Seorang pengacara perlu mempunyai kemahiran menulis teks pengacara. Memang
tidak dapat dinafikan bahawa teks pengacara majlis formal sebenarnya bukan
ditulis oleh pengacara tetapi setiausaha sesuatu program. Namun begitu, hal ini
tidak bermakna pengacara majlis tidak perlu menulis teks. Adakalanya pihak
penganjur atau tuan rumah menyerahkan tugas tersebut kepada pengacara majlis.
Selain itu, majlis seperti majlis perkahwinan, jamuan makan malam, jamuan
perpisahan dan majlis amal selalunya memerlukan pengacara majlis menulis teks
sendiri. Walaupun teks ini tidak dibaca sepenuhnya, sebagai seorang pengacara
majlis, anda harus menyediakan teks sebagai garis panduan dalam mengendalikan
sesuatu majlis agar tidak berlaku kepincangan dalam majlis tersebut.
2.1 Teknik Menulis Teks Pengacara
Sebenarnya, dalam menulis apa-apa juga bahan sama ada teks, surat atau kertas
kerja, anda perlu mengetahui tekniknya terlebih dahulu agar dapat memudahkan
anda menulisnya. Oleh itu, di sini diterangkan serba ringkas teknik penulisan
teks pengacara majlis sebagai panduan terutama kepada bakal pengacara majlis
dan mereka yang berminat dalam bidang pengacaraan majlis.
2.1.1 Penyediaan Teks
Sebelum menyediakan teks pengacara majlis, anda terlebih dahulu perlu
mengetahui nama majlis tersebut, tujuan majlis, dan atur cara sesuatu malis
dengan lengkap. Pastikan juga anda mendapat senarai nama jemputan terkini
terutama tamu kehormat dan penaja acara jika ada. Setelah itu, baru anda boleh
merancang teks anda agar bersesuaian dengan majlis.
2.1.2 Cara Menyediakan Teks Dan Kandungan Teks
Teks pengacara majlis perlu disediakan dalam saiz setengah kertas A4 dan
ditulis dalam tiga ruangan, iaitu masa, panduan (CUE) dan pengumuman (ANN)
seperti:
Masa
CUE
ANN 1
Ruangan masa, diperuntukkan untuk mencatat jangka masa sesuatu acara. Manakala
ruangan 'cue' pula merupakan ruangan untuk mencatat panduan bagi sesuatu
pengumuman. Dengan kata lain, 'cue' ini merupakan penanda aras bagi menentukan
sesuatu pengumuman itu dibuat. Ruangan 'announcement' pula ialah ruangan yang
perlu dibaca oleh pengacara majlis. Ruangan inilah yang mencatatkan setiap
perkara yang perlu diumumkan oleh pengacara majlis.
Yang berikut merupakan contoh penyediaan teks pengacara majlis:
Masa
CUE
ANN 1
8.30 pagi
Apabila isyarat, iaitu YAB Timbalan Perdana Menteri masuk ke dalam dewan
dengan diiring oleh Yang Berbahagia Ketua Pengarah. dan Pengarah
Mengumumkan ketibaan Yang Amat Berhormat .............. dengan diiringi
oleh Yang Berbahagia ............ dan Yang Berusaha ............. masuk ke
dewan dan seterusnya mengambil tempat di atas pentas.
Perlu diingatkan di sini bahawa setiap muka surat diperuntukkan untuk satu
pengumuman sahaja. Hal ini penting agar jika terdapat perubahan pada saat akhir
berkaitan perjalanan atur cara, maka perkara ini memudahkan pengacara menyusun
semula teks mengikut atur cara tanpa perlu membuat contengan yang akan
mengelirukan. Teks yang telah lengkap perlu diklip untuk diselak ke atas atau
ke kanan.
Artikel di atas dipetik daripada Bahagian 2: Teknik Penulisan dalam buku Aneka
Contoh Teks Pengacara Majlis. Maklumat lanjut berkenaan buku ini boleh didapati
di www.books.perintis.com.my.