Puasa perkukuh ikatan silaturahim sesama Islam
Oleh Amran Zakaria
BERBUKA secara jemaah menjadi medan terbaik memperkukuh silaturahim sesama
manusia. - Gambar hiasan
Muslim wajib jaga tutur kata, pertingkat tingkah laku baik agar mendapat
ganjaran pahala
SEMINGGU lagi, umat Islam akan menyambut kedatangan Ramadan dengan berpuasa,
bulan yang penuh barakah. Di mana permulaannya rahmat, manakala pertengahannya
pengampunannya dan akhirnya merdeka daripada api neraka. Bulan diturunkan
al-Quran sebagai petunjuk untuk semua manusia. Bulan yang dibuka Allah SWT
pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan diikat semua syaitan. Bulan
kemenangan Islam dalam peperangan Badar dan penaklukan Kota Makkah.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, "Allah berfirman, Setiap amalan anak
Adam adalah untuk-Nya melainkan puasa, sesungguhnya ia untukKu dan Akulah yang
akan memberi ganjarannya, puasa itu adalah perisai. Apabila seseorang kamu
berpuasa, maka janganlah berkata kotor dan janganlah bertengkar. Jika seseorang
mencacimu katakanlah kepadanya: "Saya berpuasa, saya berpuasa. Demi tuhan yang
diri Muhammad di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih
harum di sisi Allah dari bau kasturi. Bagi orang berpuasa ada dua kegembiraan
yang akan diraikannya, ia gembira ketika berbuka dan apabila bertemu Tuhannya
ia bergembira dengan berpuasanya" . (Riwayat Al-Bahari).
Sepanjang Ramadan kita dapati ikatan ukhwah di kalangan umat Islam amat kukuh
melalui rasa bertanggungjawab dan sifat ambil tahu dengan menghulurkan bantuan
dan pertolongan kepada mereka yang memerlukan melampaui batasan geografi.
Puasa juga dilihat berkeupayaan merapatkan hubungan sesama insan, bukan hanya
hubungan dalam kekeluargaan semata-mata. Persaudaraan yang kukuh mampu dibina
apabila seseorang itu dapat mengawal tutur kata, tingkah laku, perbuatan untuk
diberi perhatian agar ibadat puasa tidak menjadi sia-sia daripada mendapat
ganjaran pahala.
Secara amalannya, ibadat puasa berupaya membentuk satu sistem pendidikan dan
latihan bagi mendekatkan diri kepada Allah , ia bukan semata-mata menahan lapar
dan dahaga, tetapi ia meliputi seluruh anggota tubuh badan seperti mata,
telinga, mulut dan lain-lain anggota yang perlu dilatih dan dibentuk untuk
tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT.
Selain daripada itu puasa berkeupayaan membina kesihatan yang lebih teratur,
terurus dan mantap. Daripada aspek kesihatan, semua disebut itu adalah perkara
asas bagi menjamin tahap kesihatan jasmani dan rohani seseorang.
Puasa melatih manusia supaya tidak gelojoh apabila menjamu selera terutama
sekali ketika berbuka puasa, memilih makanan yang berzat seperti manisan dan
makan hanya sekadar membina kekuatan untuk melaksanakan ibadat.
Dalam konteks berpuasa, seseorang itu dituntut mengawal perasaan marah dan
banyak bersabar serta mengamal sikap bertolak ansur.. Setiap individu digalak
membabitkan diri dengan pelbagai aktiviti berunsur amalan ibadat, seperti
bertarawih dan bertahajud. Ketika berbuka puasa dan bersahur, ahli keluarga
berpeluang berinteraksi antara satu sama lain secara produktif.
Kepada yang mudah hilang kawalan diri, seperti cepat marah dan menjadi panas
baran, inilah bulannya untuk bertukar sikap bagi menjadi individu lembut hati
dan penyayang. Rasulullah SAW bersabda, "Ramadan adalah bulan kesabaran.
Justeru, semestinya Ramadan dijadikan bulan untuk mendisiplinkan diri supaya
sahsiah dan personaliti kita menjadi lebih sempurna apabila tiba Syawal. Oleh
itu, perlu diingat dalam kita beramal ibadah terutama dalam menyediakan jamuan
dan menghulurkan sedekah atau apa-apa juga pemberian janganlah timbul perasaan
di dalam hati untuk menunjuk-nunjuk atau ingin membanggakan diri kerana
perbuatan sedemikian dilarang dan dimurkai oleh Allah SWT, bahkan boleh
menyebabkan amalan yang kita lakukan itu menjadi sia-sia.
Peliharalah kesucian Ramadan dengan melaksanakan ibadat puasa disamping
menghindarkan diri daripada melakukan perkara yang boleh mengurang dan
merosakkan ibadat puasa kita seperti mengumpat, bercakap bohong, melakukan
perkara yang sia-sia, melihat perkara yang memberangsangkan nafsu syahwat,
mendengar ucapan yang kotor dan keji, bertengkar sesama insan yang membawa
kepada perkelahian dan perbalahan serta apa juga perbuatan atau amalan yang
membawa dan mendorong kepada kejahatan, perbuatan yang keji dan dosa.
Pastikan diri kita tidak meninggalkan kewajipan puasa Ramadan sebaliknya orang
yang meninggalkan kewajipan puasa Ramadan tanpa sebab dan alasan, ingatlah
pesanan Rasulullah SAW, "Rugilah seseorang yang datang kepadanya Ramadan, dia
membiarkannya berlalu begitu saja sebelum dosanya diampunkan". ( Hadis Riwayat
At-Tarmizi)
Penulis adalah Ketua Pegawai Eksekutif Dewan Amal Islami (DAMAI)
.
Dapatkan alamat E-mel baru anda!
Rebut nama E-mel yang telah lama anda kehendaki sebelum orang lain
mendapatkannya!
http://mail.promotions.yahoo.com/newdomains/my/