidaklah Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) 
melainkan sebagai rahmat bagi sekelian alam. (al-Anbiya': 107)
 
Sesungguhnya Rasulullah SAW telah mempamerkan akhlak yang unggul dan terpuji 
dalam setiap gerak geri aspek kehidupannya. Baginda SAW adalah insan yang 
sentiasa menjadi punca rahmat apabila hadir di suatu perkumpulan manusia 
lantaran dari adab sopan, sifat pemurah, lembut, lunak bicara dan juga sifat 
pemalunya.
 
Baginda SAW bukanlah seorang yang keras hati dan baginda tidak melontarkan 
kalam yang kesat kepada insan-insan sekeliling yang menjadi medan seruan 
dakwahnya.
 
Maka akhlak yang baik serta contoh teladan yang terpuji ini harus diterapkan 
dalam diri setiap Muslim. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang bergiat cergas 
dalam medan dakwah, penyampaian ilmu dan tarbiah.
 
Seorang sahabat bernama Hindun ibn Abi Halah r.a. adalah di kalangan mereka 
yang amat pandai menyifatkan peribadi Nabi SAW. Suatu ketika, beliau ditanya 
oleh cucunda Nabi SAW iaitu al Hasan ibn Ali r.a mengenai peribadi mulianya 
itu. Maka Hindun ibn Abi Halah r.a menyatakan:
 
"Rasulullah SAW adalah seorang yang sentiasa bersedih (kerana takut kepada 
Allah). Baginda SAW selalu berfikir bahkan hampir tidak sempat berehat. Baginda 
SAW lebih banyak berdiam, Baginda SAW tidak berbicara kecuali apabila perlu. 
Baginda SAW membuka dan menutup bicaranya dengan menyebut nama Allah. 
Perbicaraannya padat dengan makna sekalipun ringkas. Kata-katanya jelas, tidak 
menjurus ke arah sesuatu yang sia-sia atau berlebih-lebihan dan tiada pula yang 
kurang difahami. Baginda SAW tidak bersikap kasar dan tidak pernah menghina". 
(Syamail al-Muhammadiyyah oleh al-Tirmizi)
Kewajipan Mencontohi Rasulullah SAW Dalam Usaha Dakwah
 
Bagi individu yang melibatkan diri dalam arena dakwah, secara rasmi ataupun 
tidak, adalah menjadi kewajipan mereka menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh 
ikutan tertinggi.
Individu-individu ini harus benar-benar mendalami sirah Nabawi dengan sempurna 
kerana segala bentuk uslub (cara) dakwah yang diperlukan telah pun ditunjukkan 
oleh Baginda SAW melalui sunnahnya yang mulia.
 
Kegagalan menguasai dan mendalami sirah Nabawi serta mengenali mukjizat, 
kesempurnaan dan keistimewaan Baginda SAW adalah sebab utama yang melahirkan 
kepincangan uslub dakwah dalam Islam.
 
Setiap perkara, tindak tanduk, kalam yang dilontarkan harus dirujuk dengan 
teliti kepada sunnah Baginda SAW. Seorang pendakwah yang mahu menegur golongan 
yang menjadi sasaran dakwahnya itu seharusnya berfikir dan merenung dalam-dalam 
sama ada teguran yang bakal dilontarkan itu secocok atau tidak dengan manhaj 
Nabawi dan adakah tegahannya membawa lebih banyak kebaikan atau keburukan.
 
Baru-baru ini, berlaku dalam sebuah masjid, seorang khatib yang sedang 
menyampaikan khutbah Jumaat memarahi secara terbuka di atas mimbar seorang 
remaja yang dilihatnya sedang berbual-bual dan menulis khidmat pesanan ringkas 
(SMS).
 
Mungkin disebabkan malu dan tersentak dengan teguran yang dilakukan secara 
terbuka itu, remaja itu terus meninggalkan masjid tersebut tanpa menunggu 
khutbah selesai dan meninggalkan solat Jumaat.
 
Adakah cara menegur seperti ini bertepatan dengan perilaku dan Sunnah 
Rasulullah SAW? Padahal, hukum berbual semasa khutbah diperselisihkan di 
kalangan ulama. Di sisi Qaul Jadid Imam Syafie menyebut, hukumnya adalah makruh 
dan ini adalah pendapat yang paling sahih.
 
Jangan disebabkan kurang bijaknya kita, kerana hendak menegakkan perkara sunat 
perkara wajib dikorbankan, kerana hendak mencegah perkara makruh, perkara haram 
dilakukan.
Ketandusan penghayatan sifat rahmat dan kasih-sayanglah yang menjadi penyebab 
kepada berlakunya tragedi dakwah seumpama ini. Kita tidak tahu barangkali insan 
yang melakukan perbuatan tersebut masih di peringkat permulaan berjinak-jinak 
mendalami Islam atau mendekati masjid.
 
Mungkin juga insan yang ditegurnya itu jahil tentang adab dan sunnah ketika 
menghadiri khutbah Jumaat kerana baru memeluk Islam atau telah membesar dalam 
suasana masyarakat yang meminggirkan agama.
 
Sekiranya sikap yang keras dan kasar seperti ini berterusan, Islam akan semakin 
jauh dan terpinggir dari hati umat Islam sendiri, apatah lagi dari hati mereka 
yang bukan Islam.
 
Ini jelas bertentangan dengan pentarbiahan Allah terhadap nabi-Nya dalam 
firman-Nya yang bermaksud: Sekiranya engkau bersikap degil lagi keras hati, 
nescaya sudah pastilah mereka akan lari dari seruan dakwahmu (wahai Muhammad). 
(ali-'Imran: 159)
 
Dalam merungkai permasalahan ini, kita hanya perlu kembali menghayati uslub 
dakwah dan pentarbiahan Nabi SAW. Baginda SAW telah meninggalkan pusaka yang 
cukup berharga untuk diwarisi oleh kita iaitu sunnahnya yang bercahaya.
 
Menelusuri kembali sejarah kehidupan dan sirahnya yang mulia, kita akan 
mendapati banyak kisah yang menunjukkan kepada kebijaksanaan Baginda SAW dalam 
menyampaikan dakwah dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik.
 
Kita telah diingatkan kepada peristiwa seorang Arab Badwi yang telah memasuki 
masjid Nabi SAW, lalu dengan sewenang-wenangnya membuang air kecil di salah 
satu sudutnya. Para sahabat yang menyaksikan hal itu menjadi berang dan ingin 
menerpa ke arah lelaki Badwi tersebut disebabkan kebiadapannya mencemari rumah 
Allah SWT.
 
Rasulullah SAW bersama sifat kasih, cinta dan rahmat yang menebal di dalam 
dirinya menahan para sahabatnya dari bertindak melulu, kasar, mencaci serta 
menjatuhkan maruah insan lain.
 
Baginda SAW membiarkan lelaki Badwi tersebut menghabiskan sisa kencingnya tanpa 
menyergahnya atau melemparkan kata cacian, cercaan dan unsur-unsur yang boleh 
menjatuhkan maruah.
 
Bahkan Baginda SAW menasihati dengan baik, penuh hikmah dan kasih sayang. Dalam 
kekalutan itu, Baginda SAW sempat menyampaikan dengan tenang satu sunnah kepada 
para sahabat iaitu cara bagaimana hendak menyucikan kencing dan najis dengan 
sabdanya, "Jiruslah pada air kencingnya itu sebaldi air".
 
Hikmah kebijaksanaan Baginda SAW menghalang sahabat bertindak kasar terhadap 
Arab Badwi tersebut, telah dapat mengelakkan kencing Arab Badwi itu bertaburan 
di dalam masjid kerana melarikan diri dari para sahabat.
 
Rasulullah SAW juga mengingatkan peranan mereka pada akhir hadis dengan 
sabdanya: Sesungguhnya kalian diutuskan untuk memudahkan dan kalian tidak 
diutuskan untuk menyukarkan. (riwayat al Bukhari)
 
Melalui peristiwa ini, kita akan mendapati suatu contoh amali bagaimana harus 
subur merimbun di hati seorang pendakwah perasaan rahmat, cinta dan kasih 
terhadap golongan yang menjadi sasaran dakwahnya.
 
Memang sewajarnya, setiap muslim itu mencari dan mengutip bekalan ilmiah dan 
thaqafah Islamiah secukupnya dan bukan hanya bermodalkan sifat cemburu dan 
ghairah dalam memperjuangkan agama bagi menjamin pencapaian dakwah dan 
penyebaran risalah yang lebih gemilang.
 
Wallahu a'lam.



 
Noorshamsudin Bin Hj. Mohd. Darus
IS Audit, Audit & Compliance Division, AFFINBANK
1st Floor, Menara AFFIN, 80 Jalan Raja Chulan
50200 Kuala Lumpur,  W. Persekutuan
MALAYSIA
 
Tel:  03 - 27315246  /  03 - 27315242    Fax: 03 - 20264081    -  H/P:  012 - 
2923403
 
  "BANKING WITHOUT BARRIERS"
 


      

Kirim email ke